Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pelawat, kargo lepas pemeriksaan kastam tertinggi sepanjang 5 tahun pada 2019: ICA

Jumlah pelancong dan kargo yang lepas pemeriksaan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 2019 adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun lalu. Demikian menurut penguasa itu pada Selasa (11 Feb). 

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah pelawat, kargo lepas pemeriksaan kastam tertinggi sepanjang 5 tahun pada 2019: ICA

Gambar fail Pusat Pemeriksaan Woodlands (Gambar: Marcus Ramos)

Diterbitkan : 11 Feb 2020 03:19PM Dikemas Kini : 11 Feb 2020 03:22PM

SINGAPURA: Jumlah pelancong dan kargo yang lepas pemeriksaan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada 2019 adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun lalu. Demikian menurut penguasa itu pada Selasa (11 Feb).

Dalam perangkaan tahunannya, ICA menyatakan lebih 217 juta pelawat dan 10.6 juta konsainan, kontena serta bungkusan lepas pemeriksaan kastam tahun lalu. Ini adalah perangkaan yang tertinggi sejak lima tahun lalu, kata Pesuruhjaya ICA Marvin Sim.

Bilangan pelawat dan kargo yang melepasi pusat-pusat pemeriksaan di Singapura juga semakin meningkat. Antara 2015 dengan 2019, bilangan pelancong yang lepas pemeriksaan ICA meningkat sebanyak 10.2 peratus manakala bilangan kargo yang lepas pemeriksaan kastam pula melonjak 20 peratus.

Menurut ICA, peningkatan jumlah kargo sebahagian besarnya disumbang oleh peningkatan pada jumlah bungkusan, yang meningkat 5.7 peratus dari 6,141,276 pada 2018 kepada 6,493,162 pada 2019.
"Ini mencerminkan populariti e-dagang serta beli-belah online yang kian meningkat dan pertumbuhan itu dijangka beterusan," menurut ICA.

Encik Sim berkata bilangan pelawat dan kargo dijangka akan terus meningkat.

Dalam perangkaan tahunannya, ICA berkongsi bahawa ia akan "terus membangunkan strategi-strategi berkesan dan mencari cara inovatif untuk membantu pergerakan manusia serta kargo sambil memastikan sempadan kita kekal selamat".

Ini termasuk mereka semula dan mempertingkatkan aliran kerja, melabur dalam teknologi lebih baik untuk menyokong aliran kerja itu serta melatih para pegawai ICA untuk mendakapi teknologi-teknologi seumpama itu. Demikian menurut ICA sambil menukil usaha baru-baru ini untuk pelepasan kastam lebih licin.

Sejak Disember 2016, ICA sudah memasang 164 lorong pelepasan automatik di pusat-pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas, yang meningkatkan kelancaran pelepasan pemandu sebanyak 30 peratus.

ICA juga memulakan ujian pelepasan tanpa sentuhan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada April 2019 dan Lapangan Terbang Changi pada November 2019 utnuk meningkatkan kecekapan pelepasan serta mengesahkan identiti pelawat dengan lebih baik.

Para pegawai ICA juga menyahut cabaran menangani ancaman virus korona baru, ujar Encik Sim.

"Para pegawai ICA telah berusaha gigih untuk melaksanakan dan menguatkuasakan langkah-langkah kawalan sempadan yang lebih ketat sebagai tindak balas terhadap penularan virus tersebut apabila mereka bertindak sebagai benteng pertahanan pertama terhadap penyebaran penyakit-penyakit berjangkit seumpama itu."

PESALAH IMIGRESEN YANG DIBERKAS SUSUT

Pada 2019, ICA menjalankan lebih 100 operasi setiap bulan untuk mengesan dan mengusir pesalah imigresen (IO) dari Singapura. Jumlah keseluruhan IO yang ditangkap tahun lalu - yang terdiri daripada orang-orang yang ditangkap di dalam negara dan di pusat pemeriksaan - berkurangan kira-kira 13 peratus, dari 1,071 pada 2018 kepada 932 pada tahun 2019.

Terdapat penurunan pada jumlah pegunjung yang berada di sini melebihi tempoh lawatan sebanyak 14.5 peratus dan pendatang tanpa izin yang ditangkap juga merosot sebanyak 2.3 peratus.

Jumlah majikan dan mereka yang cuba menyembunyikan pendatang haram yang ditangkap pada 2019 merosot sedikit sekitar 1.8 peratus, dari 340 pada 2018 kepada 334 pada tahun 2019.

Bagaimanapun, jumlah majikan tidak bertanggungjawab yang diberkas meningkat dari 58 pada 2018 kepada 86 pada tahun lalu. Bilangan pengangkut IO yang diberkas pula merosot, dari 282 pada 2018 kepada 248 pada 2019.

KES BAHAN TERLARANG DIKESAN DI PUSAT PEMERIKSAAN TURUN

Jumlah kes seludup bahan terlarang yang dikesan di pusat pemeriksaan ICA jatuh sebanyak 14.4 peratus, dari 107,771 pada 2018 kepada 92,292 pada 2019. Meskipun terdapat penurunan, bilangan bahan terlarang yang dirampas dan dirujuk kepada Kastam Singapura turut meningkat.

Secara purata cukai dan GST yang dielakkan oleh pesalah di pusat pemeriksaan bagi setiap kes meningkat sebanyak 13.2 peratus, dari S$151 pada 2018 kepada S$171 pada 2019.

ICA menyatakan pada 2019, ia berjaya mematahkan beberapa percubaan untuk menyeludup barang terkawal ke Singapura melalui bungkusan pos dan ia memantau trend tersebut dengan ketat, memandangkan terdapat peningkatan pada jumlah bungkusan.

Ia juga mengesan konsainan rokok "yang besar" disembunyikan di dalam barang-barangan yang sah di pusat pemeriksaan darat.

SABITAN KESALAHAN BERKAITAN KAHWIN KONTRAK BERKURANGAN

Jumlah oang disabit bagi kesalahan melibatkan kahwin kontrak (MOC) pada 2019 merosot sebanyak 53.1 peratus, dari 32 pada 2018 kepada 15 tahun lalu.

Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, ICA membongkar dua pernikahan palsu yang diuruskan oleh sindiket. Kes pertama melibatkan enam pasangan dan dua dalang, manakala kes yang kedua pula melibatkan 17 orang, termasuk seorang dalang yang mengaturkan tujuh perkahwinan palsu.

ICA menyatakan ia memandang serius terhadap warga asing yang terlibat dalam MOC dengan warga Singapura untuk mendapatkan pelepasan imigresen di Singapura, dengan hukuman denda sehingga S$10,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Orang awam digalak untuk melaporkan kes-kes yang disyaki MOC serta sebarang kesalahan berkaitan imigresen lain kepada ICA di talian 1800 391 6150 atau melalui laman web ICA (www.ica.gov.sg). 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan