Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah warga emas dapatkan vaksinasi terkini COVID-19 merosot sejak awal 2023

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Walaupun warga emas berusia 60 tahun dan ke atas meraih manfaat sekiranya divaksin, jumlah mereka yang mendapatkan vaksinasi terkini COVID-19 semakin berkurangan. 

Ia merosot daripada 58 peratus pada permulaan 2023 kepada 50 peratus sekarang, dedah Menteri Kesihatan Ong Ye Kung di Parlimen pada Selasa (9 Mei). 

Ia sejajar dengan laporan Kementerian Kesihatan (MOH) bahawa lebih ramai warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang tidak divaksin, mengalami penyakit lebih serius dan perlu dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti COVID-19, berbanding mereka yang sudah divaksin.

Sepanjang empat bulan pertama 2023, sekitar 7.5 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas yang tidak divaksin mengalami penyakit serius dan dimasukkan ke hospital.

Bagi mereka yang mempunyai perlindungan minimum pula, seperti tiga dos vaksin mRNA atau Novavax atau empat dos Sinovac, kadar  yang mengalami penyakit serius adalah sekitar empat peratus. 

Bagi mereka yang mempunyai perlindungan minimum dan mendapatkan  vaksinasi terkini seperti suntikan terakhir mereka kurang daripada 12 bulan lalu, kejadian penyakit teruk adalah lebih rendah pada 3.4 peratus, kata Encik Ong.

Tambahnya, kadar yang dilaporkan itu "anggaran lebih tinggi" kes COVID-19 lebih ringan yang kurang dilaporkan. 

Beliau menjawab pertanyaan  Anggota Parlimen (AP) Jurong Shawn Huang tentang langkah-langkah jangka panjang yang diambil untuk memastikan warga emas mempunyai cukup perlindungan terhadap COVID-19 dan sama ada   vaksinasi tambahan COVID-19 diperlukan pada jangka panjang. 

"Jika trend ini berterusan, daya tahan kita terhadap COVID-19 akan menjadi lemah dari semasa ke semasa, menjadikan kita lebih terdedah kepada virus itu sekali lagi," kata Encik Ong mengenai individu yang tidak mendapatkan vaksinasi terkini.  

Tambah beliau, terdapat pelbagai sebab kadar vaksinasi berkurangan, termasuk dalam kalangan mereka yang mudah jatuh sakit.

"Dalam kalangan warga emas, mereka beranggapan kerana mereka jarang keluar jadi , mereka tidak perlu mendapatkan suntikan vaksin. Ini tidak digalakkan," ujar Encik Ong.

"Varian Omicron sekarang sangat mudah berjangkit dan kami tidak lagi kenakan sekatan sosial. Jadi walaupun anda tidak keluar rumah, ia masih boleh memasuki rumah anda apabila anggota keluarga datang melawat atau sesiapa sahaja yang berhubungan dengan anda." 

Sesetengah warga emas turut prihatin tentang risiko kesan sampingan jika mereka mendapatkan  suntikan vaksinasi, jelas Encik Ong. 

Beliau menarik perhatian "beratus-ratus juta" dos vaksin sudah diberikan di seluruh dunia dan kejadian tindak balas teruk sangat rendah di Singapura, sekitar tujuh dalam setiap 100,000 dos dan lebih rendah lagi bagi vaksin bivalen mRNA terkini iaitu satu bagi setiap 100,000 dos. 

"Dalam ertikata lain, manfaat vaksinasi COVID-19 terus melebihi risikonya dan anda harus mendapatkan vaksinasi terkini," katanya. 

Encik Ong berkata lagi, gelombang jangkitan COVID-19 pada masa ini adalah gelombang pertama yang dialami Singapura sejak negara ini beralih kepada Dorscon Hijau.

Singapura juga tambah beliau berjaya "mengatasinya, tanpa melaksanakan lagi sebarang langkah kesihatan awam". 

"Namun, kita boleh meneruskan pendekatan kesihatan awam ini sekiranya kita terus mendapatkan suntikan vaksin COVID-19," tambahnya. 

"Ia sebenarnya kekal sebagai satu penyakit berbahaya. Tetapi daya tahan penduduk menjadi kukuh menyusuli vaksinasi, dos penggalak dan pemulihan daripada jangkitan. Ini adalah sebab yang membolehkan kita menganggap COVID-19 sebagai satu penyakit endemik.

"Jadi, ia penting untuk kita terus mendapatkan vaksinasi berdasarkan saranan terkini MOH terkini memastikan daya tahan kita kekal tinggi."

Sumber : Today/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan