Jumlah siswazah dapat kerja 6 bulan selepas tamat pengajian pada 2024 merosot, gaji median cecah S$4,500
Semakin ramai graduan masih menganggur enam bulan selepas menamatkan pengajian, walaupun gaji median meningkat tahun lalu, terutamanya untuk pekerjaan dalam bidang perniagaan.
Daripada 12,500 graduan baharu dalam tenaga buruh yang ditinjau dalam Tinjauan Bersama Pekerjaan Graduan Universiti Berautonomi 2024 yang dikeluarkan pada Isnin (24 Feb), 87.1 peratus mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan peperiksaan tahun akhir mereka, merosot daripada 89.6 peratus pada 2023.
Ia meneruskan trend menurun sejak 2022, menurut hasil tinjauan tahunan itu.
Bagaimanapun, gaji kasar median dalam kalangan graduan baharu meningkat pada 2024, naik sebanyak 4.2 peratus kepada S$4,500 berbanding S$4,317 pada tahun sebelumnya.
Dalam kalangan mereka yang mendapat pekerjaan pada 2024, 79.5 peratus memperoleh pekerjaan sepenuh masa, jatuh daripada 84.1 peratus pada tahun sebelumnya. Pekerja bebas, sementara itu, membentuk 1.6 peratus daripada mereka dalam tenaga buruh, meningkat daripada 1.5 peratus pada 2023.
Jumlah graduan yang bekerja sambilan atau secara sementara juga meningkat kepada 6 peratus daripada 4 peratus pada 2023. Sekitar 2.2 peratus daripada semua responden bekerja sambilan atau sementara, meningkat daripada 1.1 peratus pada 2023.
Daripada baki responden dalam tenaga buruh, 4.4 peratus menganggur tetapi mula bekerja atau akan menceburi bidang perniagaan tidak lama lagi, manakala 8.5 peratus menganggur dan masih mencari pekerjaan.
Tinjauan itu dijalankan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD).
Institut Teknologi Singapura (SIT) akan mengeluarkan hasil tinjauannya secara berasingan tidak lama lagi.
KELOMPOK PERNIAGAAN CATAT PENINGKATAN TERBESAR
Sains kesihatan, teknologi maklumat dan digital serta kelompok perniagaan mempunyai kadar pekerjaan tetap sepenuh masa tertinggi, manakala semua kelompok mencatatkan gaji bulanan kasar median yang lebih tinggi bagi mereka yang bekerja tetap sepenuh masa pada 2024.
Gaji median untuk kelompok perniagaan menyaksikan peningkatan terbesar, dengan perangkaan bagi sektor itu meningkat daripada S$4,150 pada 2023 kepada S$4,400 pada 2024.
Sebaliknya, mereka dalam kelompok seni, reka bentuk dan media mencatatkan kenaikan kecil pada gaji median mereka - naik S$60 kepada S$3,800 pada 2024 adalah yang terendah antara semua kelompok.
Tinjauan susulan, yang meninjau lebih 700 graduan dalam kursus-kursus yang biasanya memerlukan latihan amali pos-siswazah sebelum mereka boleh memulakan amalan profesional mereka, mendapati graduan tersebut diambil bekerja pada kadar yang sama jika dibandingkan dengan data dari tahun sebelumnya.
Para responden tinjauan adalah daripada graduan jurusan seni bina tahun 2021 dan 2023 yang mempelajari sains bioperubatan dan perubatan Cina, undang-undang, perubatan dan farmasi.
Tinjauan itu mendapati, daripada mereka dalam tenaga buruh, 97.2 peratus mendapat kerja selepas tamat latihan praktikal, latihan bagi doktor baharu atau latihan residensi tahun pertama, dengan perangkaan itu serupa dengan yang dilaporkan pada 2023.
Tetapi terdapat penurunan pada mereka yang memperoleh pekerjaan sepenuh masa, dengan perangkaan itu jatuh daripada 96.2 peratus pada 2023 kepada 94.4 peratus pada 2024. Lagi 0.7 peratus adalah pekerja bebas pada 2024, berbanding 0.4 peratus pada tahun sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.