Jumlah soalan 'mencabar' PSLE dihadkan pada 15% setiap tahun, dedah MOE

(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)
SINGAPURA: Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dikekalkan pada “tahap kesukaran yang konsisten” selama bertahun-tahun, dengan 15 peratus soalan diklasifikasikan sebagai 'mencabar' setiap tahun.
Demikian menurut Pengarah Agung Pendidikan Kementerian Pendidikan (MOE) pada Jumaat (15 Jul).
Dalam catatan di LinkedIn dan laman web Schoolbag MOE, Cik Liew Wei Li menarik perhatian bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, soalan-soalan matematik tertentu dalam kertas peperiksaan PSLE telah menjadi “topik perbincangan dan perdebatan awam".
Sungguhpun demikian, jumlah soalan sedemikian "sebenarnya amat sedikit," menurut Cik Liew.
"Penting untuk diingati bahawa standard keseluruhan mana-mana kertas peperiksaan ditentukan oleh campuran soalan secara keseluruhannya, dan bukan setakat soalan 'Helen dan Ivan' bagi tahun itu saja," menurut catatan tersebut.
Soalan 'Helen dan Ivan' merujuk kepada soalan dalam kertas peperiksaan Matematik PSLE pada tahun 2021 yang dilaporkan sangat sukar sehingga menyebabkan sesetengah murid menangis.
"Di Singapura, tahap kesukaran PSLE dikekalkan pada standard kesukaran yang konsisten selama bertahun-tahun. Tahap ini dikekalkan dengan menghadkan jumlah soalan yang dianggap 'sukar' pada paras 15 peratus setiap tahun," dedah Cik Liew.
"Ini bermakna terdapat hanya beberapa soalan sukar setiap tahun yang membentuk kira-kira 15 markah daripada kertas peperiksaan tersebut."
Kertas peperiksaan PSLE direka sedemikian rupa untuk memenuhi keperluan pelajar yang berbeza kebolehan dan "sebahagian besar" soalan sepatutnya boleh dijawab oleh sebilangan besar murid, menurut Cik Liew.
Tambah Cik Liew, "hanya beberapa" soalan yang membolehkan sesetengah murid untuk memperlihatkan penguasaan mereka terhadap subjek tersebut.
"Hakikatnya, tiada ibu bapa yang mahukan anak mereka menjadi hampa semasa mereka berusaha untuk mencapai matlamat mereka. Sebagai ibu bapa, kita ingin menggandakan kegembiraan anak-anak kita sambil melindungi mereka daripada kesusahan dan kehampaan," kata Cik Liew dalam hantarannya itu.
"Namun kita tidak dapat melindungi mereka daripada segala kesukaran dan halangan dalam kehidupan mereka. Ujian dan peperiksaan, sama seperti pertandingan sukan atau seni, adalah peluang untuk kita mengajar anak-anak kita tentang keberanian dan mempunyai daya tahan dan keazaman untuk mencapai matlamat mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.