Skip to main content

Singapura

Jumlah perceraian pasangan Muslim dalam tempoh 10 tahun pertama pernikahan turun secara signifikan, ROMM komited perluaskan usaha

Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) komited untuk memperluaskan dan meneruskan kerja-kerja baik yang telah menyumbang kepada usaha menurunkan kadar perceraian dalam kalangan pasangan Muslim.

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 14 Jul 2025 07:27PM Dikemas Kini : 15 Jul 2025 12:30AM

SINGAPURA: Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) komited untuk memperluaskan dan meneruskan kerja-kerja baik yang telah menyumbang kepada usaha menurunkan kadar perceraian dalam kalangan pasangan Muslim.

Laporan Trend Keluarga yang diterbitkan pada 7 Julai lalu oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menunjukkan kadar perceraian pasangan Muslim dalam tempoh 10 tahun pertama pernikahan mereka, terus turun.
 

Related article image
Kadar perceraian sebelum tahun ke-10 perkahwinan. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Pasangan yang bernikah pada 2013 (18.2 peratus), mencatat kadar perceraian lebih rendah dalam tempoh 10 tahun pertama pernikahan berbanding kohort 2005 (24.8 peratus).

Ini bermakna jumlah perceraian bagi pasangan Muslim sebelum tahun ke-10 pernikahan mereka turun 6.6 peratusan mata.

Related article image
Kadar perceraian sebelum tahun ke-10 perkahwinan. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Penurunan itu lebih signifikan berbanding perkahwinan sivil iaitu 1.9 peratusan mata bagi tempoh yang sama.

Timbalan Pendaftar ROMM, Ustaz Syakir Pasuni berkata, "Jurang kadar perceraian yang semakin mengecil merupakan satu tanda yang sangat menggalakkan. Walaupun kita tidak boleh mengaitkan ia dengan satu faktor yang khusus tetapi ia mencerminkan kesan positif daripada kewujudan ekosistem sokongan yang menyeluruh dan juga kukuh bagi pasangan Muslim.”

Di sini, beberapa usaha-usaha berterusan untuk memberi sokongan dan bimbingan kepada pasangan sudah dilaksanakan.

Antara lain, kerjasama antara pemerintah dan agensi masyarakat seperti Hab Inspirasi yang dikendalikan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan AMP untuk memberi bimbingan dan sokongan kepada pasangan-pasangan muda yang ingin berumah tangga, PPIS Vista Sakinah yang memberikan sokongan dan bimbingan kepada pasangan yang ingin membina semula rumah tangga, serta Projek ARIF, satu kerjasama antara Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) dan MUIS yang memberi sokongan bagi ibu dan perkembangan anak.

PENINGKATAN KETARA BAGI PASANGAN MUSLIM

Related article image
Peningkatan paling ketara dalam penurunan kadar perceraian bagi pernikahan pasangan Muslim. (Gambar: AFP/Jay DIRECTO)

Laporan Trend Keluarga itu merakamkan peningkatan paling ketara dalam penurunan kadar perceraian bagi pernikahan pasangan Muslim.

Walaupun kadar perceraian bagi perkahwinan Islam kekal lebih tinggi berbanding perkahwinan sivil dalam semua kohort, jurangnya semakin mengecil dalam semua kohort perkahwinan.

Dalam catatannya di Facebook, Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim berkata, “Perkahwinan memerlukan komitmen daripada kedua-dua suami dan isteri. Oleh itu, sokongan dan dorongan amat penting bagi pasangan-pasangan apabila mereka memulakan perjalanan mereka sebagai keluarga baharu.”

“Kerjasama antara pihak pemerintah dan rakan-rakan masyarakat juga mustahak dalam menyokong setiap pasangan, ibu bapa, kanak-kanak dan keluarga dalam perjalanan mereka. Di sinilah peranan penting yang dimainkan oleh Kadi dan Naib Kadi kita. Inisiatif M³ Bersamamu, yang menyediakan sokongan berterusan kepada pasangan dan keluarga Islam, telah memanfaatkan 33,000 pasangan sejak Julai 2019,” tambah Dr Faishal.

Beliau juga sebelum ini telah menerajui usaha-usaha di bawah bidang tumpuan 1 (FA1) M³ iaitu Sokongan Buat Perkahwinan, Keibubapaan dan Pembangunan Awal Kanak-kanak.

JUMLAH PASANGAN RAIH MANFAAT DARIPADA BERSAMAMU MENINGKAT LEBIH 10 KALI GANDA

Related article image
Jumlah pasangan yang sertai Bersamamu meningkat lebih 10 kali ganda dalam masa 6 tahun. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Antara usaha yang diterajuinya ialah program Bersamamu yang menyediakan panduan dan nasihat kepada pasangan sehingga dua tahun selepas perkahwinan.

Dalam masa kira-kira enam tahun, jumlah pasangan yang sudah meraih manfaat daripada program Bersamamu telah meningkat lebih 10 kali ganda iaitu daripada 3,000 kepada 33,000 tahun ini.

"Baru-baru ini, program Bersamamu juga telah melibatkan Ustazah-Ustazah yang bertauliah daripada PERGAS dan juga telah melalui latihan kaunseling untuk memberikan sokongan khas kepada golongan-golongan isteri yang ingin mencari panduan dan juga tunjuk ajar. Berdasarkan dapatan daripada kajian yang telah dilakukan terhadap program Bersamamu, lebih daripada 99 peratus peserta menyatakan tahap kepuasan yang tinggi,” kongsi Ustaz Syakir kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Pasangan yang terlibat menyatakan bahawa sesi-sesi 'Face-to-Face' atau bersemuka yang merupakan sebahagian daripada program Bersamamu ini membantu mereka lebih selesa dengan kadi dan naib kadi agar lebih mudah untuk mereka menghubungi kadi dan naib kadi setelah berumah tangga dan ia telah mendorong mereka untuk melakukan banyak muhasabah terhadap diri mereka dan juga pasangan mereka dan mendapat pandangan daripada pihak ketiga yang bersifat berkecuali," tambahnya.

Related article image
Timbalan Pendaftar ROMM, Ustaz Syakir Pasuni. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Meskipun dengan trend yang menggalakkan itu, pasangan hari ini masih berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin meluas, menurut Ustaz Syakir.

Ini merangkumi tekanan dari sudut kewangan dengan tuntutan pekerjaan di mana kedua-dua suami isteri perlu bekerja serta isu-isu seperti keibubapaan dan hubungan keluarga.

Dalam sesetengah kes lain pula, pasangan juga bergelut dengan masalah komunikasi dengan jangkaan yang tidak realistik.

Di sini menurut Ustaz Syakir, kadi dan naib kadi memainkan peranan yang lebih penting lagi sebagai rujukan sepanjang perkahwinan para pasangan Muslim.

"Mereka (kadi dan naib kadi) diperkasakan dengan latihan, ilmu dan kemahiran yang relevan, memandangkan isu yang semakin pelbagai dan rumit. Antara latihan yang telah dianjurkan termasuk yang berkaitan dengan media sosial di mana kadi dan naib kadi telah dilatih dengan kemahiran untuk menghasilkan kandungan yang berkualiti serta bersesuaian dengan sebahagian daripada usaha mereka untuk mendekati pasangan," ujar Ustaz Syakir.

"Selain daripada itu, mereka juga telah melalui latihan seperti penjagaan diri ataupun 'self-care' yang ditekankan secara menyeluruh terutamanya dalam pengurusan tekanan agar mereka dapat berkhidmat dengan lebih baik," tambahnya.

Related article image
ROMM komited perluas usaha turunkan kadar perceraian pasangan Muslim. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Usaha itu akan terus dikembangkan untuk memudahkan para pasangan meraih manfaat usaha-usaha itu di pelbagai wadah termasuk ‘podcast Hey Korangz!’ yang mula diterbitkan tahun ini.

Ini di samping mengukuhkan lagi kerjasama dengan pelbagai pihak agensi pemerintah dan masyarakat.

"Saya teringat satu pepatah Inggeris ‘It takes a Village to Raise a Child’. Jadi sebagai satu masyarakat, kita perlu terus berganding bahu dan mengekalkan kesatuan ini agar dapat kita memberikan sokongan yang lebih baik kepada keluarga-keluarga," menurut Ustaz Syakir.

Beliau berharap usaha-usaha sedia ada seperti Bersamamu dapat dikembangkan melalui kerjasama erat antara ROMM dengan MUIS, MESRA, MENDAKI serta rakan-rakan strategik yang lain seperti MSF, KidSTART, PPIS dan juga masjid-masjid untuk memberi kesan yang positif kepada institusi keluarga di Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita