Skip to main content

Singapura

Jumlah program Bulan Bahasa 2025 turun 19% namun mutunya lebih baik

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah program Bulan Bahasa 2025 turun 19% namun mutunya lebih baik
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Zhulkarnain Abdul Rahim (tengah) bersama anggota jawatankuasa Bulan Bahasa 2025 di acara Malam Penghargaan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) 2025 yang diadakan pada Jumaat (7 Nov). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Diterbitkan : 08 Nov 2025 08:43PM Dikemas Kini : 08 Nov 2025 10:58PM
SINGAPURA: Jumlah program yang dianjurkan sepanjang kempen Bulan Bahasa tahun ini turun sekitar 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Kempen itu menawarkan sebanyak 131 program tahun ini berbanding 161 tahun lalu.

Meskipun demikian, mutu program-program kali ini bertambah baik menurut Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa 2025, Zhulkarnain Abdul Rahim.

"Walaupun ada penurunan dari segi angka tapi mutu program makin menaik. Jadi, lebih ramai lapisan masyarakat kita yang yang terlibat sama. Walaupun programnya kurang sedikit, kita lihat angka rakan kerjasama agak stabil. Ini bermaksud bahawa programnya lebih menyeluruh, lebih holistik, lebih mendalam," kongsinya kepada wartawan Syazwani Sanep.
Related article image
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa yang juga Pengerusi MBMS, Zhulkarnain Abdul Rahim (keempat dari kanan) dan Timbalan Pengerusi MBMS, Dr Azhar Ibrahim, (ketiga dari kanan) di acara Malam Penghargaan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) 2025 yang diadakan pada Jumaat (7 Nov). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Encik Zhulkarnain ditemui para wartawan di Malam Penghargaan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) 2025 yang diadakan pada Jumaat (7 Nov).

Majlis itu juga menghargai kumpulan-kumpulan yang bekerja keras untuk menganjurkan program-program Bulan Bahasa tahun ini.

Program-program tersebut dijayakan oleh 81 rakan kerjasama dan institusi pendidikan yang berganding bahu merancakkan usaha melestarikan bahasa Melayu di sini.
Related article image
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa yang juga Pengerusi MBMS, Zhulkarnain Abdul Rahim (tengah) bergambar bersama beberapa rakan kongsi Bulan Bahasa yang hadir di acara Malam Penghargaan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) 2025. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp).
Related article image
Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa yang juga Pengerusi MBMS, Zhulkarnain Abdul Rahim berucap di acara Malam Penghargaan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) 2025 yang diadakan pada Jumaat (7 Nov). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Beliau juga mendedahkan bahawa Bulan Bahasa 2025 berjaya menjangkau lebih 95,000 orang bagi acara-acara fizikal.

Bagi program-program online pula, jumlah jangkauannya mencecah hampir 228,000 pengguna.

Encik Zhulkarnain bahkan menyuarakan rasa besar hatinya melihat inisiatif “ground-up” daripada pelbagai lapisan masyarakat — termasuk di media sosial — yang secara tidak langsung menyemarakkan lagi semangat Bulan Bahasa.

"Saya lihat ini sebagai satu kebanggaan bahawa kami telah berjaya merakyatkan, memasyarakatkan inisiatif Bulan Bahasa. Ianya tidak dimiliki oleh jawatankuasa kami tetapi dimiliki oleh semua lapisan masyarakat," ujarnya.

Bulan Bahasa tahun ini telah berlangsung dari 16 Ogos hingga 12 Oktober 2025.

PERANAN SG SEBAGAI TUAN RUMAH MASTERA DORONG PENGLIBATAN PELBAGAI LAPISAN MASYARAKAT DALAM KEMPEN BULAN BAHASA TAHUN INI

Encik Zhulkarnain juga akur bahawa peranan Singapura sebagai tuan rumah bagi Seminar dan Persidangan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) tahun ini sedikit sebanyak mendorong penglibatan lebih meluas pelbagai lapisan masyarakat bagi kempen Bulan Bahasa tahun ini.

Ini antaranya, melalui acara Hari Mastera pada 16 Ogos yang membuka tirai MASTERA dan
Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2025 yang berlangsung pada 9 September.
Mengulas lanjut tentang bagaimana MASTERA mendukung usaha Bulan Bahasa, Encik Zhulkarnain berkata: "Kami lihat bahawa ianya ada kesan positif bahawa penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja untuk para cendekiawan atau sasterawan tetapi ia milik semua bersama. Jadi, semua lapisan masyarakat tahun ini terlibat sama."
Related article image
Acara Malam Penghargaan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) 2025 diadakan pada Jumaat (7 Nov) di Wisma Geylang Serai. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Persidangan tahun ini juga menghimpunkan 50 wakil dari negara-negara anggota MASTERA iaitu Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam yang hadir ke Singapura bagi menyertai pelbagai sesi ilmiah dan perbincangan berkaitan dunia persuratan Melayu.

Malah, Timbalan Pengerusi MBMS dan Pengerusi Jawatankuasa Persuratan MBMS, Dr Azhar Ibrahim menyifatkan peranan tuan rumah yang dipikul oleh Singapura tahun ini sebagai satu kebanggaan memandangkan peluang sebegini bukan datang setiap tahun.

"Ia memberi kita rasa kemegahan Singapura menjadi tuan rumah sebab tuan rumah ini datang setiap empat tahun. Malah, dinanti-nantikan. MASTERA sebenarnya menampilkan wacana dan pembicaraan tentang kesusasteraan. Jadi yang muda, yang tua, pengkaji, pelajar sastera atau peminat sastera pun tampil," kata Dr Azhar yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura.
BULAN BAHASA 2026 BERI TUMPUAN KEPADA PENGUASAAN BAHASA DALAM PELBAGAI LAPANGAN

Dalam pada itu, Encik Zhulkarnain juga menyambut baik peningkatan penyertaan dalam kalangan belia serta kumpulan seni belia dalam kempen Bulan Bahasa tahun ini.

Beliau berkata usaha tersebut sejajar dengan matlamat kempen tahun ini yang memberi tumpuan kepada penglibatan lebih aktif golongan muda dalam pelbagai acara Bulan Bahasa.

Mengulas mengenai hala tuju kempen pada tahun depan, Encik Zhulkarnain menjelaskan bahawa tumpuan akan diberikan kepada penguasaan bahasa dalam pelbagai lapangan dan bidang termasuk sektor pendidikan dan profesional.

“Tahun hadapan, kempen Bulan Bahasa akan lebih menumpukan kepada aspek penguasaan bahasa dalam pelbagai lapangan dan bidang serta penggunaan pelbagai wadah,termasuk teknologi untuk mendekatkan masyarakat daripada pelbagai segmen dan sektor,” ujar beliau.

Bulan Bahasa 2026 akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 11 Oktober 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita