Jumlah penjaga mohon bantuan agensi khidmat sosial SG naik lebih 3 kali ganda sejak tahun lalu
Beberapa agensi khidmat sosial menyaksikan peningkatan tiga kali ganda dalam bilangan penjaga yang mendapatkan bantuan sejak tahun lalu.
Menurut agensi-agensi khidmat sosial tersebut, perkara tersebut berpunca daripada peningkatan kesedaran berhubung tekanan yang dialami para penjaga serta sokongan yang tersedia bagi mereka.
Berdasarkan Laporan Trend Keluarga terkini, para penjaga mempunyai mutu hidup yang lebih rendah berbanding mereka yang bukan penjaga dalam semua aspek.
Justeru, kumpulan sokongan berpendapat bahawa lebih banyak boleh dilakukan untuk membantu mereka.
Sejak 2024, Persatuan Kebajikan Penjagaan (CWA) mencatat lebih tiga kali ganda peningkatan dalam pendaftaran bagi program Penjagaan di Rumah yang dijalankan.
Ia merupakan perkhidmatan penjagaan yang disesuaikan mengikut keperluan setiap pelanggan.
Biarpun begitu, badan amal tersebut menyatakan walaupun terdapat lebih banyak geran dan bantuan kewangan tersedia, ramai dalam kalangan penjaga masih teragak-agak untuk mendapatkan bantuan.
“Ramai penjaga sebenarnya masih tidak menyedari tentang bantuan yang tersedia, atau kadangkala mereka teragak-agak untuk meminta bantuan kerana stigma atau rasa tanggungjawab. Dari sudut budaya, biasanya ia dianggap sebagai tanggungjawab anak terhadap ibu bapa, jadi mereka tidak melihat diri mereka sebagai penjaga. Jadi, dalam hal ini, kesedaran dan pendidikan awam adalah sangat penting,” kata Sharlene Ferry, Eksekutif, Pemasaran dan Pengurusan Penderma CWA.
Isu tersebut kini semakin mendesak, terutama apabila Laporan Trend Keluarga terkini menunjukkan para penjaga secara konsisten mencatatkan mutu hidup yang lebih rendah berbanding individu yang bukan penjaga.
Jurang terbesar melibatkan isu seperti “akses kepada khidmat sosial” dan “kewangan”.
Laporan itu juga mendapati perbezaan enam mata peratusan dalam tahap kepuasan penjaga terhadap sokongan keluarga, dengan hanya separuh memberikan penilaian yang memuaskan.
Cik Ferry menambah bahawa kesedaran dan pendidikan awam boleh mendorong lebih ramai untuk mendapatkan bantuan lebih awal.
“Untuk meningkatkan mutu hidup penjaga, perbincangan tentang penjagaan dan persediaan awal perlu dibiasakan dalam masyarakat kita. Seperti kita merancang untuk persaraan, keluarga juga seharusnya merancang lebih awal untuk urusan penjagaan, ramai hanya mula mencari bantuan apabila mereka sudah tidak mampu bertahan, dan kadangkala itu sudah terlambat kerana mereka sudah pun keletihan," kata Cik Ferry.
Touch Community Services pula percaya bahawa lebih banyak khidmat penjagaan sementara di samping perancangan kecemasan boleh meningkatkan kualiti hidup penjaga.
Amalan seperti itu memberikan lebih banyak peluang bagi para penjaga untuk berehat dan mengurangkan kebimbangan mereka.
Talian bantuan penjagaan badan amal itu juga menyaksikan peningkatan 20 peratus dalam panggilan daripada penjaga yang memohon bantuan.
Sekitar sepertiga syarikat juga turut meningkatkan usaha untuk menyokong para penjaga.
“Kami menerima lebih banyak permintaan daripada syarikat untuk mengadakan sesi taklimat tentang penjagaan, kerana syarikat, mereka sedar bahawa para pekerja mereka juga menghadapi cabaran penjagaan," kata Ketua Kumpulan, Sokongan Penjaga TOUCH, Touch Community Services.
Walaupun sokongan daripada pemerintah dan pertubuhan adalah penting, Cik Sim menambah bahawa bantuan daripada masyarakat juga sangat bermakna.
Bahkan, satu mesej atau pertemuan yang ringkas juga dapat mengurangkan tekanan dan kesunyian yang dialami para penjaga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.