Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jurang gaji permulaan lulusan universiti, bukan universiti meluas hingga S$300 dalam 5 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meskipun gaji permulaan bagi kesemua kumpulan graduan di Singapura meningkat, jurang bagi gaji permulaan antara lulusan universiti dan lulusan bukan universiti terus meluas.

Antara 2016 dengan 2021, jurang median gaji permulaan antara lulusan universiti dengan politeknik meningkat sebanyak S$200.

Jurang antara lulusan universiti dengan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) jauh lebih besar, naik S$300 pada tempoh yang sama.

Perangkaan tersebut adalah berdasarkan data daripada Tinjauan Pekerjaan Graduan yang didedahkan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing, dalam respons bertulisnya kepada Encik Edward Chia Bing Hui, Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah.

Encik Chia bertanya tentang sebab jurang gaji yang semakin meluas antara lulusan universiti dan bukan universiti, dan apakah rancangan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi menangani hal demikian.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata bahawa median gaji permulaan bagi lulusan universiti adalah sekitar dua kali ganda daripada lulusan ITE dan kira-kira 1.5 kali ganda lulusan politeknik.

"Meskipun beberapa perbezaan dapat difahami, jurang yang terlalu luas boleh membawa kepada hasil yang bermasalah," kata Encik Wong di persidangan oleh Institut Kajian Dasar (IPS).

Dalam respons bertulisnya, Encik Chan menjelaskan bahawa perbezaan dalam gaji para graduan adalah disebabkan pelbagai faktor.

Ia termasuk permintaan berbanding bekalan tenaga kerja, dan perbezaan dalam tahap produktiviti antara pekerjaan dengan sektor berlainan yang disertai para graduan.

Salah satu contoh yang beliau berikan ialah sektor teknologi maklumat dan masyarakat, yang menyaksikan kenaikan gaji disebabkan pendigitalan dan COVID-19 yang mempercepatkan permintaan tenaga kerja. Ini sekali gus menarik bilangan pemegang sarjana muda yang kian bertambah.

"Meskipun beberapa perbezaan difahami, ia adalah penting bagi kami untuk memastikan perbezaan sedemikian tidak meluas dengan ketara sepanjang kehidupan individu," ujar Encik Chan.

Memberikan perincian mengenai rancangan MOE untuk merapatkan jurang permulaan gaji tersebut, Encik Chan berkata kementerian itu dan agensi-agensi pemerintah yang lain akan bekerja rapat dengan institut pendidikan serta rakan industri untuk mengalakkan syarikat-syarikat mengenal pasti kemahiran dan kemampuan para graduan bukan universiti.

Encik Chan juga menggesa syarikat-syarikat dan para majikan untuk meningkatkan tahap produktiviti dan komited dalam menggajikan, melatih dan memberi ganjaran kepada para pekerja berdasarkan kemahiran dan kecekapan mereka, dan bukannya kelayakan permulaan mereka.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan