Skip to main content

Singapura

Jumlah perkahwinan merosot, perceraian meningkat di S'pura tahun lalu

Jumlah pasangan yang berkahwin di Singapura berkurangan, manakala lebih banyak perkahwinan berakhir dengan perceraian tahun lalu, menurut Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada Selasa (28 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Jul 2020 02:56PM Dikemas Kini : 28 Jul 2020 10:06PM

SINGAPURA: Jumlah pasangan yang berkahwin di Singapura berkurangan, manakala lebih banyak perkahwinan berakhir dengan perceraian tahun lalu, menurut Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada Selasa (28 Jul).

Sebanyak 25,434 perkahwinan didaftarkan pada 2019, iaitu 5.8 peratus lebih rendah berbanding 27,007 perkahwinan yang didaftar pada 2018.

Sepanjang tempoh lima tahun, bagaimanapun, jumlah purata tahunan perkahwinan yang didaftar meningkat kepada 27,389 berbanding 26,844 antara 2010 dengan 2014.

Perangkaan SingStat menunjukkan bahawa pasangan-pasangan juga mendirikan rumahtangga lebih lewat, dengan usia median bagi perkahwinan pertama meningkat dari 29.8 tahun kepada 30.4 tahun bagi golongan lelaki dan 27.5 tahun kepada 28.8 tahun bagi golongan wanita antara 2009 dengan 2019.

Sementara kebanyakan pengantin lelaki yang mendirikan rumahtangga buat kali pertama terus lebih berusia berbanding pengantin perempuan, kadar wanita yang berkahwin dengan lelaki lebih muda meningkat daripada 16 peratus pada 2009 kepada 18.3 peratus pada 2019.

Perkahwinan melibatkan golongan bawah umur (bawah 21 tahun) juga berkurangan dengan kadar merosot bagi perkahwinan sivil daripada 2.7 peratus pada 2009 kepada 0.5 peratus tahun lalu, dan daripada 7.3 peratus kepada 2.8 peratus dalam kalangan perkahwinan Muslim.

Perkahwinan campur terus meningkat, daripada 18.4 peratus pada 2009 kepada 22.9 peratus tahun lalu.

LEBIH BANYAK PERCERAIAN

Keseluruhannya 7,623 perkahwinan berakhir dengan perceraian atau pembatalan tahun lalu, iaitu satu kenaikan 3.8 peratus berbanding 7,344 perkahwinan pada tahun sebelumnya.

Antara 2015 dengan 2018, jumlah purata pembatalan perkahwinan adalah 7,536, meningkat daripada 7,402 dalam tempoh lima tahun sebelumnya, menurut SingStat.

Kebanyakan perceraian sivil pada 2019 difailkan oleh pihak isteri (65 peratus), lebih tinggi sedikit berbanding 2009 (64.2 peratus).

Sebab utama golongan wanita meminta perceraian adalah "tingkah laku tidak munasabah" suami, yang disebut 58.5 peratus wanita. Antara sebab golongan lelaki memfailkan perceraian ialah "tinggal berjauhan atau berasingan selama tiga tahun atau lebih", yang disebut oleh 51.9 peratus lelaki.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita