Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah tempahan baju raya guna semula kain lama meningkat, pilihan fabrik lebih mampan

Tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut Lebaran tahun dan persiapan menyambutnya semakin giat dilakukan termasuklah menyediakan busana yang bakal digayakan pada Syawal nanti.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tinggal kira-kira dua minggu sahaja lagi sebelum umat Islam menyambut Lebaran tahun dan persiapan menyambutnya semakin giat dilakukan termasuklah menyediakan busana yang bakal digayakan pada Syawal nanti.

Selain daripada membeli baju siap dipakai dari kedai, ada juga yang memilih untuk menempah baju kerana inginkan baju raya yang lebih memenuhi citarasa dan gaya masing-masing.

Malah, ada yang melakukannya dengan cara yang lebih mampan lagi iaitu dengan menggunakan semula kain lama untuk dijahit mengikut potongan yang baru.

Menurut pemilik kedai tukang jahit dan pereka fesyen SUFYAA, Azrina Tahar, beliau mendapat banyak tempahan daripada pelanggan yang ingin menghasilkan baju kurung daripada kain-kain songket lama.

Dalam sebulan, Cik Azrina lazimnya menerima sekitar 50 tempahan baju termasuk tempahan untuk baju raya dan persandingan serta tempahan baju menggunakan kain-kain songket lama.

Menurut Cik Azrina, kebanyakan daripada kain-kain lama yang diterima merupakan kain samping yang dihadiahkan kepada para pelanggan sempena hari perkahwinan mereka.

"Kebanyakan permintaan pelanggan juga adalah untuk menjadikan kain-kain itu sebagai baju perkahwinan anak mereka atau pun untuk dijadikan sebagai kain untuk isteri mereka," kata Cik Azrina, 45 tahun kepada BERITAmediacorp.

Malah, kebanyakan daripada pelanggan SUFYAA yang meminta khidmat sedemikian juga membuat tempahan baju mengikut potongan baju kurung moden.

TIDAK SEMUA KAIN BOLEH DIJAHIT SEMULA

Kebanyakan kain-kain lama itu juga perlu diuruskan dengan baik kerana mempunyai nilai sentimental yang tinggi bagi para pemiliknya.

Namun, tidak semua kain lama yang diberikan oleh para pelanggan sesuai untuk dijahit dan dijadikan sebagai pakaian.

"Saya akan lihat bahan dia dulu, jika ia masih boleh dijahit. Kadang-kadang kalau disimpan terlalu lama, ada yang disimpan 40 tahun tetapi kain dia sudah reput. Jadi itu saya harus tolaklah," kata Cik Azrina.

Menurut Cik Azrina, beliau akan menguji kesesuaian kain itu dahulu sebelum memulakan dengan sebarang kerja-kerja menjahit.

"Saya akan cuci kain itu untuk lihat sama ada warnanya akan luntur ke, yang paling penting saya boleh jahit. Kalau tidak saya tidak boleh jahit, dia akan reput kan, dia akan koyak, dia akan pecah, itu tidak boleh," kata Cik Azrina.

Setakat ini kata Cik Azrina, hanya satu hingga dua tempahan sahaja bagi khidmat sedemikian terpaksa ditolak disebabkan jumlah kain yang tidak mencukupi.

Biarpun begitu, SUFYAA akan cuba menggunakan setiap helai kain yang diserahkan oleh para pelanggan dengan sebaik mungkin bagi mengelak pembaziran.

"Tetapi kalau kain dia masih boleh dijahit, kita akan cuba sedaya upaya untuk 'upcycle'.

"Sebab kain yang disimpan ini selalu ada nilai sentimental seperti songket ini selalu diberi semasa waktu pernikahan, orang dulu-dulu, itu yang membuatnya menarik untuk 'upcycle' untuk berikan nafas baru kepada kain ini," kata Cik Azrina.

DAPATKAN KAIN BARU DENGAN CARA LEBIH MAMPAN DAN LEBIH MURAH

Bagi mereka yang inginkan baju raya dengan corak kain dan warna berbeza tapi mahukan pilihan lebih mesra alam, gedung kain 'The Fabric Marketplace' menjadi antara tempat yang boleh dikunjungi.

Kain-kain yang dijual di 'The Fabric Marketplace' diperolehi menerusi cara mampan, iaitu daripada rantaian bekalan, kedai-kedai kain dan fesyen yang tidak lagi memerlukan lagi kain-kain tersebut.

Dengan kain-kain 'premium' sebegitu, harganya pun tentu mahal juga?

Daripada dibuang begitu sahaja, kain-kain ini dijual pada harga yang lebih berpatutan malah setiap kain di The Fabric Marketplace dijual pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

Ada yang sekitar 30 hingga 50 peratus lebih murah!

"Bagi kain-kain kami, ia dijual pada harga serendah S$3 atau jika anda membeli kain-kain kami secara borong, ia mungkin berharga serendah S$2.50 bagi setiap meter kain itu.

"Jadi berbanding dengan pasaran, harga kami mungkin 30 hingga 50 peratus lebih murah, dari segi mutu saya dapat katakan ia tentu sekali lebih murah dan berbaloi dari segi mutu fabrik," kata Cik Jinghan.

Dengan harga yang begitu rendah, The Fabric Marketplace menarik ramai pelajar atau individu yang baru sahaja ingin berjinak-jinak belajar untuk menjahit.

Walaupun ruangannya tidak begitu luas, pelbagai kain 'premium' boleh didapatkan di situ.

Malah, sesetengah kain yang dijual di sana pula kadangkala sukar untuk dicari di kedai-kedai kain yang lain.

"Kami mempunyai pelbagai jenis kain yang di tempat-tempat lain anda mungkin melihat ia ditawarkan dalam satu kategori pada jumlah yang banyak.

"Namun kami mempunyai pelbagai jenis fabrik dengan komposisi yang berbeza, tenunan berbeza, begitu juga dengan corak yang berlainan," kata Fan Jinghan, penyelaras projek di The Fabric Marketplace.

Bagi mereka yang sudah kesuntukan masa untuk membelek-belek kain di kedai itu, kain-kain itu juga boleh dibeli online menerusi lelaman 'The Fabric Marketplace'.

Usaha-usaha seperti yang diterajui SUFYAA dan The Fabric Marketplace itu bukan sahaja lebih menjimatkan tetapi ia juga dapat mengurangkan pembuangan sisa kain.

Pada 2021, sebanyak 189,000 tan sisa kain dan bahan kulit dijana di negara ini dan hanya 4% daripada dikitar semula.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa