Skip to main content

Singapura

Jumlah pengunjung merosot, kos ubah elok tinggi antara punca Perpustakaan Awam Geylang East dipindahkan

Jumlah pengunjung yang merosot dan kos ubah elok yang tinggi dipertimbangkan dalam keputusan untuk memindahkan Perpustakaan Awam Geylang East ke Kompleks Tanjong Katong pada 2030, kata Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam di parlimen pada Selasa (23 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah pengunjung merosot, kos ubah elok tinggi antara punca Perpustakaan Awam Geylang East dipindahkan

Perpustakaan Awam Geylang East dibuka pada 1988 dan dinaik taraf pada 2012. Perpustakaan itu dijadualkan berpindah ke Kompleks Tanjong Katong pada 2030. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 24 Sep 2025 07:14AM Dikemas Kini : 24 Sep 2025 07:54AM
SINGAPURA: Jumlah pengunjung yang merosot dan kos ubah elok yang tinggi dipertimbangkan dalam keputusan untuk memindahkan Perpustakaan Awam Geylang East ke Kompleks Tanjong Katong pada 2030, kata Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam di parlimen pada Selasa (23 Sep).

Antara 2015 dengan 2024, perpustakaan Geylang East menyaksikan jumlah pengunjung merosot sebanyak 31 peratus, daripada 670,000 kepada kurang 470,000, katanya.

Walaupun Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) menimbangkan untuk merombak perpustakaan yang kini berada di 50 Geylang East Ave 1, kos melakukan demikian adalah lebih daripada dua kali ganda kos bagi setiap meter persegi berbanding dengan memindahkannya ke Kompleks Tanjong Katong.

Perbezaan dalam peruntukan itu adalah sebanyak S$22 juta, kata Cik Rahayu.

Beliau menjawab usul penangguhan yang dibentangkan oleh AP Tin Pei Ling, di mana beliau menimbulkan pertanyaan mengenai trend pengunjung ke perpustakaan Geylang East dan kos bagi mengekalkannya sebagai sebuah perpustakaan kendiri.

Cik Tin (PAP-Marine Parade-Braddell Heights) berkata para penduduk meluahkan keprihatinan terhadap keputusan untuk memindahkan Perpustakaan Awam Geylang East.

"Bagi mereka, bangunan itu lebih daripada sebuah ikon fizikal di MacPherson, tetapi ia adalah sebahagian besar daripada kenangan mereka - kenangan bersama kita. Apabila kita mendapat tahu tentang pelan untuk memindahkannya, kami merasakan satu kehilangan yang mendalam," katanya.

Dalam satu catatan Facebook pada Julai lalu, Cik Tin berkata beliau mengemukakan rayuan kepada NLB supaya menimbangkan keputusannya untuk memindahkan perpustakaan Geylang East.

Beberapa penduduk juga melancarkan petisyen bagi membantah pemindahan perpustakaan itu.

Setakat 23 September, petisyen itu mendapat 1,647 tanda tangan.

DARI TAPAK KENDIRI KE PUSAT BELI-BELAH

Pada Julai lalu, Mediacorp melaporkan semakin banyak perpustakaan yang berada di tapak kendiri, termasuk perpustakaan Geylang East, dipindahkan ke pusat beli-belah atau kompleks bersepadu.

Selain Perpustakaan Awam Geylang East, terdapat rancangan untuk memindahkan perpustakaan Ang Mo Kio, perpustakaan Toa Payoh dan Perpustakaan Daerah Jurong ke sama ada pusat beli-belah atau kompleks bersepadu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Cik Rahayu berkata strategi NLB untuk memindahkan perpustakaan kendiri ke tempat-tempat dengan "akses lebih mudah", seperti pusat beli-belah dan hab bersepadu, adalah sebahagaian daripada Pelan Induk 15 tahun Perpustakaan Masa Hadapan.

"Keputusan untuk memindahkan sebarang perpustakaan tidak diambil mudah," katanya.

Sebelum memutuskan sama ada untuk memindahkan atau mengubah elok perpustakaan, NLB menimbangkan beberapa faktor.

Ini termasuk pelan penggunaan tanah, jumlah penduduk ia boleh berkhidmat dengan sebaiknya, usia perpustakaan itu dan kali terakhir ia menjalani ubah elok besar-besaran, katanya.

Pemindahan perpustakaan Geylang East mencerminkan pendekatan NLB, katanya.

"Kami harap pemindahan ini dapat bantu meningkatkan jumlah pengunjung bagi perpustakaan itu, sama seperti bagi perpustakaan di Harbourfront dan Tampines," katanya.

Sepanjang tiga tahun, perpustakaan awam di Harbourfront dan Tampines menyaksikan jumlah pengunjung meningkat sebanyak 58 peratus dan 71 peratus masing-masing, katanya.

Cik Tin juga menanyakan soalan mengenai apa yang akan dilakukan NLB bagi memastikan penduduk Geylang East terus mempunyai akses mudah ke ruang perpustakaan.

Dalam jawapannya, Cik Rahayu berkata NLB sudah mendampingi para penduduk bagi memahami keperluan mereka dengan lebih baik.

Beliau menambah NLB sedang berusaha untuk mengenal pasti ruang sesuai untuk menyediakan ruang "yang serupa dengan berada di sebuah perpustakaan", seperti sudut membaca atau perpustakaan sementara (pop-up).

"Kami juga akan bekerjasama dengan pertubuhan akar umbi bagi membantu para penduduk mengakses sumber digital NLB bagi khidmat penghantaran, memastikan terdapat peluang membaca dan belajar yang berterusan," katanya.

Dalam respons kepada soalan Cik Tin mengenai trend pembacaan secara keseluruhan, Cik Rahayu berkata jumlahnya masih tinggi.

Pada 2024, terdapat 20.8 juta pengunjung ke rangkaian perpustakaan NLB, Perpustakaan Negara dan Arkib Negara.

Para pengunjung ke perpustakaan juga membuat pinjaman 24 juta barangan fizikal dan 14.8 juta barangan digital pada tahun itu, katanya.

Dalam era digital hari ini, perpustakaan juga memainkan "peranan lebih penting" sebagai institusi-institusi masyarakat yang boleh memupuk semangat kekitaan dalam masyarakat dalam kalangan pengunjung, katanya.

"Kami akan terus membangunkan perpustakaan kami dan mengukuhkan mandatnya sebagai nadi masyarakat utama bagi memupuk pembelajaran dan pembacaan dalam era digital ini."
Sumber : CNA/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita