Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah penduduk S'pura tumbuh 3.4% selepas merosot 2 tahun berturut-turut

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah penduduk S'pura tumbuh 3.4% selepas merosot 2 tahun berturut-turut

(Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)

SINGAPURA: Jumlah penduduk Singapura secara keseluruhannya meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada 5.64 juta penduduk setakat Jun tahun ini selepas merosot dua tahun berturut-turut. 

Demikian menurut laporan tahunan yang diterbitkan oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) pada Selasa (27 Sep). 

Sekalipun terdapat pertumbuhan, jumlah penduduk Singapura secara keseluruhannya kekal rendah sedikit berbanding paras sebelum COVID-19, iaitu 5.7 juta setakat Jun 2019. 

Kadar pertumbuhan penduduk sepanjang lima tahun yang lalu, iaitu antara 2017 hingga 2022, adalah lebih perlahan berbanding tempoh lima tahun sebelum itu.

Tidak termasuk kesan COVID-19 antara Jun 2019 hingga Jun 2021, kadar pertumbuhan tahunan kompaun bagi jumlah keseluruhan penduduk antara Jun 2017 hingga Jun 2019 adalah 0.8 peratus. Ini sudahpun lebih rendah berbanding kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 1.1 peratus antara Jun 2012 hingga Jun 2017, menurut laporan berkenaan. 

Jumlah penduduk Singapura, yang terdiri daripada rakyat dan Penduduk Tetap (PR) adalah seramai 4.07 juta, peningkatan daripada 3.99 juta pada Jun 2021. Jumlah bukan penduduk pula seramai 1.56 juta setakat Jun. 

Sebahagian besar peningkatan pada jumlah penduduk disebabkan oleh pelonggaran sekatan perjalanan COVID-19, yang sebelum ini kekal di luar negara secara berterusan selama 12 bulan atau lebih sudah pulang ke Singapura. 

Jumlah rakyat Singapura meningkat sebanyak 1.6 peratus daripada 3.5 juta pada Jun 2021 kepada 3.55 juta pada Jun 2022. 

Jumlah bukan penduduk meningkat 6.6 peratus berbanding Jun tahun lalu - sebahagian besarnya disebabkan oleh pemulihan pada tahap pengambilan pekerja warga asing selepas sekatan-sekatan perjalanan dilonggarkan - namun ia kekal di bawah paras sebelum COVID-19, iaitu 1.68 juta pada Jun 2019. 

Peningkatan terbesar dilihat pada pemegang permit kerja dalam sektor binaan, limbungan kapal dan pemprosesan. 

KADAR PERKAHWINAN & KELAHIRAN

Singapura menyaksikan peningkatan pada jumlah perkahwinan melibatkan rakyat tempatan pada 2021, dengan kadar kesuburan penduduk pulih sedikit daripada rekod terendahnya pada 2020. 

Sebanyak 23,433 perkahwinan melibatkan rakyat tempatan dicatatkan pada tahun lalu, naik 20.6 peratus berbanding 2020. Perangkaan ini juga lebih tinggi berbanding jumlah perkahwinan pada 2019, yang menyaksikan 22,165 perkahwinan. 

Menurut NPTD, peningkatan pada jumlah perkahwinan pada 2021 sebahagiannya disebabkan oleh pelonggaran langkah-langkah pengurusan selamat COVID-19 secara berkala. 

Terdapat 31,713 kelahiran rakyat tempatan pada 2021, turun sedikit berbanding 31,816 kelahiran melibatkan rakyat tempatan pada 2020. 

Kadar kesuburan penduduk secara keseluruhannya pulih sedikit daripada 1.10 pada 2020 kepada 1.12 pada 2021. 

Kadar kesuburan penduduk secara amnya telah merosot sejak beberapa dekad yang lalu, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan jumlah bujang, kahwin lewat dan pasangan suami isteri yang mempunyai kurang anak, menurut laporan tersebut. 

Kadar kesuburan masih lebih rendah berbanding tahap sebelum COVID-19, iaitu 1.14 pada 2019. 

PENDUDUK SEMAKIN MENUA

Penduduk Singapura semakin menua, dengan kadar kesuburan yang rendah dan jangka hayat yang lebih panjang.

Jumlah rakyat yang berusia 65 tahun dan ke atas sudah meningkat daripada 11.1 peratus pada 2012 kepada 18.4 peratus pada 2022. 

Menjelang 2030, sekitar 23.8 peratus rakyat tempatan akan berusia 65 tahun dan ke atas. 

Jumlah rakyat tempatan yang berusia 80 tahun dan ke atas juga sudah meningkat lebih daripada 70 peratus berbanding 2012. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan