Jumlah subsidi langsung pemerintah bagi jagaan kesihatan bertambah kepada S$5.6 bilion
Jumlah subsidi langsung daripada pemerintah bagi jagaan kesihatan rakyat tempatan sudah bertambah lebih seganda daripada $2.6 bilion kepada $5.6 bilion antara tahun 2010 hingga 2016.
SINGAPURA: Jumlah subsidi langsung daripada pemerintah bagi jagaan kesihatan rakyat tempatan sudah bertambah lebih seganda daripada $2.6 bilion kepada $5.6 bilion antara tahun 2010 hingga 2016.
Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong berkata pemberian subsidi itu sudah membantu menjadikan kos jagaan kesihatan berada dalam kemampuan rakyat terutama sekali golongan yang memerlukan.
Encik Gan memberikan maklumat itu semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan bagi kementeriannya di Parlimen siang tadi (6 Mac).
Rakyat Singapura kini hidup lebih lama purata 84.8 tahun pada 2017 berbanding 83.2 tahun pada 2010.
Bagaimanapun secara purata selama 10 tahun daripada tempoh hayat itu mereka hidup dalam keadaan berpenyakit.
Jumlah kes penyakit kronik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi semakin meningkat.
"Kita tidak boleh menyalahkan semuanya kepada keadaan penduduk yang semakin menua kerana ia juga sebahagiannya kerana amalan gaya hidup dan kebiasaan yang tidak sihat. Jika keadaan kronik itu tidak diurus dengan baik, keadaan yang lebih serius mungkin menyusul kelak," kata Encik Gan Kim Yong.
Encik Gan berkata pemerintah sudahpun menambah pelaburan dalam bidang jagaan kesihatan kepada $21 bilion pada tahun 2016.
"Tidak mungkin kita dapat terus menambah perbelanjaan jagaan kesihatan nasional pada kadarnya sekarang. Semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama untuk memastikan sistem jagaan kesihatan kita terus mampan bukan sahaja untuk keperluan masa kini tetapi juga bagi memenuhi keperluan generasi-generasi akan datang," tambah Encik Gan.
Encik Gan menekankan bahawa Kementerian Kesihatan tetap memberi keutamaan bagi memastikan kos jagaan kesihatan terus dalam kemampuan rakyat dan memberi sokongan kepada para penjaga.
Mengenai isu sistem Teknologi Maklumat kesihatan pula Encik Gan berkata MOH mengetatkan kawalan dan penjagaan data peribadi.
Beliau merujuk kepada Rekod Kesihatan Elektronik Nasional yang akan mempunyai kawalan keselamatan berbilang peringkat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.