Skip to main content

Singapura

Jumlah rekod 46 penerima Biasiswa NAC & NHB tahun ini, tertinggi sejak 1992

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah rekod seramai 46 individu menerima Biasiswa Seni dan Warisan Majlis Kebangsaan (NAC) dan Lembaga Warisan Negara (NHB) tahun ini, yang tertinggi sejak biasiswa tersebut diperkenalkan lebih tiga dekad lalu.

Daripada bilangan itu, 44 merupakan penerima Biasiswa Seni NAC termasuk 27 penerima Biasiswa Seni NAC peringkat Diploma yang diperkenalkan tahun ini serta dua penerima Biasiswa Warisan NHB.

Biasiswa tersebut diberikan kepada para individu yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang seni dan potensi yang besar untuk membentuk landskap seni dan budaya di masa hadapan.

Wartawan Nurhelmy Hakim bertemu dua daripada enam penerima anak Melayu/Islam yang berkongsi aspirasi dan harapan mereka. 

BIASISWA BAKAR SEMANGAT MOHAMED ADI RAIYAN MOHAMED KEJAR IMPIAN JADI PENYANYI 

Aspirasinya agar satu hari nanti, menjadi seorang penyanyi. 

Namun, selain menyanyi dan menggubah lagu-lagu yang berunsurkan percintaan, Mohamed Adi Raiyan Mohamed ingin membongkar isu-isu yang lebih mendalam lagi. 

Bahkan, beliau mahu menjadi pemacu perubahan pemikiran masyarakat di Singapura. 

Penuntut tahun kedua di Kolej Seni LASALLE itu berkata: “Saya rasa dunia sudah ada banyak lagu percintaan. Ada banyak perkara yang belum dikupas seperti kesihatan mental, isu keluarga. Banyak masalah sebenarnya. Saya ingin memberi fokus kepada topik-topik sebegini, saya berharap dapat berkait rapat dengan masyarakat.”

”Saya rasa kesihatan mental, meskipun sudah menjadi lebih normal,  tetapi di Singapura, ia masih seakan satu isu ‘taboo’. Jadi saya harap dapat patahkan halangan itu dan memastikan semua orang tahu bahawa isu kesihatan mental itu adalah normal,” tambah Raiyan lagi. 

Related article image
Mohamed Adi Raiyan Mohamed (kanan) bersama ibunya (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Beliau yang sedang mengambil kursus Diploma dalam Muzik, juga inginkan agar ekosistem seni di Singapura dapat menjadi lebih ‘terbuka minda’ di mana muzik boleh menjadi ruang berdialog mahupun mendapat inspirasi. 

Cintanya terhadap muzik mula berputik semasa di sekolah menengah. 

Ketika itu, dedikasinya terhadap seni itu menimbulkan pelbagai jenis peluang untuk dirinya berkarya dan mempraktikkan seni.

Antaranya, Raiyan pernah membuat persembahan di Perbarisan Hari Kebangsaan 2017 di Pentas Terapung Marina Bay. 
Related article image
(Gambar: Mohamed Adi Raiyan Mohamed)
Selain itu, Raiyan juga mempunyai asas yang kukuh dalam nyanyian menerusi pelibatannya dalam aktiviti ko-kurikular koir. 

Atas dedikasi dan pengalamannya dalam bidang muzik, Raiyan menjadi antara lima pelajar Melayu/Islam yang menerima Biasiswa Seni NAC peringkat Diploma tahun ini. 
Related article image
Mohamed Adi Raiyan Mohamed menerima Biasiswa Seni NAC (Gambar: NAC)
NAC telah memperuntukkan tambahan S$2.3 juta setiap tahun bagi memperkasa lebih ramai bakat-bakat artisitik muda, termasuk mereka daripada golongan kurang berpendapatan, untuk mengejar impian mereka. 

Biasiswa itu menyediakan bantuan kewangan untuk yuran tuisyen sepenuhnya. 

“Saya rasa bangga, teruja, menerima biasiswa ini. Ia akan membuat saya lebih fokus di sekolah, dan meluangkan lebih banyak masa kepada seni saya,” ujar Raiyan.

Secara keseluruhannya, 27 penuntut Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA), Sekolah Seni (SOTA) dan Maktab Seni LASALLE menerima biasiswa itu tahun ini.  

MEMPERKAYAKAN LAGI MAKNA KEHIDUPAN DALAM SENI

Seorang penerima Biasiswa Seni (NAC) bagi peringkat Possiswazah pula ialah Muhammad Muazzam. 

Beliau sedang menjalani pengajian dalam jurusan Gerontologi di peringkat Sarjana di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). 

Jurusan itu, menurut beliau akan dapat memperkukuhkan pengetahuannya tentang masyarakat yang semakin menua, sekaligus, menyelitkan unsur-unsur amalan seni bagi membina satu ekosistem seni yang inklusif.
Related article image
Muhammad Muazzam menerima Biasiswa Seni NAC (Gambar: NAC)
Muazzam berkata: “Singapura adalah negara yang semakin menua. Sarjana ini akan memperdalamkan pengetahuan saya tentang isu-isu penuaan, membuat saya faham proses sistemnya, membolehkan saya usaha rentas sektor ini menggunakan seni saya sebagai wadah dialog dan perubahan sosial.”

Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam amalan seni yang berteraskan masyarakat, Muazzam sudah banyak berkolaborasi dengan golongan seperti belia, warga senja dan golongan berkeperluan khas. 

Pengasas dan Pengarah Artistik di bawah inisiatif Arts for Action (AFA) itu antara lain pernah menerajui projek-projek di peringkat antarabangsa seperti Pesta Seni Masyarakat Antarabangsa. 

Beliau juga pernah bekerjasama dengan syarikat-syarikat penerbitan teater seperti Drama Box, The Necessary Stage dan Evolution Productions dari United Kingdom. 
Related article image
(Gambar: Muhammad Muazzam)
Muazzam berkata: “Biasiswa ini satu pengiktirafan kepada kerja-kerja saya selama 15 tahun. Saya di dalam bidang seni 'Applied Theatre' di mana saya membawa seni teater ke rentas sektor, di dalam sektor seni dan di luar sektor seni seperti perkhidmatan sosial, kesihatan, pendidikan. Ia masih satu usaha yang berterusan dan berkembang, orang masih berjinak-jinak lagi.”

”Ini satu usaha yang penting kerana kepimpinan artistik, ia bukan lagi tentang menjadi pengarah, menggubah pementasan, tetapi apa yang kita harus lihat kepada pendampingan sosial yang lebih kompleks, isu-isu sosial dan ini adalah keperluan seorang pemimpin artistik sekarang ini,” tambah beliau lagi. 

Muazzam merupakan salah seorang daripada lima penerima Biasiswa Seni NAC peringkat Possiswazah tahun ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita