Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah penumpang SIA Group naik 'ketara' pada April susuli kelonggaran langkah perjalanan COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 1,452,500 penumpang menaiki pesawat Singapore Airlines (SIA) dan Scoot pada April, bertambah 13 kali angka berbanding setahun lalu, ekoran pemansuhan aturan laluan penumpang sudah divaksin (VTL) pada awal bulan lalu. 

Laporan operasi terkini SIA yang dikeluarkan pada Selasa (17 Mei) menunjukkan jumlah penumpang yang dibawa dua syarikat penerbangan itu naik sekitar 1,216 peratus  pada April berbanding setahun lalu. 

Jumlah penumpang pada April juga melonjak 62.7 peratus daripada Mac 2022. 

Permintaan bagi perjalanan udara naik dengan ketara bulan lalu susuli kelonggaran sekatan  perjalanan yang membolehkan pelawat memasuki Singapura tanpa perlu menjalani kuarantin dan ujian COVID-19 semasa ketibaan, menurut SIA Group. Syarat ujian COVID-19 sebelum berlepas juga dimansuh pada 26 April. 

"Banyak pasaran utama SIA Group juga melonggarkan langkah kawalan sempadan mereka," menurut syarikat tersebut. 

Kapasiti penumpang juga terus naik, daripada 51 peratus paras sebelum COVID-19 pada Mac kepada 57 peratus pada April. SIA Group  menyatakan bulan lalu bahawa ia menjangkakan tampungan penumpang mencecah 61 peratus tahap sebelum pandemik menjelang Mei. 

Faktor muatan penumpang berada pada 72.7 peratus, bertambah sebanyak 18.2 peratusan mata berbanding bulan sebelumnya. Perangkaan itu juga 59 mata lebih tinggi berbanding tahun lalu. 

Kenaikan bulanan itu merupakan yang tertinggi sejak bermulanya pandemik COVID-19, menurut SIA Group, sambil menambah bahawa faktor muatan penumpang itu pulih bagi semua perjalanan bagi kedua-dua syarikat penerbangan itu. 

Faktor muatan kargo jatuh 25.4 peratusan mata berbanding tempoh yang sama tahun lalu kepada 66.7 peratus pada April. Tampungan kargo merosot sebanyak 2.1 peratus susuli permintaan kargo yang terjejas akibat kawalan COVID-19 di China. 

Pada April, SIA Group menyambung semula khidmat ke Davao dan Cebu di Filipina, manakala Hat Yai dan Kota Kinabalu ditambah kepada senarai destinasi Scoot. 

Setakat hujung April, rangkaian penumpang SIA Group meliputi 95 destinasi termasuk Singapura. SIA pula terbang ke 71 destinasi, manakala Scoot ke 45 destinasi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan