Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah penumpang udara di S'pura cecah 31% dari tahap sebelum pandemik

Jumlah penumpang udara di Singapura kini berada pada paras 31 peratus daripada tahap sebelum pandemik, dengan negara ini menyaksikan 400,000 penumpang bagi minggu berakhir 17 April. Demikian menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Isnin (18 Ap).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah penumpang udara di S'pura cecah 31% dari tahap sebelum pandemik

Para pelawat di dewan ketibaan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi. (Gambar fail: Jeremy Long)

SINGAPURA: Jumlah penumpang udara di Singapura kini berada pada paras 31 peratus daripada tahap sebelum pandemik, dengan negara ini menyaksikan 400,000 penumpang bagi minggu berakhir 17 April. Demikian menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Isnin (18 Ap).

Jumlah itu naik berbanding 18 peratus sebulan lalu, tambah CAAS, sambil menarik perhatian bahawa peningkatan itu menyusuli pembukaan semula sempadan Singapura kepada semua pelawat lengkap divaksin mulai 1 April 2022.

Ia juga menyatakan Singapura berada dalam landasan untuk memulihkan jumlah penumpang kepada 50 peratus tahap sebelum COVID-19 menjelang tahun ini.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin, CAAS menyifatkan kenaikan pada trafik penumpang udara sebagai meluas.

"Jumlah trafik meningkat bagi semua pasaran utama, dengan pertumbuhan kukuh khususnya bagi trafik keluar masuk ke Australia, Malaysia, Indonesia dan Thailand," menurut agensi itu.

"Jumlah penumpang naik bagi kedua-dua pelawat antarabangsa dan tempatan, dengan rakyat serta penduduk tetap Singapura membentuk 32 peratus daripada jumlah keseluruhan," tambahnya.

Jumlah penerbangan penumpang juga meningkat kepada 38 peratus pada minggu berakhir 17 Apr, naik daripada 29 peratus pada bulan lalu.

CAAS menarik perhatian kekerapan penerbangan keluar dan masuk dari Australia, India, Indonesia, Malaysia dan Vietnam menyaksikan "peningkatan yang ketara".

Tambahnya tiga syarikat penerbangan - Air New Zealand, Myanmar Airways International dan Batik Air Indonesia - sudah menyambung semula penerbangan penumpang berjadual ke negara ini manakala hubungan udara juga disambung semula dengan lima bandar - Cairns, Da Nang, Kota Kinabalu, Madurai dan Riyadh.

Sekatan perjalanan yang diperkenalkan untuk membendung penularan COVID-19 sebelum ini menyaksikan pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Changi menjunam.

Misalnya, pada April 2020 selepas Singapura menutup sempadanya kepada pelawat, ia mencatatkan 0.4 peratus jumlah penumpang berbanding apa yang diterimanya pada awal tahun berkenaan.

Ketua Pengarah CAAS Han Kok Juan berkata agensi itu menjangkakan jumlah penumpang terus meningkat, terutamanya pada cuti hujung minggu sepanjang Hari Buruh dan Hari Raya Aidilfitri serta juga musim cuti sekolah pada Jun.

"Kami juga menasihatkan pelawat supaya tiba awal di lapangan terbang bagi memberi masa pendaftaran untuk pelepasan dan mengambil bagasi sewaktu ketibaan."

CAAS menambah ia sedang bekerjasama dengan masyarakat penerbangan untuk "memperhebat operasi serta meningkatkan tenaga kerja bagi memenuhi permintaan" sedang perjalanan udara kembali pulih tahun ini.

Sejajar dengan itu, agensi tersebut akan menganjurkan sebuah acara pengambilan pekerja di seluruh negara dari 27 hingga 28 Mei di Pusat Konvensyen Suntec City.

Di acara itu, pelawat berpeluang untuk mendaftarkan diri bagi temu duga secara langsung dengan majikan.

Peserta pameran kerjaya itu termasuk Singapore Airlines, SATS, dnata, Changi Airport Group dan Rolls Royce.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan