Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pemandu teksi, kereta sewa privet naik 'lebih cepat' daripada penumpang, punca pendapatan lebih rendah: Amy Khor

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dengan bertambahnya jumlah teksi dan kereta sewa privet baru-baru ini, pendapatan pemandu menjadi "sederhana".

Ini memandangkan permintaan penumpang tidak bertambah sebanyak kenaikan bilangan pemandu, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Amy Khor.

Antara suku kedua 2023 dengan suku kedua tahun ini, jumlah kereta sewa privet dan teksi yang aktif meningkat sebanyak 8 peratus. Bagaimanapun, purata perjalanan penumpang harian meningkat hanya 1 peratus dalam tempoh yang sama.

"Ini bermakna pendapatan sesetengah pemandu merosot," kata Dr Khor di parlimen pada Selasa (10 Sep) sebagai menjawab soalan mengenai bekalan dan permintaan dalam sektor pengangkutan.

Menurutnya, purata kadar kenaikan tambang telah merosot pada separuh pertama 2023 daripada paras tertinggi pada permulaan tahun itu. Harga kini kembali ke paras yang catatkan pada separuh pertama 2022.

Pemandu kereta sewa privet yang dihubungi Mediacorp bulan lain turut menyuarakan keprihatinan yang sama.

Pemandu Grab dan Gojek berkata pendapatan mereka merosot sejak enam bulan lalu, kerana faktor seperti bilangan penumpang lebih rendah, serta persaingan yang semakin sengit daripada platform lain.

Grab ketika itu berkata kemerosotan itu adalah satu situasi "musiman".

Pada Selasa, Dr Khor berkata tambang dari permulaan perjalanan hingga destinasi (point-to-point) juga tertakluk kepada turun naik musiman dalam permintaan.

Beliau berkata, sebagai contoh, pada tempoh di mana terdapat acara besar seperti konsert Taylor Swift dan Coldplay, atau semasa tempoh perayaan seperti Tahun Baharu Cina, terdapat peningkatan dalam perjalanan dalam kalangan penduduk tempatan dan pelawat, yang membawa kepada permintaan dan tambang yang lebih tinggi.

“Sebaliknya, permintaan merosot semasa cuti sekolah apabila ramai warga Singapura berada di luar negara,” katanya. "Kesan bermusim ini merupakan satu lagi punca turun naik dalam pendapatan pemandu."

TAMBANG DITENTUKAN PERMINTAAN-BEKALAN

Walaupun pihak berkuasa memantau perkembangan itu dengan teliti, ia tidak menetapkan tambang kerana ini ditentukan oleh pengendali pengangkutan berdasarkan persaingan pasaran, kata Dr Khor.

"Kami juga tidak hadkan bilangan pemandu P2P (point-to-point), sebaliknya membenarkan bekalan pemandu P2P bergerak seiring dengan permintaan penumpang dan isyarat harga," katanya.

Oleh itu, tahap bekalan yang sesuai untuk sektor itu bergantung kepada permintaan penumpang dan tambang yang mereka sanggup bayar, katanya.

"Apabila permintaan lebih tinggi dan tambang meningkat, kita boleh menjangkakan lebih ramai pemandu memasuki pasaran. Sebaliknya, apabila terdapat lebihan bekalan pemandu, tambang akan turun dan sesetengah pemandu mungkin memutuskan untuk keluar dari pasaran," tambahnya.

Anggota Parlimen (AP) Desmond Choo (PAP-Tampines) ingin tahu bagaimana pihak kementerian boleh menyokong pemandu semasa tempoh tambang rendah, di mana beberapa pemandu katanya telah melaporkan pendapatan merosot lebih 30 peratus dalam tempoh enam bulan lalu.

Menjawab, Dr Khor berkata pendapatan yang merosot itu perlu dilihat "dalam konteks" bahawa terdapat tempoh seperti pada penghujung pandemik COVID-19 pada 2022, serta semasa tempoh perayaan dan konsert awal tahun ini, di mana permintaan adalah tinggi dan pemandu memperoleh pendapatan lebih banyak.

"Oleh itu, saya fikir adalah sangat penting untuk benar-benar melihat jumlah pendapatan merentas masa dan bukannya hanya tempoh tambang yang lebih rendah," katanya.

Dr Khor menambah bahawa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan terus mencari cara menyokong "pasaran yang lancar dan cekap".

Ini termasuk langkah mengurangkan kos operasi, seperti melanjutkan jangka hayat berkanun untuk teksi yang diumumkan awal tahun ini.

"Pengendali harus menyalurkan penjimatan kos ini kepada pemandu melalui kadar sewa yang lebih rendah," kata Dr Khor.

LTA juga telah meningkatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan asing yang melanggar undang-undang dengan menyediakan perkhidmatan, sekali gus menjejaskan permintaan.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan