Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah penduduk S'pura merosot ke 5.45 juta; bilangan rakyat, PR susut pertama kali sejak 1970

Jumlah keseluruhan penduduk Singapura merosot 4.1 peratus kepada 5.45 juta pada Jun tahun ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan dalam bilangan bukan penduduk di tengah-tengah pandemik COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah penduduk S'pura merosot ke 5.45 juta; bilangan rakyat, PR susut pertama kali sejak 1970

Seorang bapa bermain dengan anak-anaknya di taman permainan. (Gambar: Hanidah Amin)

Diterbitkan : 28 Sep 2021 04:51PM Dikemas Kini : 28 Sep 2021 04:54PM

SINGAPURA: Jumlah keseluruhan penduduk Singapura merosot 4.1 peratus kepada 5.45 juta pada Jun tahun ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh kemerosotan dalam bilangan bukan penduduk di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Demikian menurut perangkaan rasmi yang dikeluarkan hari ini (28 Sep).

Jumlah rakyat dan penduduk tetap (PR) pula merosot dari tahun ke tahun buat pertama kalinya sejak Pemerintah mula mengumpulkan data sedemikian pada 1970, menurut Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) yang menerbitkan laporan tahunan itu.

Secara khusus, jumlah warganegara susut sebanyak 0.7 peratus kepada 3.5 juta manakala jumlah PR merosot sebanyak 6.2 peratus kepada 490,000.

“Sekatan-sekatan perjalanan sewaktu pandemik adalah faktor utama yang menjejas saiz penduduk warganegara dan PR pada 2021 kerana lebih ramai rakyat dan PR terus menetap di luar negara selama 12 bulan atau lebih, maka itu, ia tidak dikira sebagai sebahagian daripada penduduk warganegara," jelas NPTD.

Semakin kurang orang menjadi rakyat atau PR baru tahun lalu, berkemungkinan disebabkan oleh sekatan perjalanan dan batasan operasi yang timbul disebabkan COVID-19, menurutnya lagi.

“Misalnya, langkah pengurusan selamat menyebabkan slot terhad untuk melengkapkan langkah terakhir bagi pendaftaran PR atau kerakyatan, yang mesti dilakukan secara bertemu muka.

“Akibatnya, beberapa pemohon yang diluluskan secara prinsip tidak melengkapkan semua proses yang diperlukan untuk diberikan kependudukan tetap atau kerakyatan mereka menjelang hujung 2020."

JUMLAH PENDUDUK BUKAN RAKYAT TERJEJAS DEK KEMEROSOTAN PENGAMBILAN PEKERJA ASING

Penduduk bukan warganegara menyaksikan kemerosotan terbesar sebanyak 10.7 peratus kepada 1.47 juta.

Ini berlaku disebabkan kemerosotan dalam jumlah pengambilan pekerja asing dari Jun 2020 hingga Jun 2021 di tengah-tengah sekatan perjalanan serta keadaan ekonomi tidak menentu, menurut divisyen itu.

“Kemerosotan itu disaksikan bagi semua jenis pas, dengan jumlah terbesar dalam kalangan pemegang permit kerja dalam sektor-sektor binaan, limbungan kapal marin dan pemprosesan."

PENDUDUK KIAN MENUA

Penduduk rakyat Singapura juga terus menua dengan umur median meningkat dari 42.2 tahun pada 2020 kepada 42.5 tahun pada 2021.

Bilangan warga senja - berusia 65 tahun dan ke atas - kian meningkat dan pada kadar lebih pantas berbanding sedekad lalu kerana kohort besar "baby boomers", atau mereka yang lahir antara tahun 1947 dengan 1964, mula menyertai kumpulan usia tersebut, menurut laporan itu.

Secara keseluruhannya, jumlah warga emas meningkat dari 10.4 peratus pada 2011 kepada 17.6 peratus pada 2021.

“Jumlah ini dijangka melonjak kepada sekitar 23.8 peratus pada 2030," menurut laporan itu.

Jumlah warganegara berumur 80 tahun dan ke atas juga naik hampir seganda dari 71,000 pada Jun 2011 kepada 128,000 pada Jun tahun ini.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan