Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pertanyaan, kes baru keganasan keluarga naik 3 tahun lalu; kesedaran masyarakat makin tinggi

Jumlah pertanyaan dan kes baru berhubung keganasan keluarga yang ditangani oleh agensi-agensi pemerintah meningkat sepanjang tiga tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah pertanyaan dan kes baru berhubung keganasan keluarga yang ditangani oleh agensi-agensi pemerintah meningkat sepanjang tiga tahun lalu.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Muhammad Faishal Ibrahim berkongsi kemas kini tersebut semasa melakukan lawatan ke Sekolah Rendah Palm View pada Khamis (27 Jan).

Dr Faishal berkunjung ke sana untuk melihat sendiri bagaimana buku bergambar berjudul ‘A Day with Bob’ diterapkan dalam pelan pembelajaran sekolah tersebut.
 

Menteri Negara MHA merangkap MND, Dr Faishal Ibrahim, masuk kelas di Sekolah Rendah Palm View pada 27 Jan 2022. (Gambar: SPF)

Buku itu adalah inisiatif yang diterajui oleh Divisyen Polis Ang Mo Kio yang disokong Pusat Menggalak Alternatif terhadap Keganasan (PAVE). Ia bertujuan untuk meningkat kesedaran terhadap keganasan keluarga dalam kalangan kanak-kanak.

Dalam kenyataannya, Pasukan Polis Singapura (SPF) menyatakan jumlah aduan polis berhubung keganasan keluarga naik dari 5,134 pada 2020 kepada 5,209 tahun lalu.

Jumlah pertanyaan tentang keganasan keluarga yang diterima oleh Pusat Pakar Keganasan Keluarga (FVSC) serta Pusat Pakar Perlindungan Individu dan Keluarga Perkhidmatan Bersepadu (ISIFPSC) (PAVE) juga meningkat dari 2,906 pada 2018 kepada 4,574 pada 2020.

Begitu juga dengan jumlah kes keganasan keluarga yang ditangani agensi-agensi tersebut, naik dari 891 pada 2018 kepada 1,103 pada 2020.

SPF mengaitkan peningkatan tersebut dengan tahap kesedaran lebih tinggi terhadap keganasan keluarga melalui kempen 'Break the Silence' yang dilancarkan pada 2016 oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Menurut Dr Faishal, inisiatif akar umbi seumpama pelancaran buku itu serta usaha pemerintah menyumbang kepada kesedaran lebih tinggi masyarakat terhadap keganasan keluarga, sekali gus meningkatkan tanggungjawab dan memperkukuhkan ekosistem berhubung isu tersebut.

Beliau menambah kanak-kanak khususnya mudah didepani keganasan keluarga kerana mereka mungkin tidak tahu menilai tingkah laku yang berunsur penganiayaan sebagai satu bentuk keganasan.

"Maka itu, penting untuk mendekati mereka dengan cara yang boleh dikaitkan dengan mereka seperti menerusi buku bergambar ini," kata Dr Faisal.

Buku itu, menurut Dr Faishal, berusaha untuk membantu kanak-kanak memahami bahawa keganasan keluarga bukan satu perkara sulit. Beliau berkata melalui buku itu, kanak-kanak boleh mengenal pasti tanda-tanda atau unsur-unsur keganasan keluarga, tahu di mana untuk mendapatkan bantuan selain menggalak mereka untuk meminta pertolongan awal sekiranya mereka adalah mangsa.

"Buku itu juga menggalak kanak-kanak untuk memberi perhatian kepada rakan-rakan mereka yang mungkin terjerat dalam keganasan keluarga," tambahnya.

Seorang pelajar Sekolah Rendah Palm View membaca buku 'A Day with Bob. (Gambar: SPF)

SEKOLAH RENDAH TERAPKAN NILAI TELADAN BUKU DALAM PELAJARAN BILIK DARJAH

Sejak dilancarkan pada 2020, sebanyak 41,208 naskhah buku ‘A Day with Bob' sudahpun diedarkan kepada 184 sekolah rendah.

Sekolah-sekolah diberikan kelonggaran untuk menerapkan pengajaran daripada buku tersebut ke dalam pelajaran di dalam bilik darjah pada penggal pertama 2022. Misalnya, guru darjah boleh menggunakan buku itu untuk menyampaikan pelajaran tentang bagaimana anggota keluarga boleh saling menyokong satu sama lain.

"Apa yang menonjol adalah buku itu ditulis dalam gaya yang sangat menarik minat kanak-kanak. Jadi terutamanya bagi kanak-kanak kecil, buku ini ditulis untuk Darjah 4, ramai di antara mereka berusia 9 hingga 10 tahun. Mereka seronok menikmati ciri-ciri interaktif buku itu. Misalnya, ada pelekat di bahagian belakangnya," kata Cik Ming Kum, Pengetua Sekolah Rendah Palm View.

Guru menyampaikan pelajaran menggunakan buku 'A Day with Bob' bersama murid-murid darjahnya di Sekolah Rendah Palm View pada 27 Jan 2022. (Gambar: SPF)

Melalui cara sedemikian, jelas Dr Faishal, murid-murid boleh menilai masalah keganasan keluarga dengan cara yang lebih dekat di hati mereka sambil menikmati sesi pelajaran bersama seisi kelas.

Dalam proses itu, tambahnya, mereka dapat memupuk nilai-nilai penting seperti empati, saling menjaga antara satu sama lain dan juga melindungi diri sendiri daripada ancaman serta bahaya.

"Saya berbesar hati melihat buku yang bermula sebagai satu inisiatif kecil dari akar umbi tetapi kini disediakan sebagai satu sumber di semua sekolah rendah kita.

"Ia juga menunjukkan apa yang boleh dikecapi Pemerintah dan agensi-agensi khidmat sosial apabila kita berganding bahu dalam soal menangani masalah seperti keganasan keluarga," ujar Dr Faishal.

Beliau berharap menerusi inisiatif sedemikian, mesej dan kesedaran tentang keganasan keluarga dapat disampaikan kepada masyarakat dengan jelas.

"Kita boleh membangunkan sebuah masyarakat bersama, yang penyayang dan menjaga satu sama lain serta membawa kebahagiaan kepada keluarga-keluarga di Singapura.

"Sama-sama, kita boleh memecahkan kesunyian dan menghentikan keganasan," ungkapnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan