Jumlah pengambilan pekerja SG naik hampir seganda pada suku ketiga
Pasaran buruh di Singapura tumbuh pesat dalam suku ketiga, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan.
Kawasan pusat bandar di Singapura. (Gambar: iStock)
Menurut laporan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada Isnin (9 Dis) jumlah pengambilan pekerja dalam tempoh Julai hingga September lalu naik hampir seganda kepada 22,300, berbanding 11,300 pada suku kedua.
Kenaikan itu meliputi pekerjaan bagi kedua-dua penduduk tempatan sebanyak 4,000 dan bukan penduduk Singapura sebanyak 18,200.
Bagaimanapun kenaikan terbesar adalah jumlah pekerjaan bagi bukan penduduk terutama sekali pemegang permit kerja seperti dalam sektor pengilangan dan binaan.
Jumlah pekerjaan bagi rakyat dan Penduduk Tetap Singapura dalam bidang profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) bertambah sebanyak 382,000 dalam tempoh sedekad lalu.
Bilangan itu jauh lebih banyak daripada kenaikan pekerjaan bagi pemegang pas kerja, yang bertambah hanya 38,000.
Jumlah kerja kosong pada September merosot 63,400, jatuh daripada 81,200 pada Jun.
Kejatuhan itu mencerminkan trend global yang semakin merosot daripada jumlah tertinggi sebanyak 124,400 pada Mac 2022.
Di sebalik penurunan itu, MOM menyatakan terdapat lebih banyak peluang pekerjaan berbanding penganggur.
Pada September, terdapat 1.39 kerja kosong bagi setiap penganggur, berbanding 1.67 pada Jun.
Permulaan musim perayaan akhir tahun dijangka memberi rangsangan lagi kepada permintaan buruh, tambah MOM.
Sehubungan itu, kadar pengangguran pada bulan September di paras 1.9 peratus, jatuh daripada 3,270 pada suku sebelumnya kepada 3,050.
Manakala jumlah pekerja yang diberhentikan dalam suku ketiga, kekal rendah.
Di samping itu, lebih ramai pekerja tempatan yang diberhentikan, dapat kerja baharu lebih cepat.
60.4 peratus daripada mereka dapat kembali bekerja dalam masa enam bulan selepas diberhentikan, berbanding 55 peratus pada tempoh tiga bulan sebelumnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.