Jumlah penumpang teksi, khidmat kereta sewa privet dihadkan di tengah langkah COVID-19 lebih ketat
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan sekatan terhadap saiz kumpulan penumpang teksi dan khidmat kereta sewa privet bermula Isnin (27 Sep) sebagai sebahagian daripada langkah COVID-19 yang lebih ketat di Singapura.
(Gambar: TODAY)
SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan sekatan terhadap saiz kumpulan penumpang teksi dan khidmat kereta sewa privet bermula Isnin (27 Sep) sebagai sebahagian daripada langkah COVID-19 yang lebih ketat di Singapura.
"Penumpang dari isi rumah yang berlainan dikehendaki patuhi batas dua penumpang ketika melakukan perjalanan menggunakan teksi dan kereta sewa privet," kata LTA.
"Bagaimanapun, lebih daripada dua penumpang boleh melakukan perjalanan bersama dengan menaiki teksi atau kereta sewa privet jika mereka semua tinggal di rumah yang sama. Contohnya, ibu bapa boleh menaiki kenderaan bersama dua anak mereka sekiranya tinggal bersama."
LTA juga mengumumkan bahawa semua bentuk perkhidmatan berkongsi kereta atau "car pooling" digantung.
"Ini termasuk khidmat seperti GrabHitch dan RydePool, yang melibatkan pemandu menerima pembayaran untuk mengambil penumpang semasa dalam perjalanan ke destinasi mereka," menurut pihak berkuasa.
"Perjalanan perkongsian kereta secara sosial hanya dibenarkan dalam kalangan rakan atau rakan sekerja jika had penumpang dua orang dipatuhi."
LTA menambah: "Penumpang sangat digalakkan untuk menggunakan teksi dan kereta sewa privet yang ditempah melalui pengendali khidmat kenderaan berlesen.
"Orang ramai yang tahu tentang individu yang menyediakan khidmat berkongsi kenderaan secara haram harus memaklumkan LTA melalui portal OneMotoring menggunakan khidmat online, Laporkan Kesalahan Berkaitan Kenderaan."
Pada Jumaat, Kementerian Kesihatan mengumumkan had pada saiz kumpulan yang dibenarkan makan di kedai makanan dan minuman biasa dikurangkan kepada dua orang yang lengkap divaksin mulai Isnin, sementara had bagi pertemuan sosial juga dikurangkan.
Langkah tersebut diambil di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19 di Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.