Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pesalah dadah baru kaum Melayu turun paling banyak; kempen DIH bakal dikemas kini

Jumlah pesalah dadah baru daripada masyarakat Melayu mencatatkan kadar penurunan paling banyak berbanding kaum lain.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah pesalah dadah baru daripada masyarakat Melayu mencatatkan kadar penurunan paling banyak berbanding kaum lain.

Bilangan pesalah dadah Melayu yang baru berkurangan sebanyak 21 peratus daripada 366 pada 2021 kepada 289 pada 2022.

Pesalah dadah baru kaum Cina mencatatkan penurunan sebanyak 12 peratus dan kaum India pula sebanyak 13 peratus.

Demikian menurut perangkaan tahunan yang dikeluarkan oleh Biro Narkotik Pusat (CNB) pada Rabu (15 Feb).

"Ini adalah perkembangan yang positif di mana dengan adanya pengurangan ini, lebih ramai anak-anak Melayu kita yang boleh melibatkan dalam aktiviti-aktiviti yang lebih sihat dan membangunkan diri mereka supaya mereka boleh dapat mendampingi bersama-sama dengan rakan mereka keluarga mereka dan terus membangunkan keluarga dari segi aspek individu mereka," kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal turut meluahkan rasa bangganya atas pencapaian tersebut.

Ini tambah beliau hasil sokongan padu masyarakat terhadap inisiatif Dadah Itu Haram (DIH) yang dilancarkan sejak 2017.

Beliau berkata, "Mereka (masyarakat) menyambut dengan baik, dengan positif dan beri perangsang untuk kita meneruskan usaha ini kerana mereka tahu dadah itu memusnahkan dan mereka tidak mahu ia menjejaskan masyarakat kita dan sama-sama mereka mahu kita terus membangun dan ke arah kecemerlangan"

Dr Faishal menjelaskan hal itu kepada pihak wartawan di luar satu sesi pendampingan Dadah Itu Haram (DIH) pada Sabtu (18 Feb).

SELEPAS 5 TAHUN, DADAH ITU HARAM AKAN DIKEMASKINI, DIPERLUASKAN

Sesi pendampingan yang diadakan di sekitar kawasan Kampong Gelam itu turut disertai para relawan dari kumpulan motosikal, gunting rambut dan rangkaian belia.

Di samping beramah mesra dan menyebarkan mesej antidadah, sekitar 300 orang ramai berbilang kaum dan usia turut menerima 'pin' dan pelekat kempen DIH.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Inisiatif sebegitu sebahagian usaha pendampingan masyarakat yang kerap dijalankan termasuk di masjid-masjid.

Ia dilancarkan pada April 2017 dan menurut Dr Faishal, sudah tiba masanya program tersebut dikemaskini bagi memperkukuhkan lagi mesej memerangi dadah dan mendapat jangkauan yang lebih luas.

"Kita mahu memikirkan bagaimana kita boleh terus meluaskan pendekatan kita dengan lebih dalam. Bukan sahaja dengan kerjasama dengan badan-badan ini, kumpulan ini, tapi yang penting bagaimana kita boleh memperkasakan ibu bapa, rakan-rakan, belia-belia ini supaya kita boleh sama-sama tengok-tengok, berjaga-jaga tentang aspek-aspek yang negatif tentang dadah ini yang sering kita dapat lihat di media sosial, internet,"tambah Dr Faishal.

Dalam pada itu, Dr Faishal turut meluahkan kebimbangan ke atas jumlah belia yang diberkas atas kesalahan menggunakan ganja yang meningkat pada tahun lalu.

Beliau mengalu-alukan golongan ibu bapa serta teman-teman untuk memainkan peranan mereka, membantu mengenal pasti gejala-gejala sekiranya seseorang remaja itu terjerumus ke dalam kancah dadah.

"Kita akan terus menyebarkan mesej ini kongsi maklumat tentang gejala-gejala yang ada dan yang paling penting juga saya rasa rakan-rakan boleh memberi sokongan. Kita mahukan lebih banyak inisiatif 'ground-up' supaya mereka boleh memainkan peranan, mereka juga boleh membangunkan usaha ini bersama," ujar Dr Faishal.

(Gambar: Muhammad Firdaus Jumadi)

Dr Faishal yang baru sahaja menghadiri Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat berkongsi beliau sempat bertukar-tukar pandangan bersama para pemimpin antarabangsa tentang isu penyalahgunaan dadah di negara masing-masing.

"(Para pemimpin) memberikan maklum balas yang positif kepada Singapura kerana kita tegas dalam aspek dadah ini dan kita mahu memberikan ruang pembangunan kepada anak-anak kita dan masyarakat kita.

"Jadi kita sama-sama nak meneruskan usaha ini nak memperkukuhkan ataupun mengukuhkan lagi proses ini supaya bukan sahaja kita boleh membangunkan Singapura yang lebih selamat, tapi kita juga mahu membangunkan ataupun menyumbang dalam pembangunan era global yang selamat," jelasnya.

Orang ramai juga boleh menjangkakan lebih banyak usaha DIH menjelang bulan Ramadan nanti.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan