Jumlah pelancong lawat SG pada 2024 jangkaui tahap sebelum pandemik; lintasan darat catat paras tertinggi
Jumlah pelawat yang memasuki dan meninggalkan Singapura pada 2024 meningkat hampir 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, melepasi paras sebelum COVID 2019, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Jumaat (14 Feb).
ICA menguruskan lebih 230 juta pelawat pada 2024, meningkat daripada sekitar 192 juta penumpang pada 2023 dan melebihi 217.3 juta yang dicatatkan pada 2019.
Kenaikan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan pada jumlah individu yang merentasi pemeriksaan darat, yang menyumbang lebih 75 peratus daripada keseluruhan jumlah pelawat.
Pada 20 Dis 2024, lintasan darat mencecah paras rekod tertinggi, dengan lebih 562,000 pelawat melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dan Tuas dalam tempoh satu hari.
Tahun lalu, ICA memperkenalkan beberapa proses baharu untuk mengukuhkan keselamatan sempadan dan menyelaraskan pelepasan imigresen. Ini termasuk pelepasan bebas pasport di pusat-pusat pemeriksaan utama untuk penduduk Singapura dan pelepasan automatik untuk semua pelawat asing.
Setakat sehingga 31 Jan, sekitar 47 juta pelawat telah melalui pelepasan imigresen tanpa perlu menyerahkan pasport mereka.
"Singapura mungkin yang pertama di dunia untuk menggunakan pelepasan automatik bagi semua pelawat," menurut ICA dalam kenyataan medianya.
“Dengan pelaksanaan sepenuhnya pelepasan tanpa pasport di Lapangan Terbang Changi, purata masa pelepasan bagi setiap pelawat telah dikurangkan sebanyak 60 peratus, daripada 25 saat kepada 10 saat,” tambah ICA.

Walaupun jumlah pelawat meningkat, jumlah kargo turun sebanyak 5.8 peratus pada tahun lalu disebabkan oleh penurunan berterusan pada bilangan bungkusan yang diuruskan sejak 2021. Jumlah barangan bernilai rendah juga merosot sebanyak 9.4 peratus sepanjang tempoh yang sama.
SEMAKIN RAMAI WARGA ASING TIDAK DIBENARKAN MASUK SINGAPURA
ICA turut mendedahkan bahawa ia memanfaatkan penggunaan biometrik dan data untuk meningkatkan keupayaan pemprofilan dan pengesanannya. Ini membawa kepada peningkatan pada bilangan pelawat asing yang tidak dibenarkan memasuki Singapura, meningkat kira-kira 16 peratus daripada 28,600 pada 2023 kepada 33,100 pada 2024.
Sebahagian besar daripada mereka dinilai menimbulkan risiko imigresen, seperti berpotensi berada lebih lama daripada tempoh yang dibenarkan atau bekerja secara haram, atau risiko keselamatan – berpotensi melakukan jenayah di Singapura.
"Kebanyakan pelawat berisiko tinggi ini dikenal pasti melalui usaha kenal pasti dan pemprofilan ICA," kata penguasa itu.
Menggunakan analisis data untuk menyasarkan konsainan berisiko lebih tinggi, ICA dan agensi-agensi lain menggagalkan 44,000 percubaan penyeludupan pada tahun lalu, satu peningkatan sebanyak 2.3 peratus. Beberapa kes melibatkan konsainan besar rokok seludup dan vape, termasuk yang diseludup dalam kereta dengan kompartmen yang diubah suai atau disembunyikan antara konsainan sah dalam lori, kata ICA.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh yang sama, bilangan kes identiti berbilang yang dikesan di pusat-pusat pemeriksaan merosot 46.7 peratus daripada 437 pada 2023 kepada 233 tahun lalu. Menurut ICA, penggunaan sistem pelepasan biometrik berbilang mod mungkin menghalang percubaan untuk memasuki negara ini secara haram. Pelawat asing yang sebelum ini dikesan dengan berbilang identiti akan dihalang daripada memasuki Singapura, tambah ICA.
Pelawat yang dikesan dengan dokumen perjalanan palsu juga turun sebanyak empat kepada 61 kes pada tahun lalu.
PENINGKATAN JUMLAH KES KAHWIN PALSU
Bilangan individu yang diberkas atas kesalahan berkaitan perkahwinan palsu pada 2024 melonjak daripada lapan kepada 41 orang.
"Ini berikutan usaha penguatkuasaan ICA yang semakin meningkat untuk menyiasat dan membanteras perkahwinan sedemikian oleh sindiket-sindiket kongsi gelap," kata pihak berkuasa, sambil menambah bahawa ia dimaklumkan mengenai beberapa kes melalui maklumat orang ramai.
Secara berasingan, walaupun terdapat penurunan 12.4 peratus pada jumlah pelawat yang diberkas pada 2024 berbanding 2023 atas kesalahan berada di Singapura melebihi tempoh yang dibenarkan, jumlah pesalah dan majikan yang diberkas kerana melakukan kesalahan tersebut telah meningkat sebanyak 19 peratus.
Sebahagian besar pesalah imigresen sedemikian mempunyai hubungan sedia ada dengan orang yang melakukan kesalahan yang sama di sini atau membenarkan mereka tinggal di sini lebih lama atas keuntungan kewangan, kata ICA.
Jumlah pendatang haram yang diberkas juga meningkat daripada 45 pada 2023 kepada 61 tahun lalu. Daripada 61 pendatang haram yang diberkas pada 2024, 25 telah ditangkap oleh Polis Pengawal Pantai (PCG) sebelum mereka memasuki Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.