Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pesalah guna dadah belia meningkat pada 2024; 52% baharu diberkas bawah usia 30 tahun

Walaupun situasi dadah di Singapura kekal terkawal pada 2024, jumlah kes pesalah dadah dalam kalangan belia tetap meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah pesalah guna dadah belia meningkat pada 2024; 52% baharu diberkas bawah usia 30 tahun

Methamphetamine, ganja dan ecstasy antara tiga dadah yang kerap disalahgunakan oleh pesalah dadah baharu yang diberkas pada 2024. (Gambar fail: iStock)

Diterbitkan : 12 Feb 2025 01:33PM Dikemas Kini : 12 Feb 2025 07:56PM
SINGAPURA: Walaupun situasi dadah di Singapura kekal terkawal pada 2024, jumlah kes pesalah dadah dalam kalangan belia tetap meningkat.

Demikian menurut statistik Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Rabu (12 Feb).

Dalam laporan statistik tahunan, pemangku pengarah CNB Leon Chan berkata trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia adalah "membimbangkan", terutama sekali bagi "permulaan awal penyalahgunaan dadah".

Terdapat kenaikan 1 peratus dalam jumlah pesalah guna dadah baharu yang diberkas, iaitu naik daripada 952 pada 2023 kepada 966 pada 2024.

Dalam kalangan pesalah dadah yang baharu diberkas tahun lalu, sekitar 52 peratus berusia bawah 30 tahun berbanding dengan 51 peratus pada 2023.

Sementara itu, jumlah pesalah guna dadah bawah usia 20 tahun yang diberkas meningkat sebanyak 30 peratus.

Sebanyak 61 peratus daripada mereka yang diberkas bagi kesalahan ganja merupakan pesalah dadah baharu, di mana 57 peratus daripadanya berusia bawah 30 tahun.

Dalam kalangan 720 pesalah guna dadah methamphetamine yang diberkas, 53 peratus berusia bawah 30 tahun.

Encik Chan memberi contoh seorang belia berusia 13 tahun yang merupakan pesalah guna dadah termuda yang diberkas pada 2024.

"Jauh lebih muda daripada purata umur permulaan penyalahgunaan dadah iaitu 16 tahun", seperti didedahkan dalam tinjauan pada 2022 oleh Institut Kesihatan Mental (IMH).

Dengan kenaikan jumlah pesalah dadah ganja yang berusia bawah 30 tahun, Encik Chan menarik perhatian ia mencadangkan "terdapat trend meningkat melibatkan penerimaan berleluasa terhadap ganja dalam kalangan belia kita".

Methamphetamine, ganja dan ecstasy merupakan tiga jenis dadah yang banyak disalahgunakan oleh pesalah dadah baharu yang diberkas pada 2024, menurut CNB, dengan sekurang-kurangnya 92 peratus daripada mereka menyalah guna salah satu daripada ketiga-tiga dadah berkenaan.

Dalam kalangan pesalah dadah baharu, 720 diberkas bagi kesalahan dadah methamphetamine - naik daripada 63 peratus pada 2023 kepada 75 peratus pada 2024.

Menurut CNB, jumlah pesalah guna dadah ganja yang diberkas pada 2024 tetap lebih tinggi berbanding purata tahunan yang dicatatkan sepanjang sedekad lalu.

Sementara itu, keseluruhan jumlah pesalah dadah yang diberkas merosot sebanyak 0.1 peratus, daripada 3,122 pada 2023 kepada 3,119 pada 2024.

CNB telah melumpuhkan 25 sindiket dadah pada 2024, termasuk yang beroperasi menggunakan wadah Telegram.

Menurut CNB, rampasan dadah dengan anggaran nilai pasaran sebanyak S$13.5 juta telah dibuat.

"Bahaya akibat penggunaan dadah ini sangat meluas," kata Encik Chan.

"Selain daripada bahaya terhadap kesihatan dan kesejahteraan pesalah guna dadah itu, ahli keluarga dan individu kesayangan mereka seringkali terpaksa menderita dalam diam kerana mereka perlu menanggung beban emosi, kewangan dan kadangkala kesan fizikal akibat ketagihan dadah ahli keluarga tersayang itu."

Beliau menambah, masyarakat juga "menanggung kesan akibatnya", di mana anggota masyarakat tidak bersalah "menjadi mangsa jenayah berkaitan dadah yang dijalankan oleh para pesalah guna dadah di bawah pengaruh dadah".

"Kita tidak boleh dan tidak harus membolehkan masalah dadah ini berakar dan berkembang," tegas Encik Chan.

"Ibu bapa terutama sekali, mempunyai peranan aktif - dengan melibatkan anak-anak mereka secara aktif dalam perbualan tentang bahaya dadah, kita boleh melindungi mereka dengan lebih baik daripada salah maklumat dan idea mengelirukan yang menormalisasikan perbuatan mengambil dadah."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan