Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah penerima habuan Bank Makanan Jamiyah meningkat lebih 40% sejak 6 bulan lalu

Jumlah penerima Bank Makanan Jamiyah meningkat lebih 40 peratus sejak enam bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah penerima Bank Makanan Jamiyah meningkat lebih 40 peratus sejak enam bulan lalu.

Jumlahnya meningkat selepas ukur tara dilonggarkan bagi merangkumi mereka yang terjejas dek COVID-19.

PENERIMA BANTUAN BARU TERJEJAS DEK COVID-19

Sejak ditubuhkan pada 2016, Bank Makanan Jamiyah mengagihkan makanan kering sumbangan awam bagi meringankan beban kewangan penerima habuan badan tersebut.

Mereka termasuk warga emas, golongan kurang upaya dan ibu tunggal.

Menyedari ramai penduduk yang terkesan dengan pandemik COVID-19, Jamiyah melonggarkan ukur tara kelayakan untuk merangkumi mereka yang hilang pekerjaan dan pendapatan terjejas dek pandemik tersebut.

(Gambar: Jamiyah Singapura/Facebook)

Sejak enam bulan lalu, jumlah penerima habuan Bank Makanan Jamiyah meningkat 43.5 peratus dengan hampir 40 penerima baru setiap bulan.

Setiausaha Agung Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin menjelaskan: "Jumlah bilangan penerima bantuan makanan Bank Makanan kami ialah 513 keluarga, iaitu pada akhir bulan Februari.

"Pada Ogos bulan ini, iaitu akhir bulan Ogos ini, jumlah itu sudah meningkat kepada 736 keluarga. Ini bermakna dalam enam bulan ini, dari bulan Mac hingga Ogos, puratanya terdapat 37 penerima bantuan baru setiap bulan."

PENERIMA BARU ANTARA YANG HILANG KERJA, GAJI DIPOTONG

Pengagihan dilakukan dua bulan sekali di ibu pejabat Bank Makanan Jamiyah di Tannery Lane dan Jamiyah@West Coast.

Setiausaha Agung Jamiyah Singapura, Encik Jaffar Mydin.

"Selepas penularan COVID-19 ini, penerima bantuan yang baru terdapat golongan yang hilang pekerjaan, dan mereka yang gaji dipotong dan juga mereka yang diberi cuti tanpa gaji.

"Bantuan makanan ini juga dapat menumbuhkan lagi ekonomi sesebuah keluarga, contohnya mereka boleh menggunakan bekalan-bekalan makanan ini untuk membuat bisnes atau perniagaan secara kecil-kecilan daripada rumah mereka," kongsi Encik Jaffar.

PROGRAM JAMIYAH BANTU PERKASA KEMAHIRAN PENERIMA

Selain itu, Jamiyah juga bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan badan tersebut untuk mencungkil bakat sebilangan penerima seperti membuat gubahan hantaran, kek, menjahit serta memperkasa mereka dengan kemahiran termasuk menguruskan kedudukan kewangan supaya dapat berdikari.

Ini termasuk melalui program-program 'Empowering and Caring for Families' (ECF) atau 'Memperkasa dan Mengambil Berat terhadap Keluarga' serta 'Family Excellence Circle' (FEC) atau 'Kumpulan Kecemerlangan Keluarga'.

Melalui usaha ini, Jamiyah Singapura berharap bukan sahaja dapat meringankan beban sara hidup mereka, malah memberikan mereka keyakinan dan tekad untuk sama-sama maju mengatasi cabaran pandemik COVID-19. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan