Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah peserta program, khidmat MENDAKI naik kepada 73,000 semasa tempoh pandemik 2021

Lebih 73,000 peserta meraih manfaat daripada program-program dan khidmat sokongan MENDAKI yang dipertingkatkan tahun lalu bagi membantu masyarakat Melayu/Islam mengharungi pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lebih 73,000 peserta meraih manfaat daripada program-program dan khidmat sokongan MENDAKI yang dipertingkatkan tahun lalu bagi membantu masyarakat Melayu/Islam mengharungi pandemik COVID-19.

Jumlah itu adalah kenaikan 4 peratus berbanding 70,000 penerima manfaat pada 2020.

Demikian didedahkan Timbalan Pengerusi MENDAKI Zaqy Mohamad dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-33 badan bantu diri itu pada Sabtu (18 Jun).

Mengulas lanjut, Encik Zaqy yang juga Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia berkata pandemik COVID-19 menimbulkan pelbagai ketidaktentuan yang menjejas kehidupan orang ramai.

Justeru, MENDAKI mempertingkatkan langkah-langkah sokongan untuk membantu lebih ramai individu terutama sekali mereka yang terjejas dari segi kewangan akibat pandemik COVID-19.

"Jalan ke arah pemulihan tidak akan berjalan lancar dan pantas dengan cabaran ekonomi yang mendatang, termasuk peningkatan inflasi.

"Tahun lalu, kami meningkatkan perkhidmatan kami untuk memberi manfaat kepada lebih ramai peserta terutama mereka yang terjejas dari segi kewangan akibat COVID-19," kata Encik Zaqy.

SOKONGAN PENDIDIKAN DITINGKATKAN

Sehubungan itu, Encik Zaqy turut menggesa masyarakat supaya mengambil langkah-langkah melindungi masa hadapan mereka supaya dapat kekal relevan dan maju dalam dunia yang tidak menentu dan kian mencabar.

Ini dengan mengutamakan pendidikan anak-anak semasa mereka kecil dan meningkatkan kemahiran sendiri.

Bagi pihak MENDAKI, badan bantu diri itu bersedia untuk meningkatkan lagi sokongan dalam pendidikan melalui peningkatan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat.

Tahun lalu, ia mengagihkan S$45 juta Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) kepada lebih 11,000 pelajar Melayu.

Jumlah subsidi yang diagihkan kekal sama dengan 2020, namun lebih ramai pelajar Melayu yang dibantu kali ini.

Sehubungan itu, MENDAKI juga mempertingkatkan pelaburannya dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Pada 2021, MENDAKI menawarkan program KelasMatematika (KMM) secara online ekoran langkah pengurusan selamat diketatkan kerana pandemik COVID-19.

Disebabkan itu, jumlah peserta program eKelasMatematika naik secara mendadak iaitu lebih 4.5 kali ganda daripada 785 pada 2020 kepada 3,564 pada 2021.

Hasil sambutan yang memberangsangkan, MENDAKI merancang untuk terus menawarkan program KMM secara hibrid.

"Bagi saya ini mungkin diteruskan tetapi mungkin secara hibrid kerana ramai dari segi keberkesanannya, kita mahu juga anak-anak kita bukan sahaja dari rumah dapat menjalani program itu tetapi dalam kalangan mereka juga dapat mempelajari daripada satu sama lain," kata Encik Zaqy.

MENDAKI juga merancang untuk mendampingi lagi 600 mentor dan 2,000 peserta menerusi Pejabat Mentor Belia (YMO) pada 2022.

Bagi para pemohon kerja, MENDAKI menempatkan beberapa penasihat penjagaan di lima Pusat Satelit MENDAKI dan tiga ruang belia di kolej-kolej Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tahun ini.

Ini bagi memudahkan para pemohon kerja untuk mendapatkan bimbingan kerjaya dan kemudahan kerja.

PELANTIKAN EMPAT ANGGOTA LEMBAGA PENGARAH BARU

Dalam pada itu, MENDAKI melantik empat anggota baru ke dalam lembaga pengarahnya bagi penggal 2022 hingga 2024:

1. Muhammad Fadhlullah Bin Daud (Darul Arqam Singapura)

2. Muhammad Syahiran Bin Rohajat (DPPMS)

3. Nassar Bin Mohd Zain (4PM)

4. Nadia Yeo (LBKM)

Dua lagi anggota dilantik semula untuk penggal dua tahun, manakala empat anggota bersara.

Pelantikan semula:

1. D'Cruz Firdaus Lionel Wilfred (Pusat Kebajikan & Pendidikan Pertapis)

2. Muhammad Azri Bin Azman (Persatuan Muhammadiyah)

Bersara:

1. Fazli Mansor (DPPMS)

2. Halil Haji Mansor (LBKM)

3. Dr Mustafa Izzuddin (4PM)

4. Nur Hani Nasir (Darul Arqam Singapura)

Sekitar 50 peserta menghadiri Mesyuarat Agung MENDAKI yang diadakan secara fizikal buat julung-julung kalinya selepas pandemik COVID-19.

Sesi pada Sabtu (18 Jun) itu dipengerusikan oleh Pengerusi MENDAKI yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan