Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pesakit COVID-19 di hospital "naik agak ketara", kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
 Jumlah pesakit COVID-19 di hospital "naik agak ketara", kata Ong Ye Kung

Petugas jagaan kesihatan memakai PPE di TTSH, 30 Apr 2021. (Gambar fail: Calvin Oh)

SINGAPURA: Jumlah kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital "meningkat dengan agak ketara" kepada hampir 700, dan hospital-hospital sudah mula mengurangkan prosedur bukan COVID-19 serta elektif.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (5 Jul).

Encik Ong berkata demikian semasa menjawab pertanyaan tambahan oleh AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) mengenai sama ada hospital-hospital akan mengurangkan prosedur elektif disebabkan gelombang jangkitan COVID-19.

"Jumlah kes yang dimasukkan ke hospital mencecah hampir 700 sekarang, jadi ia sudah meningkat agak ketara. Ini berbanding kemuncak gelombang Omicron awal tahun ini, di mana kami mempunyai sekitar 1,700 kes yang dimasukkan ke hospital," tambah beliau.

"Pada waktu itu kami mengurangkan (tugas yang dijalankan seperti biasa) 15 peratus. Jadi sekarang kami sudah mula mengurangkan (tugas yang dijalankan seperti biasa), kebanyakannya prosedur elektif dan pengurangan itu sekitar empat peratus."

Semasa kemuncak gelombang awal Omicron, Singapura menyaksikan sekitar 18,000 kes baru COVID-19 sehari.

Jumlah kes COVID-19 hari ini dijangka melebihi 12,000, sekitar 10 peratus lebih banyak berbanding Selasa minggu lalu, kata Encik Ong dalam respons awal beliau di Parlimen.

"Ini adalah tanda bahawa kita sudah berada hampir di kemuncak (jangkitan), dan jika tidak, kita harus berasa lega bahawa jumlah kes minggu ini tidak naik seganda daripada minggu lalu. Jika tidak, kita mencatat 24,000 atau 22,000 kes minggu ini," kata beliau.

PERMINTAAN TINGGI BAGI KATIL

Menjawab pertanyaan AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) pula tentang sama ada "kelengkapan jagaan kesihatan mencukupi" untuk menangani gelombang seterusnya, Encik Ong berkata kunci untuk menangani gelombang seterusnya adalah dengan memastikan kapasiti hospital Singapura "tidak terlalu tertekan".

Ini termasuk memastikan perlindungan tinggi vaksinasi dan suntikan dos penggalak , serta memastikan institusi dan kemudahan jagaan kesihatan bersedia untuk menambah kapasiti jika jumlah kemasukan ke hospital meningkat, tambah beliau.

"Hospital-hospital kita kekal bersedia untuk menambah kapasiti khas di ICU dan bagi katil pengasingan sekiranya jumlah pesakit COVID-19 yang perlu dirawat di hospital meningkat," ujar Encik Ong.

Terdapat juga "jumlah katil yang mencukupi" di kemudahan-kemudahan rawatan COVID-19 bagi kes serius yang tidak memerlukan jagaan di hospital, kata beliau, sambil menambah 25 peratus kemudahan rawatan sedemikian bagi COVID-19 digunakan.

Kemudahan-kemudahan tersebut "baru-baru ini digabungkan" daripada lebih 2,000 katil kepada sekitar 1,300 katil, dengan "nisbah pengendalian yang lebih tinggi", kata Encik Ong. Ini menjadikannya lebih mudah untuk memindahkan pesakit dari hospital ke kemudahan tersebut tanpa "kemerosotan ketara" pada paras jagaan, tambah beliau.

Bagaimanapun, hospital-hospital awam terus berdepan "permintaan tinggi" daripada pesakit bukan COVID-19, kata Encik Ong.

"Selepas beberapa tempoh, kami berharap lebih banyak (kemudahan rawatan COVID-19) kami boleh dijadikan kemudahan pengasingan dan rawatan pelbagai guna, bagi pesakit COVID-19 dan juga bukan COVID-19," tambah beliau.

Kemudahan rawatan COVID-19 di Hospital Masyarakat Sengkang sudah "disesuaikan" kepada model baru, dan pihak berkuasa akan meneroka untuk melakukan yang sama kepada kemudahan-kemudahan lain, kata Encik Ong.

Sedang gelombang kes jangkitan dijangkakan, Encik Ong berkata Pemerintah masih mengekalkan syarat wajib memakai pelitup di tempat tertutup meskipun jumlah kes adalah "rendah dan stabil" untuk "mengawal kadar jangkitan" apabila gelombang baru tiba.

"Jika kita masih mahu mengurangkan lagi kadar jangkitan, langkah-langkah pengurusan selamat yang lebih ketat perlu dilaksanakan. Ini bermakna memperkenalkan semula peraturan seperti saiz kumpulan, had kapasiti dan memakai pelitup di tempat terbuka," kata Encik Ong.

"Kita tidak boleh mengecualikan langkah-langkah tersebut sekiranya kita dibelenggu gelombang serius jangkitan, tetapi selagi boleh, kita harus mengelakkannya, lebih-lebih lagi jika kita agak yakin kapasiti hospital kita boleh bertahan, dan kita bertekad untuk terus hidup dengan COVID-19 menjadi endemik dan sebahagian hidup kita."

TENAGA KERJA DI HOSPITAL

Encik Yip juga bertanya sama ada hospital-hospital berupaya menggajikan kakitangan baru bagi gelombang jangkitan COVID-19, untuk menggantikan gelombang tenaga manusia yang sudah meninggalkan sektor jagaan kesihatan.

"Tenaga manusia sememangnya satu cabaran," kata Encik Ong, sambil menambah bahawa kadar berhenti kerja sekarang ini setanding dengan apa yang disaksikan hospital-hospital pada 2019.

"Pada Februari terdapat sedikit kenaikan selepas bonus diterima, tetapi selain itu jumlah terbaru dari bulan ke bulan setanding dengan apa yang kami alami pada 2019 sebelum pandemik," kata Menteri Kesihatan itu.

"Sekalipun demikian, ia semakin sukar untuk bertahan dan merekrut jururawat hijrahan disebabkan COVID-19 sebagai pandemik global, menggajikan jururawat adalah perkara berhubung kait persaingan antarabangsa."

Singapura mempunyai kumpulan bakat jagaan kesihatan agak besar, kata Encik Ong, sambil menambah kursus-kursus di sekolah biasanya menerima banyak permohonan.

"Namun saiz kohort kita terbatas. Permintaan jagaan kesihatan kita semakin meningkat, jadi, kita mesti berupaya menerima hakikat bahawa selepas beberapa tempoh kita mesti merekrut lebih ramai jururawat hijrahan daripada pelbagai sumber," tambah beliau.

Ini termasuk berupaya melatih bakat-bakat tersebut dan membayar mereka dengan gaji yang berdaya saing, ujar Encik Ong.

"Mereka yang bagus lama kelamaan harus boleh menjadi sebahagian daripada masyarakat kita, menjadi (penduduk tetap) dan hidup bersama keluarga mereka di sini, berskeolah di sini," tambah beliau.

"Saya rasa ini sahaja cara untuk kita bukan hanya mengharungi gelombang ini, tetapi sedang penduduk kita semakin menua, bahawa profil atau saiz tenaga kerja jagaan kesihatan kita perlu diperluas, dan kita mesti memanfaatkan kedua-dua tenaga tempatan yang kukuh serta pekerja hijrahan."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan