Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah wanita hamil terjangkit COVID-19 meningkat; doktor gesa dapatkan suntikan vaksin

Para doktor menggesa lebih ramai wanita tempatan yang hamil supaya mengambil suntikan vaksin sedang jumlah kes baru COVID-19 kian meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Sep 2021 08:01PM Dikemas Kini : 16 Sep 2021 09:35PM

SINGAPURA: Para doktor menggesa lebih ramai wanita tempatan yang hamil supaya mengambil suntikan vaksin sedang jumlah kes baru COVID-19 kian meningkat.

Sejak Mei lalu, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK menyaksikan seganda lebih ramai wanita mengandung dijangkiti COVID-19.

Hospital Besar Singapura (SGH) pula catat lebih 10 kes wanita hamil yang dijangkiti koronavirus, sejak menerima kes pertamanya bulan lalu.

Semua wanita mengandung yang dijangkiti COVID-19 yang dimasukkan ke hospital itu belum menerima suntikan penuh dos vaksin.

Antara mereka yang dijangkiti adalah Vanessa Rickard, yang disahkan positif COVID-19 menjelang hari beliau bersalin.

Disebabkan itu, beliau terpaksa melahirkan dalam wad pengasingan dan diasingkan daripada bayinya selama dua minggu.

"Ia antara pengalaman paling perit yang saya alami. Saya terpaksa tahan kesakitan dari segi fizikal, dan dari segi mental pula, tidak dapat berada di samping keluarga," kongsi Vanessa.

Vanessa mahu melahirkan anaknya terlebih dahulu sebelum mendapatkan suntikan vaksin.

Walaupun Vanessa dan bayinya kini dalam keadaan sihat, doktor yang merawatnya berkata tidak semua pesakit yang bernasib baik seperti beliau.

"Mereka lazimnya jatuh sakit pada tahap lewat kehamilan, selepas 30 minggu. Dan pada masa itulah mereka boleh masuk ICU kerana mereka perlu bantuan pernafasan. Jika mereka alami radang paru-paru yang memudaratkan, kita kadang perlu pertimbangkan sama ada perlu keluarkan bayi mereka lebih awal. Dan ini boleh menyebabkan kelahiran pramatang," kongsi konsultan kanan perbidanan dan ginekologi di SGH, Dr Tan Wei Ching.

Semua wanita hamil di SGH yang positif COVID-19 sama ada belum divaksin atau baru mendapat satu dos suntikan.

Lantaran itu, pihak hospital menggesa para wanita yang mengandung supaya menjalani vaksinasi secepat mungkin.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan