Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah penerima biasiswa PSC dari RI, Hwa Chong merosot sejak 3 tahun lalu, dedah Menteri MOE

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah penerima biasiswa PSC dari RI, Hwa Chong merosot sejak 3 tahun lalu, dedah Menteri MOE

Bangunan Kementerian Pendidikan (MOE) (Gambar: Alvin Chong)

Diterbitkan : 13 Jan 2022 10:52AM Dikemas Kini : 13 Jan 2022 10:53AM

SINGAPURA: Jumlah biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) yang diberikan kepada para pelajar dari Raffles Institution (RI) dan Hwa Chong Institution sudah merosot sejak tiga tahun lalu, dengan kedua-dua sekolah itu menerima kurang daripada separuh jumlah anugerah yang diberikan secara purata antara 2019 dengan 2021.

Perangkaan itu merosot lebih 60 peratus berbanding tempoh antara 2012 dengan 2018, dedah Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Rabu (12 Jan).

Sepanjang tempoh 10 tahun yang sama, jumlah biasiswa PSC yang diberikan kepada para pelajar daripada maktab rendah lain - serta para pelajar daripada Program Bersepadu atau Sekolah Khas - sudah meningkat daripada purata lima tahun sebanyak 32 peratus antara 2012 dengan 2016 kepada 37 peratus, sepanjang lima tahun lalu.

"Lebih ramai pelajar politeknik menerima anugerah tersebut - dari 1 peratus hingga 5 peratus kepada 6 peratus hingga 10 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan ini," dedah Encik Chan semasa menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) pembangkang, Leon Perera di Parlimen semalam (12 Jan).

Encik Perera, AP Parti Pekerja (WP)bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Aljunied, bertanya kepada perdana menteri tentang jumlah penerima biasiswa PSC daripada RI dan Hwa Chong Institution setiap tahun serta jumlah penerima daripada maktab rendah, politeknik dan institusi pengajian tinggi. Ini selain pecahan pelajar tersebut berdasarkan jenis perumahan mereka.

Encik Perera juga menanyakan tentang langkah-langkah yang diambil untuk merekrut penerima biasiswa PSC daripada "sekolah yang lebih pelbagai" dan keberkesanan langkah-langkah tersebut.

"Penerima biasiswa PSC sepanjang 10 tahun lalu datang daripada pelbagai institusi pendidikan," menurut Encik Chan.

Encik Chan turut menarik perhatian bahawa PSC sudah "memperluaskan usahanya untuk mempelbagaikan saluran penerima biasiswa berkenaan" sejak 10 tahun lalu.

Sebagai contoh, PSC sudah bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan bantu diri serta kesemua 28 institusi prauniversiti untuk mengenal pasti secara aktif dan menggalak para pelajar yang cemerlang dengan ciri-ciri yang sesuai untuk memohon biasiswa PSC.

"Perhatian khusus turut diberikan untuk mendampingi pelajar daripada latar belakang serba sederhana dan institusi-institusi yang secara tradisinya tidak mempunyai ramai penerima biasiswa," dedah Encik Chan.

Bagi pelajar yang menunjukkan potensi pada peringkat seterusnya kehidupan mereka, PSC bekerjasama dengan universiti-universiti di sini untuk menggalak para mahasiswa yang sudahpun mendaftar untuk menimbangkan kerjaya dalam Perkhidmatan Awam melalui biasiswa sarjana.

"Dari segi latar belakang perumahan penerima biasiswa PSC, jumlah penerima yang menetap di perumahan awam adalah antara 39 dengan 54 peratus sepanjang 10 tahun lalu," Encik Chan menambah.

"PSC akan terus memantau keberkesanan strateginya untuk mengenal pasti dan membangunkan pemimpin awam daripada pelbagai latar belakang yang berjiwa rakyat untuk berkhidmat kepada Singapura dan rakyatnya," tambah Encik Chan.

Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan