Jumlah pengunjung tetap tinggi di 6 taman dan pantai petang tadi
Setakat jam 6.00 petang tadi, jumlah pengunjung di enam taman dan pantai dilaporkan "tinggi" hari ini (25 Jul).
SINGAPURA: Setakat jam 6.00 petang tadi, jumlah pengunjung di enam taman dan pantai dilaporkan "tinggi" hari ini (25 Jul).
Enam tempat itu adalah Upper Pierce Reservoir Park, tiga pantai di Sentosa - Pantai Siloso, Pantai Palawan dan Pantai Tanjong - serta pantai di hadapan Marine Cove dan kawasan E2 di Taman East Coast.
Sungguhpun demikian, keadaan terkawal dengan lebih ramai pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat dikerahkan. Ini terutama sekali di Taman East Coast.
Langkah dipertingkat itu diambil pihak berkuasa selepas beberapa taman dan pantai dilaporkan begitu sesak pada hujung minggu lalu.
Lebih membimbangkan lagi, pengunjung dikatakan berkumpul secara beramai-ramai dan tidak menjaga jarak selamat.
Nasihat para pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat pula tidak diendahkan.
"Kita dapati agak ramai kumpulan-kumpulan besar datang ke taman. Apabila dinasihati duta-duta jarak selamat dan juga pegawai penguat kuasa kita, ada yang bersurai tetapi ada yang tidak bersurai. Itu membimbangkan kami," kata Pengarah Kumpulan Lembaga Taman Negara (NParks), Cik Kartini Omar.
100 saman dilayangkan atas kesalahan langgar jarak selamat dan tidak memakai pelitup pada hujung minggu lalu. NParks tidak pula memberikan sebarang angka tentang saman yang dikeluarkan hari ini.
2 BAHAGIAN TAMAN EAST COAST SESAK MESKI MENDUNG
Cuaca mendung petang tadi juga tidak menghambat orang ramai untuk tetap berkunjung ke Taman East Coast. Jumlah pengunjung di kawasan pantai di bahagian E2 dan pantai di depan Marine Cove "tinggi" pada sekitar jam 6.00 petang.
Hanya daerah C4 dan Seafood Centre tidak dikunjungi ramai, sementara jumlah pengunjung di Marine Cove sederhana.
Maka itulah, NParks tampil untuk mengingatkan orang ramai supaya menjaga jarak selamat dan mengelak daripada berkumpul secara beramai-ramai.
"Orang ramai dibenarkan ke taman-taman dalam kumpulan-kumpulan yang kecil - tidak melebihi lima orang satu kumpulan. Mereka juga tidak dibenarkan bercampur atau bergaul antara kumpulan-kumpulan lain," nasihat Cik Kartini.
MOH sudahpun memberi amaran, langkah-langkah jarak selamat akan dipertingkat dan "tindakan tegas" akan diambil.
Denda S$300 boleh dikenakan bagi kesalahan tidak pakai pelitup dan kegagalan menjaga jarak selamat buat pesalah kali pertama.
Bukan itu sahaja, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai juga tidak akan dibenarkan masuk sekiranya jumlah pengunjung melebihi had yang ditetapkan. Ini bagaimanapun tidak dilakukan di East Coast Park hari ini (25 Jul) kerana keadaan masih terkawal.
Para pengunjung boleh memeriksa dahulu laman NParks untuk melihat jika taman atau pantai yang ingin dikunjungi dalam keadaan sesak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.