Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pengambilan pekerja dalam suku ke-3 lepasi paras sebelum COVID-19: MOM

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 28 Oct 2022 12:45PM Dikemas Kini : 28 Oct 2022 08:44PM

SINGAPURA: Jumlah pengambilan pekerja pada September melepasi paras sebelum pandemik buat kali pertama sejak COVID-19 melanda, namun petanda-petanda menunjukkan terdapat pelonggaran pada pasaran buruh di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi pada rentak lebih perlahan, menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Jumaat (28 Okt). 

Jumlah orang yang diambil bekerja di Singapura, tidak termasuk pembantu rumah hijrahan, lebih tinggi berbanding suku sebelumnya. Ia sebahagian besarnya dipacu oleh pengambilan pekerja bukan penduduk, menurut anggaran awal. 

Namun, sepanjang suku ketiga, kadar pengangguran dan pemberhentian juga meningkat. 

"Walaupun unjuran data  menunjukkan bahawa sentimen pengambilan pekerja secara keseluruhan dalam kalangan firma kekal optimistik, pertumbuhan dalam sektor-sektor berbeza mungkin tidak sama rata pada suku terakhir 2022," menurut MOM. 

MOM menjangkakan permintaan bagi sektor pelancongan dan sektor-sektor berkaitan pengguna kekal kukuh, disokong oleh pemulihan ketibaan pelawat antarabangsa dan pengambilan pekerja musiman pada hujung tahun. 

Dalam pada itu, sektor-sektor yang bergantung kepada perdagangan, seperti perkilangan, pertumbuhan pengambilan pekerja mungkin lebih suram sedang permintaan luaran merosot. 

PENGAMBILAN PEKERJA SECARA KESELURUHAN

Pengambilan pekerja secara keseluruhan, tidak termasuk pembantu rumah hijrahan, meningkat 75,600 pada suku ketiga, menjangkaui pertumbuhan 66,500 pada suku sebelumnya. 

Pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk terus meningkat, walaupun rentak kenaikannya semakin perlahan. 

Pengambilan pekerja bukan penduduk pula terus mencatat pertumbuhan rancak. 

Seperti suku-suku sebelum ini, kenaikan jumlah pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk dipacu oleh sektor-sektor perhubungan dan penerangan, khidmat profesional dan khidmat kewangan. 

Sekalipun demikian, MOM menarik perhatian bahawa sektor khidmat sokongan dan pentadbiran semakin merosot. Kementerian tersebut menyatakan ini sebahagiannya mencerminkan pengurangan pekerjaan berhubung kait Covid COVID-19 seperti duta jarak selamat dan pekerja pusat vaksinasi. 

Pengambilan pekerja bukan penduduk naik dengan stabil di semua sektor, dengan peningkatannya tertumpu pada sektor binaan dan penghasilan, yang lebih bergantung kepada pekerja bukan penduduk. 

KADAR PENGANGGURAN

Kadar pengangguran naik pada September daripada rekod paling rendah dalam enam tahun pada Ogos, walaupun kadarnya pada September kekal dalam lingkungan sebelum Covid. 

Pada September, kadar pengangguran adalah 3.1 peratus bagi rakyat Singapura, 2.9 peratus bagi penduduk - yang termasuk kedua-dua rakyat dan Penduduk Tetap (PR) - dan dua peratus secara keseluruhan. 

PEMBERHENTIAN KERJA

Merujuk kepada dapatan tinjauan terkini, MOM menyatakan 1,600 orang dijangka diberhentikan kerja pada suku ketiga, naik berbanding 830 pada suku sebelumnya, iaitu paras yang terendah yang pernah dicatatkan. 

Namun, MOM menyatakan pemberhentian kerja pada suku ketiga masih rendah daripada paras sebelum COVID-19, iaitu 2,680, berdasarkan purata jumlah pekerja yang diberhentikan setiap suku pada 2018 dan 2019. 

Pemberhentian pekerja dicatat sebahagian besarnya di dua sektor: Perkhidmatan dan perkilangan. 

Sesetengah firma juga sedang mengaturkan semula operasi perniagaan dan melepaskan pekerja disebabkan ramalan ekonomi sejagat yang semakin lemah, kadar inflasi yang tinggi, dasar kewangan bank pusat yang lebih ketat serta ketidaktentuan geopolitik, tambah MOM. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan