Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah Rakan Bahasa meningkat, program kembali diadakan secara fizikal selepas 3 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAMediacorp: Jumlah Rakan Bahasa meningkat lebih 20 peratus dalam tempoh lima tahun.

Pada 2018, seramai 299 pelajar dilantik sebagai Rakan Bahasa dan jumlah itu terus meningkat kepada 368 tahun ini.

Mereka terdiri daripada para penuntut Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi (IHL).

Buat pertama kalinya juga dalam masa tiga tahun, mereka dapat berkumpul secara fizikal bagi menimba ilmu dan bertukar pendapat mengenai bahasa pada Khamis (4 Mei).

Sepanjang tiga tahun lalu, sesi sedemikian dilakukan secara online.

Dalam ucapannya, Pengerusi Bulan Bahasa, Rahayu Mahzam mengalu-alukan usaha tersebut dan berkata peningkatan jumlah Rakan Bahasa itu cukup memberangsangkan.

"Saya gembira melihat angka yang meningkat kerana ini menandakan sesuatu yang baik untuk masa hadapan kita. Ini bermakna lebih ramai yang mungkin dapat berkecimpung dalam arena ini. Kita dapat lihat bakat dan mungkin idea-idea daripada kumpulan yang lebih besar dan diharapkan ini dapat menandakan kepelbagaian dan juga peningkatan mutu-mutu aktiviti yang mungkin kita dapat lihat pada masa akan datang," kata Cik Rahayu Mahzam.

Beliau turut menekankan bahawa sokongan berterusan daripada ibu bapa dan masyarakat adalah penting bagi pelajar memupuk sifat sayangi bahasa dan melestarikan penggunaan bahasa Melayu.

"Objektif utama kita sebenarnya tidak berubah iaitu untuk terus melestarikan penggunaan bahasa Melayu dan untuk menggalakkan masyarakat kita terus kekal memartabatkan bahasa ini. Itu adalah sesuatu yang kita harapkan dan apa yang kita boleh lakukan bersama sebagai satu masyarakat. Kita berusaha sama dengan rakan kerjasama kita tetapi kita juga mengharapkan penglibatan ibu bapa, guru guru dan keluarga, " tambah beliau.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim turut hadir di acara itu.

PROGRAM RAKAN BAHASA - PERTANDINGAN TEEVERS

Di acara itu, nama pemenang bagi "Pertandingan TeeVers" juga diumumkan.

Pertandingan yang berlangsung dari 10 sehingga 14 April 2023 itu menguji daya kreativiti para pelajar menghasilkan rakaman laporan berita menggunakan aplikasi Moo-V yang ditaja Teevers Pte Ltd.

Tahun ini tema pertandingan buat sekolah rendah adalah permainan tradisional manakala buat sekolah menengah adalah tokoh sasterawan Melayu Singapura.

Sekolah Rendah Changkat dinobatkan sebagai juara bagi kategori Sekolah Rendah.

Adam Mifzal Indra Iskandar dan Nur Iman Hani bte Mohamad Nirhan bersama guru Bahasa Melayu mereka.
Dari kiri: Karl Basil Bin Karl Zubin, Muhammad Syahir bin Syahar


"Saya mengumpul kawan-kawan saya untuk menolong rakam video saya dan menulis skrip. Alhamdulillah video kita menjadi juara, saya berasa teruja dengan keputusan ini," kata Adam Mifzal Indra Iskandar.

Video yang mengandungi elemen "vlogging" hasil kreativiti pelajar dari Sekolah Menengah Deyi pula berjaya menambat hati para juri dan mendapat tempat pertama dalam kategori Sekolah Menengah.

"Kami berasa bangga teruja dan juga terharu kerana usaha dan kerja keras kami berdua berbaloi dan kami dapat memenangi pertandingan ini, kata Juara TeeVers, Kategori Sekolah Menengah, Karl Basil Karl Zubin, 15 tahun.

Meski berdepan dengan pelbagai cabaran semasa pertandingan, Muhammad Syahir Syahar teruja diberikan peluang untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Beliau berharap pertandingan sebegini akan terus diadakan dalam masa mendatang.

"Saya berharap dalam masa masa akan datang, akan ada lebih banyak program yang dianjurkan oleh penganjur yang menarik perhatian remaja Melayu di Singapura, kata Juara TeeVers, Kategori Sekolah Menengah, Muhammad Syahir Syahar, 15 tahun.

PERKONGSIAN DARI DUTA BAHASA

Di samping itu, para anggota Rakan Bahasa juga dapat menimba kemahiran dalam bidang penyampaian menerusi perkongsian duta bahasa, Hairianto Diman.

Duta Bahasa, Hairianto Diman.
Beliau berkongsi pelbagai panduan bermanfaat mengenai cara penyampaian serta peri pentingnya bahasa Melayu dalam kerjaya pada masa hadapan.

"Saya dengan duta-duta bahasa yang lain kami akan terus mencuba sedaya upaya untuk terus memupuk minat bahasa dan budaya Melayu di kalangan murid murid melalui cara-cara yang lebih kreatif, cara-cara yang akan terus menarik perhatian generasi-generasi akan datang," kata Encik Hairianto Diman.

PROGRAM-PROGRAM DILAKAR JAWATAN KECIL RAKAN BAHASA

Pelbagai program juga dilakarkan oleh Jawatankuasa Kecil Rakan Bahasa tahun ini.

Bagi menambah baik kefasihan bahasa Melayu dan membina keyakinan para pelajar, pertandingan Penterjemah Pintar kembali dianjurkan tahun ini.

Namun pertandingan tahun ini lebih istimewa kerana buat julung-julung kalinya, ia dianjurkan bersama 4PM (Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu).

Pertandingan itu hanya dibuka kepada pasukan Sekolah Rendah yang berdaftar dan akan diadakan pada 19 Mei 2023 di Perpustakaan Daerah Woodlands.

Dalam program Kembara Rakan Bahasa, para pelajar daripada pelbagai tingkatan dan institusi pengajian tinggi dicabar untuk menjalankan tugas-tugas baru yang berkaitan dengan kemahiran membaca, menulis, bertutur dan astaka aktiviti untuk memupuk rasa cinta dan pembelajaran bahasa Melayu.

Acara berkenaan adalah sebahagian daripada usaha untuk melibatkan lebih ramai pelajar untuk mengenali dan mencintai bahasa ibunda dan menjelang Bulan Bahasa yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Bulan Bahasa tahun ini akan berlangsung dari 13 Ogos hingga 9 Oktober.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan