Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pelawat ke hospital, rumah jagaan akan terus dihadkan sehingga 31 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Had pada jumlah pelawat ke hospital dan rumah jagaan akan dilanjutkan sehingga 31 Ogos, umum Kementerian Kesihatan (MOH) pada Selasa (2 Ogos). 

"Walaupun jumlah harian kes tempatan COVID-19 semakin merosot sepanjang minggu lalu, hospital di Singapura akan terus berdepan dengan jumlah pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 yang tinggi," menurut MOH. 

Rumah jagaan harus menguruskan kenaikan jumlah penghuni yang dijangkiti COVID-19, tambahnya. 

Had yang dikenakan sejak 7 Julai di tengah-tengah lonjakan jumlah kes COVID-19 itu dijadual berakhir pada Rabu (3 Ogos). 

LAWATAN DI HOSPITAL

Semua pesakit di hospital akan dibenarkan dua pelawat yang sudah didaftar sepanjang rawatan pesakit di hospital, dan hanya seorang pelawat sahaja  dibenarkan berada bersama pesakit pada satu-satu masa. 

Pesakit tenat akan dibenarkan sehingga lima pelawat yang sudah didaftar. Dua daripada mereka dibenarkan berada bersama pesakit pada satu-satu masa. 

Tempoh lawatan dihadkan kepada 30 minit. 

"Bagi kes-kes tertentu, seperti pesakit tenat, pesakit pediatrik, ibu yang akan atau baru sahaja melahirkan, dan pesakit yang memerlukan sokongan jagaan tambahan, pelawat akan dibenarkan berada bersama pesakit selama lebih 30 minit mengikut kes dan budi bicara hospital," menurut MOH. 

"Pelawat diingatkan supaya tidak makan atau minum di dalam wad hospital, atau menggunakan tandas khas untuk pesakit di wad. Mereka juga harus mengelak duduk di katil pesakit."

RUMAH JAGAAN

Semua penghuni di rumah jagaan akan dibenarkan sehingga empat pelawat yang didaftar, dan hanya seorang daripada mereka sahaja yang boleh melawat pada satu-satu masa selama 30 minit. 

MOH menyatakan pelawat harus terus mengaturkan lawatan mereka dengan rumah berkenaan lebih terdahulu. 

"Pelawat harus mematuhi langkah-langkah pengurusan selamat di dalam rumah jagaan. Ini termasuk kekal dalam kawasan pelawat yang ditetapkan di luar wad," menurut MOH. 

Lawatan boleh digantung sekiranya rumah jagaan itu mempunyai kes COVID-19, tambah MOH. 

Semua pelawat ke hospital dan rumah jagaan harus memastikan mereka sihat dan "amat digalakkan" untuk menjalani ujian pantas antigen (ART) pada hari lawatan. 

Mereka dikehendaki memakai pelitup dengan penapisan yang baik pada tiap-tiap masa semasa datang ke hospital atau rumah jagaan, menurut MOH. Ini termasuk pelitup pembedahan yang digunakan di hospital dan pelitup boleh digunakan semula yang diperbuat daripada dua lapis fabrik. 

MOH menyatakan ia akan menyemak semula dan menentukan semula langkah-langkah sejajar dengan situasi COVID-19 yang berubah-ubah. 

"Kami meminta pemahaman dan kerjasama pesakit, penghuni, anggota keluarga serta orang-orang tersayang sedang kami berusaha untuk mengurangkan risiko penularan COVID-19 di institusi jagaan kesihatan dan rumah jagaan," tambah MOH. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan