Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah perkahwinan dan kelahiran dalam kalangan rakyat SG merosot pada 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah perkahwinan dan kelahiran dalam kalangan rakyat SG merosot pada 2023

(Gambar hiasan: Stacie Ong/Unsplash)

SINGAPURA: Jumlah perkahwinan serta kelahiran rakyat Singapura merosot tahun lalu, menurut Laporan Penduduk tahunan yang dikeluarkan pada Selasa (24 Sep).

Pada 2023, terdapat 24,355 perkahwinan dalam kalangan warganegara Singapura, penurunan sekitar 1.7 peratus daripada paras rekod sebanyak 24,767 perkahwinan tahun lalu.

Namun, jumlah itu tetap lebih tinggi berbanding paras sebelum pandemik menurut laporan yang dikeluarkan oleh Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD) Pejabat Perdana Menteri (PMO) serta agensi rakan kongsi.

Purata jumlah perkahwinan warganegara tahunan antara 2019 dan 2023 (22,800) adalah lebih rendah daripada purata yang dicatatkan antara 2014 dan 2018 (24,000).

Usia pengantin perempuan dan pengantin lelaki juga semakin meningkat. Umur median bagi perkahwinan pertama pengantin lelaki dan perempuan rakyat Singapura masing-masing ialah 30.7 dan 29 tahun pada 2023, meningkat daripada 30.1 dan 27.8 tahun pada 2013.

Lebih daripada satu pertiga (36 peratus) perkahwinan warganegara Singapura tahun lalu adalah rentas negara, serupa dengan paras sebelum pandemik pada 35 hingga 39 peratus (dari 2013 hingga 2019).

Kira-kira satu daripada enam perkahwinan warganegara Singapura tahun lalu adalah silang etnik, satu bahagian yang kekal agak stabil dalam dekad yang lalu.

Dalam kalangan penduduk warganegara Singapura berumur 25 hingga 49 tahun, terdapat peratusan bujang yang lebih tinggi merentasi hampir semua peringkat umur tahun lalu berbanding 2013. Ini selain mereka yang berumur antara 35 dan 39 tahun serta golongan lelaki yang berumur antara 40 hingga 44 tahun, yang menyaksikan penurunan dalam jumlah penduduk yang belum berkahwin.

KELAHIRAN MEROSOT, POPULASI SEMAKIN MENUA

Kelahiran warganegara Singapura turun 5.1 peratus kepada 28,877 tahun lalu berbanding 2022 (30,429).

Pada 2023, kadar kesuburan keseluruhan (TFR) penduduk Singapura merosot ke paras bawah 1.0 buat kali pertama, pada 0.97.

Mengikut kaum, TFR bagi penduduk Cina ialah 0.81. TFR bagi penduduk India pula adalah 0.95 manakala penduduk Melayu ialah 1.65.

Walaupun TFR secara amnya menurun sejak beberapa dekad yang lalu, laporan itu mendedahkan ini mungkin diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19, yang mengakibatkan ketidaktentuan ekonomi dan mengganggu rancangan perkahwinan dan keibubapaan untuk sebilangan pasangan Singapura.

Purata bilangan kelahiran tahunan dalam tempoh lima tahun lalu (31,100) juga lebih rendah berbanding lima tahun sebelumnya (33,000).

Umur median bagi para ibu warganegara buat kelahiran pertama ialah 31.4 tahun pada 2023, meningkat daripada 30.2 tahun pada 2013.

Laporan itu menambah bahawa perkadaran warga emas kini meningkat, dan pada kadar yang lebih pantas berbanding sedekad lalu, apabila kohort besar "baby boomer" mencapai usia 65 tahun.

Umur median penduduk warganegara setakat Jun tahun ini kini berusia 43.4 tahun, meningkat daripada 43 tahun pada tahun lalu. Ia meningkat secara berterusan dalam tempoh 10 tahun yang lalu daripada 40.4 tahun pada Jun 2014.

Buat masa ini, 60.4 peratus warganegara berusia antara 20 dengan 64 tahun, turun daripada 64.8 peratus pada 2014. Hampir satu perlima (19.9 peratus) warganegara berusia 65 tahun ke atas, meningkat daripada 12.4 peratus sedekad lalu.

Menjelang 2030, sekitar satu daripada empat warganegara (24.1 peratus) akan berusia 65 tahun ke atas.

IMIGRESEN

Laporan itu mendedahkan kadar imigresen terus "stabil". Tahun lalu, 23,472 orang diberikan kerakyatan dan 34,491 orang diberikan penduduk tetap (PR).

Kira-kira 5.7 peratus daripada warga baharu Singapura, atau 1,332 daripadanya, adalah anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu bapa warga Singapura.

Purata bilangan kerakyatan baharu dan penduduk tetap yang diberikan setahun dalam tempoh lima tahun yang lalu (22,400 kewarganegaraan dan 32,600 penduduk tetap) adalah lebih tinggi berbanding lima tahun sebelumnya (21,600 kewarganegaraan dan 31,100 penduduk tetap).

Menurut laporan itu, jumlah tepat yang diberikan setiap tahun bergantung kepada beberapa faktor, seperti bilangan dan kualiti permohonan yang diterima.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan