Jumlah pelancong terjejas teruk dek inflasi, kos tinggi dan syarat visa: pemain industri
Pusat bandar Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Beberapa agensi pelancongan dan daya tarikan di Singapura sedang menyaksikan angka lebih teruk daripada yang dijangka dalam jumlah pelancong tahun ini, khususnya daripada tiga kumpulan - China, India dan Indonesia.
Kebanyakannya menyalahkan inflasi dan dolar Singapura yang kukuh, selain strategi-strategi baharu yang dilaksanakan negara-negara jiran untuk menarik pelancong.
Agensi-agensi pelancongan memberitahu Mediacorp bahawa pihak mereka menyaksikan permintaan bercampur-campur.
Sekalipun demikian, agensi-agensi itu masih berharap bahawa Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan menggalak lebih ramai pelancong datang ke sini pada 2024.
ADA PELANCONG PILIH NEGARA JIRAN
Pemerhati industri juga menantikan syarat-syarat visa yang dilonggarkan.
Pada Khamis (7 Dis), Singapura dan China menyatakan ia akan memeterai perjanjian pengecualian visa bersama untuk 30 hari antara kedua-dua negara.
Cadangan itu diumumkan semasa mesyuarat Kerjasama Dua Hala bagi Majlis Bersama (JCBC) di Tianjin.
Buat masa ini, rakyat China memerlukan visa untuk memasuki Singapura.
Sebahagian agensi pelancongan mengharapkan jumlah pelancong kembali seperti sebelum COVID-19 lebih awal lagi, terutama sekali kumpulan dari China yang membentuk jumlah terbesar pelancong China.
Namun, kos lebih tinggi dan dolar Singapura yang lebih kukuh berbanding negara lain di rantau ini menyebabkan ramai pelancong hanya berada di negara ini untuk tempoh yang singkat atau memilih pergi ke negara-negara lain, menurut pemerhati.
Pengarah Urusan Oriental Travel and Tours Stanley Foo berkata "Saya rasa perniagaan secara amnya baik-baik sahaja. Tentu sekali lebih baik berbanding tahun lalu. Saya rasa kami menyaksikan kenaikan sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lalu."
Sekalipun demikian, agensi itu juga menyaksikan perubahan dalam jenis pelancong yang datang ke Singapura.
Sebelum pandemik, kumpulan-kumpulan terbesar pelancong adalah dari China, India dan Indonesia. Namun mereka kini memilih untuk melancong ke negara-negara jiran, kata Encik Foo.
"Apa yang berlaku adalah harga hotel sudah naik, kos lawatan juga sudah naik dan pelancong-pelancong yang datang dari China dan India mengubah destinasi pilihan mereka dari Singapura ke negara-negara jiran kita. Baru-baru ini, kami juga melihat negara-negara jiran kita mengeluarkan strategi-strategi baharu untuk menarik pelancong ke negara mereka," kata beliau.
Encik Foo yakin Singapura kini kurang menarik kepada para pelancong disebabkan harga penginapan, sambil menambah bahawa pelancong China "boleh meluangkan masa tiga malam di negara jiran daripada satu malam di Singapura".
Agensi beliau sudah pun beralih tumpuan kepada kumpulan-kumpulan lain seperti pasaran Amerika dan Eropah.
"Dalam tempoh ini, kami beruntung kerana kami memberi tumpuan kepada pasaran yang tepat," kata Encik Foo.
"Saya rasa demografi pelancong yang datang ke Singapura sudah berubah. Sebahagian pelancong dari negara-negara tertentu tidak akan kembali ke Singapura lagi."
SG MAHAL TAPI BERBALOI!
Sungguhpun demikian, segelintir pelancong berasa melancong ke Singapura berbaloi.
Seorang pelancong dari India memberitahu Mediacorp: "Kos, tentu sekali, agak lebih tinggi. Tetapi pada asasnya anda perlu pergi ke empat lima negara untuk melihat semua benda yang boleh anda lihat di satu negara sahaja, iaitu di Singapura. Jadi kami mahu belanja lebih."
Seorang pelawat dari Amerika bersetuju bahawa Singapura kaya dan rencam dengan budaya. Namun "satu-satunya perkara yang membuat saya enggan datang ke Singapura adalah kosnya" dan ia sebuah tempat yang "sangat mahal" untuk dikunjungi.
Daya tarikan di Singapura seperti Taman di Pesisiran memberitahu Mediacorp bahawa harga tiket masih kira-kira 80 peratus paras sebelum COVID-19.
Sungguhpun demikian, daya tarikan itu masih berharap pameran-pameran baharu dapat membantu memancing lebih ramai orang.
"Kami memaparkan tumbuh-tumbuhan menerusi cara yang imersif. Kami sentiasa meneroka cara untuk kami menawarkan pengalaman baharu kepada perniagaan kami," kata Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan Taman di Pesisiran Ong Kian Ann.
Beliau menambah, pihaknya juga meneroka untuk melakukan demikian menerusi teknologi-teknologi baharu.
Contohnya, tahun depan Taman di Pesisiran akan menjadi tuan rumah kepada pameran karya-karya lukisan impresionis Perancis Claude Monet, yang dijangka dibuka pertengahan tahun depan. Ini satu-satunya pameran seumpamanya.
Malah, untuk meraih pendapatan daripada penduduk tempatan juga sukar tahun ini, memandangkan ramai memilih untuk keluar negara, menurut pemerhati.
Singapore Discovery Centre, misalnya, menyatakan pihaknya tidak menjangkakan jumlah pengunjung melebihi tahun-tahun lepas, tetapi ia masih menawarkan pelbagai program cuti sekolah untuk menarik keluarga.
Sementara itu, Singapore Flyer memperkenalkan promosi musim cuti hanya untuk rakyat Singapura dan penduduk tetap sehingga 1 Januari.
Singapore Flyer menyatakan ia sangat bergantung kepada pelancong China tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.