Jumlah penerima bantuan Projek Kaseh - 'Back To School' naik 50%; 150 kanak-kanak dapat beg sekolah
Sekitar 150 pelajar sekolah rendah dan menengah diberi bantuan dalam bentuk keperluan sekolah menerusi satu usaha murni yang digerakkan oleh pasukan bola sepak 'Judasdtft'.
BERITAmediacorp: Sekitar 150 pelajar sekolah rendah dan menengah diberi bantuan dalam bentuk keperluan sekolah menerusi satu usaha murni yang digerakkan oleh pasukan bola sepak 'Judasdtft'.
Ini merupakan tahun kedua usaha itu diadakan dan jumlah penerima bantuan bagi inisiatif 'Projek Kaseh - Back To School' itu naik 50 peratus berbanding tahun lalu.
Tahun ini, pasukan Judasdtft bekerjasama dengan Akademi Flair Football bagi menjayakan usaha tersebut dan sekali gus membawakan keceriaan kepada keluarga-keluarga dengan anak-anak bersekolah menjelang permulaan sesi persekolahan tahun baru kurang dua minggu lagi.
BANTU PELAJAR SUSAH TIDAK KIRA KAUM ATAU AGAMA
Sekitar 50 anggota dan relawan dari pasukan Judasdtft dan Akademi Flair Football meluangkan pagi hujung minggu mereka untuk 'turun padang' bagi menyiapkan beg-beg dengan keperluan sekolah, untuk diagihkan kepada sekitar 150 kanak-kanak daripada keluarga memerlukan.
Mereka mengambil masa kurang dua jam untuk selesai menyediakan beg-beg sekolah untuk diagihkan.
Inisiatif tersebut juga diperluaskan tahun ini bagi membantu para pelajar berbilang kaum dan agama.
Malah, lebih 30 peratus penerima bantuan inisiatif tersebut merupakan mereka daripada golongan bukan Melayu/Islam.
Menerusi inisiatif kelolaan pasukan-pasukan bola sepak itu, setiap kanak-kanak antaranya menerima beg sekolah, alat tulis serta baucar kasut sekolah yang kesemuanya bernilai S$60.
Mereka juga menghantar beg-beg sekolah itu sendiri ke rumah para penerima di serata Singapura.
Peneraju projek itu, Encik Alfa Ramli berharap usaha mereka akan dapat membantu golongan ibu bapa, seperti dirinya sendiri.
"Kami adalah golongan ibu bapa dan kami dapat merasakan bebanan golongan ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak mereka di sekolah. Jadi diharapkan inisiatif ini dapat memberikan mereka semangat untuk terus maju dalam kehidupan," ujar Encik Alfa.
Secara keseluruhannya, lebih S$8,000 dikumpulkan oleh pasukan Judasdtft sejak bulan lalu untuk mendapatkan barangan keperluan sekolah tersebut, selain menerima tajaan untuk beg-beg sekolah dan kotak pensel daripada Akademi Flair Football.
"Kami mengharapkan para penerima bantuan akan berasa gembira. Kami pun ingin menolong mereka dan mengharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka," kata Encik Ibrahim Chemad, Pengasas Akademi Flair Football.
Antara yang dibantu termasuk mereka yang tinggal di rumah sewa atau daripada keluarga ibu bapa tunggal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.