Skip to main content

Singapura

Jumlah pelawat asing dilarang masuk SG naik 38.3% pada 2025

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Feb 2026 11:45AM Dikemas Kini : 15 Mar 2026 05:07PM
SINGAPURA: Jumlah pelawat asing yang tidak dibenarkan memasuki Singapura meningkat dengan ketara pada 2025 berbanding setahun sebelum itu. Ini menyusuli langkah keselamatan sempadan yang diperketatkan, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Isnin (23 Feb).

Kira-kira 45,700 pelawat asing dilarang memasuki negara ini pada 2025, naik 38.3 peratus daripada 33,100 pada 2024, menurut laporan tahunan ICA.

Pelawat-pelawat itu dinilai sebagai berisiko kepada imigresen negara, seperti kemungkinan tinggal lebih masa yang ditetapkan atau bekerja secara haram, serta berisiko terhadap keselamatan seperti potensi melakukan jenayah.

Pada 2025, ICA memperkukuh keselamatan sempadan melalui Pusat Sasaran Bersepadu (ITC) yang menggunakan analisis data untuk mengenal pasti pelawat, kenderaan, dan kargo berisiko tinggi sebelum mereka tiba di pusat pemeriksaan.

Pelepasan tanpa pasport di pusat pemeriksaan utama juga memudahkan tugas pegawai imigresen. Mereka kini tidak lagi perlu melakukan kerja manual di kaunter dan boleh ditugaskan untuk fungsi lebih penting seperti mengenal pasti profil pelawat dan melakukan soal siasat.

Disebabkan oleh proses itu, lebih ramai warga asing dikesan untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan seterusnya dilarang masuk ke Singapura.

KES IDENTITI PALSU

ICA turut menarik perhatian kepada satu kes yang berlaku pada Disember lalu di mana dua lelaki warga India yang tiba di Lapangan Terbang Changi didapati memiliki surat kelulusan palsu daripada Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Dalam satu lagi kes pada Oktober tahun lalu, seorang lelaki warga Thailand berusia 30 tahun dikesan oleh sistem ITC selepas menjalani pemeriksaan tambahan.

Siasatan mendapati dia pernah memasuki Singapura menggunakan nama berbeza dan pernah dihukum penjara atas kesalahan menawarkan khidmat layanan seks sebelum dihantar pulang ke negaranya pada 2016.

Disebabkan dia memiliki pelbagai identiti, dia dilarang masuk dan diharamkan daripada memasuki negara ini.

Jumlah kes individu berbilang identiti secara keseluruhannya merosot sedikit, iaitu 4.3 peratus kepada 223 kes pada 2025.

Lorong automatik ICA kini dilengkapi dengan sistem biometrik yang berupaya mengesan individu yang cuba menyamar diri atau menggunakan identiti palsu.

Kes dokumen perjalanan palsu atau yang diubah suai juga menunjukkan penurunan mendadak sebanyak 39.3 peratus, daripada 61 kes pada 2024 kepada 37 kes pada 2025.

JUMLAH PENANGKAPAN PESALAH IMIGRESEN STABIL

Selain mengetatkan kawalan sempadan, ICA juga melakukan operasi penguatkuasaan di dalam negara untuk menangkap pesalah imigresen.

Jumlah penangkapan pesalah imigresen pada 2025 kekal stabil berbanding 2024, naik daripada 536 kepada 538 orang.

Terdapat penurunan 11.4 peratus bagi pendatang haram yang diberkas, namun jumlah mereka yang tinggal lebih masa naik sedikit sebanyak 1.9 peratus.

Bilangan individu yang melindungi atau menggajikan pesalah imigresen pula jatuh 28.8 peratus kepada 277 orang pada 2025 berbanding 389 pada 2024.

Kebanyakan "pelindung" ini adalah kenalan pesalah atau mereka yang memberi tempat tinggal demi meraih keuntungan kewangan tanpa memeriksa status imigresen pesalah.

Sebahagian besar daripada 136 majikan pesalah imigresen yang diberkas pada 2025 mendakwa mereka sedang dalam proses memperbaharui pas kerja atau hanya memeriksa status pas kerja pada awal waktu pengambilan pekerja sahaja.

ICA menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap pelindung dan majikan sedemikian bagi memastikan masalah pesalah imigresen tidak berleluasa.

Selain itu, penangkapan berkaitan perkahwinan kontrak juga merosot sebanyak 63.4 peratus kepada 15 kes sahaja pada 2025.

ARAHAN LARANG NAIK PESAWAT

Bermula 30 Januari tahun ini, ICA mula mengeluarkan arahan kepada syarikat-syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Changi dan Seletar untuk menghalang pelawat dengan isu imigresen daripada menaiki pesawat ke Singapura.

Mereka yang tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, seperti tiada visa sah atau pasport yang mempunyai tempoh sah kurang daripada enam bulan, akan dilarang daripada menaiki pesawat untuk berlepas ke negara ini.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita