Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah rekod 7,000 kakitangan jagaan kesihatan diiktiraf Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu

Hampir 7,000 kakitangan penjagaan kesihatan awam dan swasta menerima pengiktirafan di Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu Singapura (SHQSA) pada Isnin (29 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 7,000 kakitangan sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta menerima pengiktirafan di Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu Singapura (SHQSA) pada Isnin (29 Mac).

Jumlah itu yang tertinggi sejak ia diperkenalkan pada 2011.

Acara anugerah tahun ini yang bertemakan "Meraikan Perpaduan" mengiktiraf usaha kakitangan penjagan kesihatan dalam melawan pandemik COVID-19.

JURURAWAT STAF KANAN KKH RAFIKAH SAWAL TERIMA ANUGERAH SUPERHERO

Tanggungjawab menjalankan ujian swab serta menyelaras operasi pengasingan bagi hampir 200 pekerja migran pada satu-satu masa bukan satu tugas yang mudah.

Apatah lagi, beliau mengambil risiko berdepan sesuatu yang cukup asing, yang tidak pernah ditanganinya sebelum ini.

Selama sebulan pada Jun tahun lalu, Cik Rafikah Sawal, 34 tahun, secara sukarela mendaftarkan diri untuk membantu operasi di pusat pengasingan di Hotel Park Avenue Changi.

Ini meskipun ia suatu pengalaman baru bagi jururawat staf kanan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) ini yang dilatih dalam bidang pediatrik atau perubatan kanak-kanak.

Kali ini, beliau perlu berdepan dengan orang dewasa pula.

Namun, berkat pengalamannya selama 15 tahun sebagai seorang jururawat,
Cik Rafikah bukan sahaja mampu menjalankan tugasnya dengan penuh bersemangat.

Beliau malah mengeluarkan duitnya sendiri untuk membeli barang-barang keperluan bagi pekerja migran berkenaan, di samping mengumpul dana di Facebook untuk mendapatkan sekitar 600 pelitup kain untuk mereka.

Cik Rafikah berkata: "Ada perkara yang diperlukan mereka tetapi mereka tidak memberitahu. Jadi di mana sahaja dan apa sahaja yang kami lakukan, kami harus membuat lebih banyak lagi sebab kami tidak tahu kesusahankaran yang mereka alami."

"Mungkin mula-mula kami rasa ia perkara kecil, tetapi orang lain yang menerimanya adalah satu impak besar buat mereka," tambah beliau.

Atas usaha kemanusiaannya itu, Cik Rafika merupakan antara 17 karyawan kesihatan yang dinobatkan dengan Anugerah Superhero di acara penyampaian Anugerah Perkhidmatan Kesihatan Bermutu (SHQSA).

Penghargaan tertinggi itu diberikan kepada kakitangan yang bekerja di pelbagai bidang penjagaan kesihatan yang terus berusaha keras untuk membantu membasmi penularan COVID-19.

JURURAWAT STAF KANAN SURIANA SANWASI JUGA PENERIMA ANUGERAH SUPERHERO

Sebagaimana Cik Rafikah, Cik Suriana Sanwasi, 48 tahun, juga diiktiraf atas usahanya mengumpulkan keperluan asas termasuk persalinan pakaian, sejadah dan keperluan mandi untuk lebih 500 pekerja migran Muslim yang dimasukkan ke Hospital Besar Singapura (SGH).

Cik Suriana tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kepada mereka sebagai tanda penghargaan atas segala sumbangan mereka kepada Singapura.

"Saya rasa mereka berjauhan dari keluarga di sini untuk mencari nafkah dan ia tanggungjawab kita untuk menjaga mereka. Saya rasa ia juga peluang keemasan untuk menunjukkan penghargaan dan sokongan kepada pekerja migran atas segala sumbangan yang telah mereka berikan kepada negara kita," kata Cik Suriana.

Cik Suriana juga memainkan peranan penting dalam mengubah wad umum menjadi wad pengasingan dalam masa amat singkat.

"Bagi saya apa sahaja tugas yang diberikan kepada saya, saya akan buat terbaik dan pengalaman ini telah membuat saya seorang lebih kuat," ujarnya.

Selepas menerima Anugerah Superhero, Cik Suriana berkata: "Anugerah ini bukan anugerah saya seorang tetapi saya mewakili semua jururawat dan kakitangan kesihatan yang bertungkus-lumus dan berjuang pada waktu pandemik. Merekalah wira-wira kita dan saya amat berterima kasih banyak kepada mereka dan inilah anugerah untuk kita semua."

LEBIH 6,800 KAKITANGAN PERUBATAN DISANJUNGI DAN DIIKTIRAF

Tetamu terhormat Menteri Kesihatan (MOH) Gan Kim Yong berkata pandemik COVID-19 menunjukkan betapa dinamiknya institusi-institusi perubatan di Singapura.

Sistem penjagaan kesihatan Singapura kata Encik Gan cekap dalam menyesuaikan diri menangani lonjakan permintaan bagi sumber tenaga perubatan, dan keadaan COVID-19 yang berubah-ubah.

Selain 17 Anugerah Superhero, lebih 6,800 kakitangan perubatan lain turut menerima Anugerah Wira manakala tiga Anugerah Pasukan Terbaik disampaikan atas daya inovatif bagi pesakit serta kakitangan perubatan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan