Jumlah penumpang berbeza dengan ketara bagi pelbagai laluan khidmat bas ulang-alik percuma Marine Parade
Khidmat bas ulang-alik percuma untuk para penduduk Marine Parade menyaksikan tahap penumpang yang berbeza, dengan beberapa laluan mempunyai hampir sifar penumpang pada masa tertentu tetapi masa yang lain pula mempunyai lebih 20 penumpang.
(Gambar: CNA)
Menjawab pertanyaan Mediacorp, jurucakap pertubuhan akar umbi Marine Parade berkata bahawa khidmat itu telah menyaksikan "penggunaan yang stabil bagi kebanyakan laluan".
Sungguhpun demikian, inisiatif itu akan diperhalusi berdasarkan data penumpang dan maklum balas penduduk. Jadual atau laluan mungkin diselaraskan sebelum hujung tahun ini, kata jurucakap tersebut.
Khidmat tersebut dilancarkan pada 8 Julai lalu sebagai projek perintis selama setahun untuk penduduk GRC Marine Parade, SMC MacPherson dan SMC Mountbatten.
Sekitar tiga bulan kemudian, wartawan Mediacorp menaiki empat daripada tujuh laluan yang ditawarkan kepada penduduk untuk memantau populariti khidmat tersebut setiap hari sepanjang tempoh selama dua minggu dan bercakap dengan penumpang untuk mendapatkan maklum balas mereka.
Khidmat itu, yang akan menelan belanja S$1 juta setahun untuk beroperasi, dibiayai oleh geran sekali sahaja sebanyak S$200,000 daripada Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Tenggara dengan selebihnya daripada sumbangan yang dikumpul oleh pihak CDC dan pertubuhan akar umbi Marine Parade.
Pada Ogos lalu, Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Alvin Tan memberitahu Parlimen bahawa Marine Parade akhirnya perlu mengumpul dana sendiri untuk menampung keseluruhan kos operasi, dengan "banyak aspek khidmat itu perlu diperhalusi" melalui projek perintis selama setahun.
Beliau menambah bahawa CDC lain akan mengkaji pengalaman dan dapatan daripada projek perintis itu terlebih dahulu sebelum menimbangkan untuk melancarkan inisiatif yang sama.
Di bawah projek perintis itu, tujuh laluan merentasi Braddell Heights, MacPherson, Mountbatten, Geylang Serai, Kembangan-Chai Chee, Marine Parade dan Joo Chiat, dengan bas itu menghubungkan kemudahan-kemudahan seperti poliklinik, pusat penjaja dan stesen MRT.
Wartawan Mediacorp mendapati bahawa dua laluan mempunyai hampir sifar penumpang pada beberapa hari, manakala yang lain pula lebih popular kerana bas separuh penuh pada waktu pagi dan makan tengah hari. Wartawan juga mendapati bahawa jumlah penumpang lebih cenderung memuncak pada sebelah pagi dan berkurangan pada sebelah petang.
Khidmat itu disasarkan kepada orang ramai yang tidak bekerja dan berjalan pada luar waktu sibuk - pukul 10.00 pagi hingga 4.00 petang pada hari bekerja, tidak termasuk cuti umum.
Setiap laluan mempunyai antara lima dan tujuh perhentian, dan melakukan perjalanan ulang-alik yang mengambil masa antara 35 minit hingga lebih sejam.
Para penduduk boleh mendaftar dengan memuat turun aplikasi TongTar Riders atau boleh mengunjungi balai rakyat di kawasan itu, di mana mereka boleh mendaftar untuk mendapatkan kad bagi menggunakan khidmat bas ulang-alik itu.
Mereka perlu mengimbas kod aplikasi atau kad mereka untuk menaiki bas.
BAS KOSONG DI BEBERAPA LALUAN
Wartawan Mediacorp menaiki bas bagi laluan Braddell Heights, Mountbatten, Kembangan-Chai Chee dan Marine Parade selama lima hari bekerja berturut-turut.
Wartawan kemudian mengira jumlah penumpang yang menaiki bas dalam satu perjalanan ulang-alik, termasuk mereka yang naik atau turun bas di pelbagai perhentian. Setiap bas mempunyai sekitar 23 tempat duduk.
Walaupun bilangan yang direkodkan untuk laluan adalah berbeza secara drastik, penumpang kebanyakannya adalah warga emas.
Braddell Heights menyaksikan maksimum enam penumpang antara semua 10 perjalanan bas yang dinaiki wartawan, dengan lima daripada 10 perjalanan tidak mempunyai penumpang sama sekali sepanjang laluan.
Kembangan-Chai Chee mempunyai maksimum dua penumpang – dalam dua perjalanan – tetapi wartawan hanya mengira seorang penumpang pada tujuh daripada 10 perjalanan.
Sebaliknya, laluan Marine Parade mempunyai sekurang-kurangnya 13 penumpang pada semua perjalanan sebelah pagi, walaupun jumlahnya berkurangan kepada antara tiga dengan tujuh penumpang untuk perjalanan sebelah petang.
Begitu juga bagi laluan Mountbatten yang mempunyai antara 10 dan 25 penumpang untuk semua perjalanan, dengan permintaan untuk perjalanan sebelah tengah hari – pada pukul 12.30 tengah hari – melebihi perjalanan pagi pada masa-masa tertentu.
BAS TAK CUKUP KERAP, KATA PENDUDUK
Para penumpang yang menaiki bas ulang-alik di laluan Marine Parade berkata mereka menghargai kemudahannya tetapi ia tidak cukup kerap.
Warga emas juga menyukai sambungan ke poliklinik, dan beberapa penumpang berulang dilihat menaiki bas ulang-alik sepanjang minggu.
USAHA BERTERUSAN UNTUK MENINGKATKAN TAHAP KESEDARAN
Pertubuhan akar umbi Marine Parade menyatakan bilangan pendaftaran untuk khidmat itu meningkat sebanyak 45 peratus sejak permulaan inisiatif itu.
Lebih 13,000 penduduk di Marine Parade telahpun mendaftar, di mana lebih 45 peratus adalah warga emas yang berumur 65 tahun ke atas.
Khidmat bas ulang-alik itu "sangat dihargai" oleh kumpulan ini, yang kebanyakannya berkata ia telah menyelesaikan masalah pergerakan mereka, kata jurucakap pertubuhan akar umbi itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.