Jumlah pesakit dapatkan bantuan psikiatrik meningkat 20% sejak 2019
Dahulu, dia seorang yang ceria bahkan pernah menjadi seorang pempengaruh media sosial.
Namun secara tiba-tiba, dunianya berubah menjadi gelap.
Sukar untuk dijelaskan, Aidil Arsad tidak tahu mengapa dia mula merasa dirinya sukar untuk lakukan kerja-kerja seharian seperti mandi dan makan.
Dia mula merasakan sesuatu tidak kena apabila terbit rasa mahu bunuh diri pada 2014.
Ini mendorong Aidil untuk dapatkan bantuan dan rawatan psikiatrik.
"Penyakit yang saya alami iaitu Generalised Anxiety Disorder,Gangguan Tekanan Utama(MDD), dan juga Gangguan Tekanan Pasca Trauma. Ketiga-tiga ini sudah disahkan oleh doktor dan pakar psikiatrik di Universiti Kebangsaan Singapura (NUH) pada tahun 2014.Ketika itu memang amat susah untuk saya bagaimana untuk menangani setiap simptom dan juga 'trigger' yang perlu saya alami," kongsi Encik Aidil Arsad.
Pada awalnya dia merahsiakan perkara itu daripada ahli keluarga dan kawan-kawan kerana tidak ingin membebankan mereka.
"Sebenarnya saya ini seorang yang pendiam, di rumah mahupun di luar jadi saya ni bukan tidak percaya dengan orang, saya cuma tidak ingin membebankan orang lain dengan masalah saya, saya lebih suka untuk menyimpan dan ia tidak baik buat saya," kata Encik Aidil.
Beliau menjelaskan beberapa simptom yang dialaminya kepada wartawan Nurfazirah Azman.
"Saya mengalami banyak 'panic attack' dalam sehari dan itu menyebabkan saya sukar untuk keluar rumah kerana rasa takut, cemas, sedih dan kehilangan, semuanya bercampur baur dan membuat saya hilang rasa minat untuk melakukan perkara-perkara yang saya sering lakukan," ujar Encik Aidil.
Kini Aidil sedar bahawa mendapat bantuan dan kesedaran tentang penyakit mental penting dan ia memerlukan usaha sama setiap lapisan masyarakat.
"Isu kesihatan mental ini tidak hanya khusus kepada pesakit ataupun pada para penjaga, ia harus diluaskan kepada semua masyarakat kerana dari situlah 'stigma' ataupun 'tabu' tentang isu penyakit mental ini akan pupus kerana usaha kolektif mereka lebih terbuka dan memahami, lebih menerima dan pesakit mental pun tidak rasa terpinggir atau disisihkan, kata Encik Aidil.
Beliau kemudian memutuskan untuk membawa ibu bapanya bertemu dengan pakar psikiati di Insitusi Kesihatan Mental (IMH) untuk memperdalam ilmu tentang penyakit mental.
"Kedua ibu bapa saya sukar untuk memahami tentang penyakit mental ini secara am kerana tidak ada salah satu anggota keluarga kami pun atau saudara mara yang pernah menghadapi penyakit mental dan itu agak janggal untuk menerima. Dari situlah saya bawa mereka sekali untuk bertemu dengan psikiatrik di IMH dan mereka dapat mempelajari tentang situasi saya dan juga memahami simptom-simptom atau 'trigger' yang akan membuat saya jatuh dalam kemurungan, kata Encik Aidil.
Selain mendapatkan rawatan terapi dan perubatan yang sesuai, beliau juga menggunakan seni dan penulisan sebagai wadah untuk meluahkan perasaannya.
SUMBANG KEMBALI SEBAGAI DUTA
Beliau kini adalah duta inisiatif Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan TOUCH Community Services, 'Beyond The Label' (BTL) yang bertujuan menghapuskan stigma penyakit mental di kalangan masyarakat.
Beliau berharap dengan mengongsi pengalamannya, ia dapat dijadikan peran contoh buat mereka yang senasib dengannya.
JUMLAH MASYARAKAT DAPATKAN BANTUAN PSIKIATRIK MENINGKAT 20%
Usaha sebegini lebih penting lagi kini kerana menurut TOUCH Mental Wellness, jumlah pesakit yang mendapatkan bantuan psikiatrik baru-baru ini meningkat 20%.
Selain para belia, golongan dewasa dan warga emas juga kini sudah memberanikan diri untuk mendapatkan bantuan.
"Dari 2019 hingga kini, Belle, BTL 'help bot' kami sudah menerima lebih dari 21,000 pertanyaan dan tahun lepas kami menerima lebih 6000 pertanyaan. Ada beberapa faktor mengapa orang ramai datang mendapatkan bantuan. Salah satunya adalah kerana ada lebih kesedaran tentang kesan dan simptom, kurangnya stigma dalam menerima bantuan. Selain itu, ada peningkatan dalam khidmat yang tersedia," kata Cik Andrea.
Ada yang juga datang untuk mendapatkan pertolongan berhubung tekanan di sekolah, perkahwinan dan hubungan keluarga.
Beliau turut mendedahkan lebih ramai warga emas yang mendapatkan rawatan psikiatrik.
"Warga emas terutama sekali mereka yang semakin hampir dengan persaraan datang ke sini kerana apabila mereka bersara tanpa ada rancangan, mereka akan rasa seperti kehilangan 'identiti' mereka. 'Saya pernah bekerja di syarikat X dan meraih banyak pencapaian. Siapalah saya sekarang tanpa itu," kongsi Cik Andrea.
Mereka akan mula mempersoalkan apakah tujuan mereka dan ini akan mencetuskan tekanan di kalangan warga emas.
"Saya rasa orang ramai takut untuk mendekati atau menyokong mereka yang menghadapi masalah mental. Sebagai seorang pakar, saya sedar dan lihat peri pentingnya untuk ada rangkaian sokongan yang kuat, keluarga yang kukuh untuk membantu dalam kesembuhan individu," ujar Cik Andrea.
Dalam usaha untuk membantu masyarakat memperdalam ilmu berhubung kesihatan mental, acara 'Beyond The Label' diadakan di kawasan kejiranan seperti di pusat membeli-belah Westgate dan Waterway point pada Oktober ini.
Dengan tema "Mental Wellness Begins with All of Us", acara tahun ini ingin menekankan bahawa kesihatan mental adalah tanggungjawab bersama dan bermula dengan setiap individu mengambil tindakan di rumah, sekolah, kawasan kejiranan dan di tempat kerja.
Sejak dilancarkan pada 2018, lebih 55,000 individu sudah meraih manfaat dari pelbagai inisiatif 'Beyond The Label'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.