Skip to main content

Singapura

Jumlah rekod S$104.9 juta dikumpul giving.sg pada 2025, dirangsang oleh sambutan SG60

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah rekod S$104.9 juta dikumpul giving.sg pada 2025, dirangsang oleh sambutan SG60
Kanak-kanak tulis hasrat mereka sempena ulang tahun ke-60 Singapura pada satu acara yang dianjurkan oleh Persatuan Rakyat bagi rangkaian Penduduk Balmoral dan Stevens pada 30 Mac 2025. (Gambar: CNA/Lan Yu)
Diterbitkan : 29 Jan 2026 05:01PM Dikemas Kini : 29 Jan 2026 05:04PM
SINGAPURA: Platform sumbangan digital kebangsaan Singapura, giving.sg, mengumpul derma berjumlah S$104.9 juta (US$83.1 juta) pada tahun 2025, mencatat jumlah tahunan tertinggi sejak pelancarannya pada 2015.

Jumlah tersebut, yang meningkat 21 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipacu oleh sambutan SG60, menurut Pusat Sukarelawan dan Kedermawanan Nasional (NVPC) pada hari Isnin (26 Jan).

NVPC menyatakan bahawa projek Great Singapore Give 2025 - kempen 'musim memberi' selama tiga bulan di seluruh negara yang menandakan acara penutup besar-besaran sambutan SG60 dengan lebih 300 kegiatan digital dan fizikal - menyumbang kepada prestasi cemerlang tahun itu.

Semasa tempoh kempen dari 1 Oktober hingga 31 Disember, giving.sg mengumpul lebih S$47.7 juta dalam bentuk sumbangan, melebihi S$42 juta yang dikumpul dalam tempoh yang sama pada tahun 2024.

Derma meningkat semasa musim perayaan hujung tahun, dengan lebih S$32.3 juta diterima hanya pada bulan Disember. Daripada jumlah itu, S$4.7 juta disumbang pada 31 Disember, menandakan jumlah bulanan dan sehari tertinggi bagi giving.sg.

Prestasi hujung tahun terus diperkukuh oleh kerjasama NVPC dengan Mediacorp, melalui "komitmennya yang cemerlang terhadap matlamat dan impak korporat kepada manusia, masyarakat, tadbir urus, alam sekitar, dan ekonomi". Menurut NVPC, hasilnya, ia diiktiraf sebagai Juara Kebaikan, iaitu tahap pengiktirafan tertinggi dalam Sistem Pengiktirafan Syarikat Baik NVPC.

Kerjasama dengan Mediacorp, syarikat penaung CNA, melibatkan siri kerjasama media, termasuk acara utama kiraan detik hujung tahun, Let's Celebrate 2026.

Acara itu "berjaya merangsang sifat murah hati para penderma semasa musim perayaan" dengan menyelitkan gesaan agar menderma menerusi giving.sg semasa acara merata negara pada 31 Disember, kata NVPC.

"Sepanjang tahun lalu, kami terus melihat tanda-tanda yang menggalakkan tentang budaya memberi yang semakin meningkat di Singapura," kata Ketua Pegawai Eksekutif NVPC, Encik Tony Soh.

"Adalah penting untuk kita terus membina momentum SG60 dengan menjalin perkongsian dan hubungan baharu dan mewujudkan peluang yang lebih pelbagai untuk diberikan oleh semua orang, supaya kita semua boleh menyumbang dan memainkan peranan dalam membina masyarakat berlandaskan prinsip 'Masyarakat Diutamakan'."

NVPC menyatakan bahawa tiga isu yang diperjuangkan yang menarik penderma sepanjang tahun termasuk perkhidmatan sosial dan kebajikan, pembangunan masyarakat dan penjagaan kesihatan.

Menurut agensi itu, hasil pungutan pada 2025 yang belum pernah berlaku sebelum ini "mengukuhkan pengaruh teknologi yang semakin meningkat dalam menjadikan pemberian derma lebih mudah diakses dan berkesan".

giving.sg, yang disokong oleh Kementerian Kebudayaan, Masyrakat dan Belia, memainkan peranan penting dalam ekosistem derma NVPC dengan membolehkan pengguna meneroka pelbagai isu yang menarik hati mereka dan berhubung dengan lebih 700 badan amal berdaftar, kata agensi itu.

Ketika Singapura bergerak melangkaui SG60, NVPC menyatakan ia akan terus mengukuhkan infrastruktur pemberian digitalnya dan memperkasa individu dan pertubuhan untuk menyumbang secara bermakna dan berkesan, "memupuk kemajuan ke arah semangat 'Masyarakat Diutamakan' yang lebih padu dan berdaya tahan di Singapura".
Sumber : CNA/AY/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita