Skip to main content

Singapura

Jumlah perkahwinan cecah paras rekod pada 2022; bilangan perceraian merosot

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jul 2023 02:50PM Dikemas Kini : 26 Jul 2023 09:37PM
SINGAPURA: Jumlah pasangan yang berkahwin mencatat paras rekod manakala pasangan yang bercerai merosot pada 2022, menurut Jabatan Statistik Singapura (DOS) pada Rabu (26 Jul).

Secara keseluruhannya, 29,389 pernikahan didaftarkan tahun lalu, iaitu 3.7 peratus lebih tinggi berbanding 28,329 pernikahan yang didaftarkan pada 2021.

Perangkaan itu adalah yang tertinggi sejak data jumlah perkahwinan didaftarkan di Singapura pertama kali dikumpul dan diterbitkan pada 1961.

Rekod tertinggi sebelum ini ialah pada 2014 dengan 28,407 perkahwinan didaftarkan.

PERNIKAHAN

Berbanding sedekad yang lalu, kadar perkahwinan untuk lelaki dan wanita secara amnya meningkat pada 2022.

Terdapat sebanyak 47.0 perkahwinan bagi setiap seribu lelaki yang belum berkahwin berumur 15 hingga 49 tahun, meningkat daripada 43.8 pada 2012. Begitu juga, terdapat 45.5 perkahwinan bagi setiap seribu wanita yang belum berkahwin berusia 15 hingga 49 tahun, meningkat daripada 39.4 pada 2012.

Kadar perkahwinan pada 2022 bagi lelaki dan wanita secara amnya adalah antara yang tertinggi dalam dua dekad kebelakangan ini, menurut jabatan itu.

Kadar itu kedua tertinggi kepada 47.5 untuk lelaki dan 45.8 bagi wanita yang dicatatkan pada 2002.

Usia median bagi perkahwinan pertama juga meningkat pada 2022 berbanding 2012 - daripada 30.1 tahun kepada 30.7 tahun untuk pengantin lelaki dan dari 28.0 tahun kepada 29.3 tahun bagi pengantin perempuan.

Ini menggambarkan trend ke arah mendirikan rumah tangga lebih lewat, dedah DOS.

Menurut DOS, purata perkahwinan tahunan dalam tempoh lima tahun yang lalu (2018-2022) berjumlah 26,562, lebih rendah daripada purata tahunan lima tahun sebelum itu (2013-2017), iaitu 27,833.

Ini sebahagiannya disumbang oleh bilangan perkahwinan yang lebih rendah pada 2020 apabila rancangan untuk berkahwin bagi sesetengah pasangan terganggu akibat pandemik COVID-19.

PERCERAIAN

Sebanyak 7,107 perceraian dicatatkan pada 2022, merosot 9.9 peratus berbanding 7,890 pada tahun sebelumnya.

Kadar perceraian bagi lelaki dan wanita jatuh pada 2022 "sejajar dengan kemerosotan pada bilangan perceraian", dedah DOS.

Terdapat 6.2 perceraian bagi setiap seribu lelaki berkahwin yang berumur 20 tahun ke atas, merosot daripada 7.1 pada 2012. Begitu juga terdapat 5.9 perceraian bagi setiap seribu wanita berkahwin yang berusia 20 tahun ke atas, turun daripada 6.7 sedekad lalu.

Pada masa yang sama, usia median semasa bercerai meningkat dalam tempoh sepuluh tahun yang lalu, daripada 41.6 tahun pada 2012 kepada 44.4 tahun pada 2022 untuk lelaki yang bercerai dan daripada 38.0 tahun kepada 40.5 tahun bagi wanita yang bercerai.

Menurut DOS, purata tahunan perceraian ialah 7,385 antara 2018 dan 2022, lebih rendah daripada purata tahunan 7,509 dalam tempoh lima tahun sebelum itu.

Terdapat juga penurunan pada kadar perceraian sebelum ulang tahun perkahwinan yang kesepuluh dalam kalangan kohort penduduk yang berkahwin selepas 2005, menurut DOS.

Peratusan terkumpul perkahwinan yang berakhir dengan perceraian sebelum ulang tahun kesepuluh merosot daripada 17.0 peratus untuk kohort yang berkahwin pada 2005 kepada 14.5 peratus bagi kohort yang mendirikan rumah tangga pada 2011.

Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling berkata, amat menggalakkan untuk menyaksikan kemerosotan pada jumlah perceraian bagi kohort yang berkahwin baru-baru ini.

Ia mencerminkan kestabilan perkahwinan yang lebih baik dalam kalangan kohort pasangan suami isteri baru-baru ini berbanding kohort sebelumnya.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita