Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah perceraian pasangan Muslim turun 30% dalam sedekad, program Bersamamu luaskan jangkauan

Sejak dilancarkan pada 2019, lebih 28,600 pasangan sudahpun meraih manfaat daripada program Bersamamu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak dilancarkan pada 2019, lebih 28,600 pasangan sudahpun meraih manfaat daripada program Bersamamu.

Menerusi program itu, para pasangan dibimbing oleh para kadi atau naib kadi bagaimana untuk melayari bahtera perkahwinan dari peringkat awal lagi menerusi sesi-sesi kaunseling mahupun ceramah.

Pendaftar Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Ustaz Nor Razak Bakar mendedahkan perangkaan terbaharu itu kepada BERITA Mediacorp pada Rabu (17 Jul).



Menurutnya, pasangan rata-rata selesa untuk berbincang dengan kadi atau naib kadi pilihan mereka sepanjang dua tahun pertama perkahwinan mereka.

"Berbincang tentang keprihatinan dan menangani cabaran cabaran semasa atau yang mungkin timbul pada masa akan datang. Memberi panduan bagaimana untuk mengukuhkan perkahwinan. Menggalakkan pasangan untuk hadiri program persiapan rumahtangga serta merujuk kepada agensi dan perkhidmatan lain untuk sokongan khusus daripada pihak pakar," kata Ustaz Nor Razak kepada wartawan Syawal Yusoff.

Menurut Ustaz Nor Razak, buat masa ini, seramai 40 kadi dan naib kadi berkhidmat untuk membimbing sekitar 120 hingga 150 pasangan pada satu-satu masa.

JALIN KERJASAMA DENGAN PEMERINTAH; MASYARAKAT

Bagi membantu pasangan dalam pelbagai aspek perkahwinan mereka, ROMM turut bekerjasama dengan pelbagai rakan masyarakat.

Hasil kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), program Cinta Abadi misalnya membimbing pasangan tentang cabaran dalam perkahwinan serta alam keibubapaan.

Ada juga Projek ARIF yang turut menyediakan sokongan bagi pasangan Muslim.

Kesemua inisiatif pemerintah dengan masyarakat itu menyumbang kepada usaha memperkukuhkan lagi institusi pernikahan pasangan Muslim.

Sokongan sedemikian penting kerana menurut Ustaz Nor Razak, antara isu yang sering dibangkitkan sebilangan pasangan boleh timbul sejak awal perkahwinan mereka lagi.

"Pasangan secara sukarela menghubungi mereka apabila mereka berhadapan dengan situasi rumah tangga dan kekeluargaan. Mereka tinggal di rumah mertua. Jadi, bagaimana situasi mereka tadi dan bagaimana mereka harus buat satu penyesuaian. Bagaimana mereka boleh menyesuaikan diri dalam sebuah keluarga yang baru," ujarnya.

Menurut Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian 2023, jumlah perceraian pasangan Muslim turun daripada 1,662 pada 2013 kepada 1,200 pada 2023.

Jumlah itu merosot hampir 30 peratus dalam masa sedekad.

Laporan yang diterbitkan pada Isnin (15 Jul) itu juga menggariskan empat punca utama bagi perceraian dalam pasangan Muslim.

"Ia termasuk kecurangan, penderaan dan keganasan dalam rumahtangga, masalah kewangan dan pengabaian.

Antara empat faktor tersebut, hanya perceraian yang disebabkan keganasan rumahtangga dan penderaan yang meningkat daripada 9.4 peratus pada 2013 kepada 11.3 peratus pada 2023.

Di samping itu, laporan oleh Jabatan Perangkaan Singapura juga turut menunjukkan beberapa trend positif bagi pasangan Muslim.

Perkahwinan golongan di bawah usia 21 tahun atau bawah umur turun daripada 5.4 peratus pada 2013 hingga 2.5 peratus pada 2023.

Ia menunjukkan penurunan lebih separuh berbanding sedekad yang lalu.

SIRI PAMERAN BERGERAK 'BERSAMAMU@HEARTLANDS'

Bagi meluaskan lagi jangkauan dan usaha Bersamamu, ia akan menganjurkan pelbagai acara di kawasan kejiranan.

Pada bulan Ogos misalnya, Bersamamu akan menjelajah ke empat masjid di Singapura - Masjid Al-Falah, Masjid An-Nur, Masjid Ar-Raudhah dan Masjid Darul Ghufran.

"Program ini dipimpin oleh para asatizah kita sendiri. Tajuk perbincangan dan isu yang dekat di hati masyarakat akan kita ketengahkan bertujuan untuk mengurangkan konflik rumah tangga dan menggalakkan hubungan dan keharmonian berkeluarga," ujarnya.

Satu tinjauan yang dijalankan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan ROMM menunjukkan lebih 99 peratus pasangan yang sudah menjalani program Bersamamu berpuas hati dengan program yang dikendalikan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan