Jumlah penerima habuan Ramadan Muhammadiyah naik hampir seganda kepada lebih 1,500 keluarga
Persatuan Muhammadiyah mengagihkan habuan kepada lebih 1,500 penerima bantuannya sepanjang Ramadan ini.
SINGAPURA: Persatuan Muhammadiyah mengagihkan habuan kepada lebih 1,500 keluarga memerlukan sepanjang Ramadan ini.
Jumlah penerima tahun ini naik hampir seganda lebih tinggi berbanding tahun lalu.
Ini sekali gus meningkatkan jumlah yang diagihkan Muhammadiyah sebanyak 10 peratus, kepada S$150,000 kesemuanya pada Ramadan ini.
Berkat sokongan dan sumbangan berterusan daripada masyarakat serta syarikat, bantuan dapat terus dihulurkan kepada mereka yang memerlukan.
"Tahun demi tahun, kami dapat melihat peningkatan dan banyak lagi syarikat yang ingin bekerjasama dengan Muhammadiyah untuk usaha ini," kata Setiausaha Umum Persatuan Muhammadiyah, Cik Roszanah Abdul Salim.
"Jadi Alhamdulillah sangat kita mendapat sokongan padu daripada masyarakat."
700 KELUARGA TERIMA HABUAN BERNILAI S$75,000, PEK MAKANAN SIHAT HPB
Pada hari terakhir pengagihan yang berlangsung di Pusat Muhammadiyah pada Sabtu (23 Apr), 700 keluarga memerlukan menerima habuan bernilai S$75,000.
Sekitar 100 penerima hadir mengambil habuan tersebut secara fizikal, manakala baki habuan dihantar langsung ke rumah mereka dengan bantuan sukarelawan.
Habuan yang diberikan termasuk kuih Raya, wang tunai dan pek barang dapur dengan barangan makanan lebih sihat daripada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Setiap pek barang dapur antara lain mengandungi bihun beras perang dan air kotak dengan simbol pilihan lebih sihat.
Kerjasama HPB dan Muhammadiyah itu juga salah satu daripada 42 kerjasama yang dijalin antara lembaga tersebut dengan rakan-rakan masyarakat sempena pengagihan di bulan Ramadan ini.
Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam berkata:"Saya rasa ini menunjukkan kerjasama kita sebagai satu masyarakat, bagaimana kita menggunakan tradisi yang sedia ada untuk menyuntik elemen kesihatan dan menggalak kehidupan yang lebih sihat."
PENERIMA BERSYUKUR ATAS BANTUAN YANG DITERIMA
400 daripada jumlah penerima tersebut adalah penerima bantuan zakat Muhammadiyah.
Salah seorang daripada mereka ialah penerima kali kedua Cik Fauziah Awi, 46 tahun. Beliau menjaga bapanya yang sakit dan baru dibenarkan pulang dari Unit Kecemasan Rapi (ICU).
"Bapa saya sakit, semput dan mengalami jangkitan paru-paru. Saya pula mengalami masalah batu karang dan fibroid, jadi semua nak kena makan barang-barang yang berkhasiat.
"Sekarang tak boleh makan-makan yang manis-manis, yang tak berkhasiat, jadi kita semua nak kena jaga kesihatan," kongsi beliau.
Bapa tiga anak berusia 32 tahun, Encik Muhammad Taufiq Mohamed Rahim, yang bekerja sebagai pekerja penghantaran, juga melahirkan rasa syukur atas habuan yang diterima buat kali pertama.
"Wang tunai yang mereka beri dapat meringankan perbelanjaan baju kurung untuk anak-anak saya.
"Banyak benda dapat ringankan, sebab saya pun dari Grab, jadi kali ini untuk Ramadan pun susah sedikit pada waktu pagi mungkin, jadi saya amat bersyukur dengan bantuannya," ujar beliau.
Baki 300 penerima yang meraih manfaat hari ini adalah penduduk di kawasan Bukit Batok.
Mereka juga merupakan penerima bantuan 'Ramadan Drive 2022', hasil kerjasama Muhammadiyah dengan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Bukit Batok.
Sebelum ini, usaha-usaha pengagihan di bawah Ramadan Drive 2022 dijalankan pada 9 dan 16 April lalu.
Kedua-dua sesi itu memberi manfaat kepada 600 keluarga berpendapatan rendah kesemuanya.
Seramai 100 kakitangan, anggota dan sukarelawan turut menggembleng tenaga dalam membungkus dan menghantar pek-pek habuan kepada rumah-rumah penerima bantuan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.