Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah pekerja, pencari kerja yang alami diskriminasi di tempat kerja terus merosot pada 2023: MOM

6 peratus pekerja melaporkan bahawa mereka mengalami diskriminasi di tempat kerja pada 2023 berbanding 8.2 peratus pada 2022.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 24 Sep 2024 03:27PM Dikemas Kini : 24 Sep 2024 08:50PM

SINGAPURA: Jumlah pekerja dan pencari kerja yang mengalami diskriminasi di tempat kerja terus merosot pada 2023, menurut laporan Amalan Pekerjaan Adil oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Menurut MOM dalam kenyataan media pada Selasa (24 Sep), perkembangan itu menunjukkan "peningkatan berterusan" dalam piawaian keadilan di tempat kerja di Singapura.

Namun, sebilangan besar pekerja yang mengalami diskriminasi tidak mendapatkan bantuan, dan diskriminasi kerana umur kekal sebagai bentuk yang paling lazim berlaku.

Tahun lalu, 6 peratus pekerja mengalami layanan tidak adil di tempat kerja, turun daripada 8.2 peratus pada 2022 dan 8.5 peratus pada 2021.

Pada 2018, 24.1 peratus pekerja menghadapi diskriminasi di tempat kerja.

Bagi pencari kerja, 23.4 peratus berkata mereka mengalami diskriminasi pada 2023 semasa mencari kerja, rendah sedikit daripada 23.8 peratus pada 2022. Pada 2021 dan 2018, peratusannya ialah 25.8 dan 42.7.

Penurunan besar sejak 2018 itu boleh dikaitkan dengan kesedaran dalam kalangan majikan tentang cara mereka harus melayan pekerja, kata jurucakap MOM di taklimat media pada Selasa.

Laporan tahun ini diumumkan ketika persiapan dibuat bagi undang-undang baharu mengenai keadilan di tempat kerja, yang akan dibentangkan di parlimen tahun ini.

Undang-undang itu akan menghendaki majikan untuk tidak mendiskriminasi pekerja berdasarkan ciri-ciri yang dilindungi seperti umur, kewarganegaraan, jantina, status perkahwinan, status kehamilan, kaum dan hilang upaya.

Di kalangan pekerja dan pencari kerja, umur, kaum dan kewarganegaraan adalah bentuk diskriminasi yang paling sering berlaku.

Pada 2023, lebih ramai pencari kerja merasakan mereka didiskriminasi berdasarkan umur dan kewarganegaraan berbanding 2022.

Bagi pencari kerja berumur 50 tahun dan ke atas, 37.9 peratus berkata mereka mengalami diskriminasi kerana umur mereka. Ia berbanding dengan 12.2 peratus daripada mereka yang berumur di bawah 50 tahun.

Layanan tidak adil yang dialami termasuk dalam bentuk gaji lebih rendah, bonus dan agihan tugas kerja.

Menurut MOM, pihak kementerian, Perikatan Tiga Pihak untuk Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura secara kolektif telah berusaha untuk menggalakkan amalan pekerjaan yang adil.

Sebilangan besar pekerja kini bekerja di syarikat yang mempunyai prosedur rasmi untuk menguruskan diskriminasi di tempat kerja. Lebih 63 peratus pekerja bekerja di firma sedemikian setakat tahun lepas, berbanding 59.8 peratus pada 2022.

"Terdapat peningkatan yang stabil sejak 2018 (49.6 peratus), satu petanda positif ke arah penambahbaikan selanjutnya dalam piawaian keadilan di tempat kerja," kata MOM.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa perkara yang dapat dibaiki.

Diskriminasi kerana umur adalah salah satu contoh, dan orang ramai juga perlu digalakkan untuk mendapatkan bantuan apabila menghadapi diskriminasi.

Pekerja berkata mereka terutamanya takut dipulaukan di tempat kerja atau menyebabkan hubungan kerja menjadi lebih janggal. Mereka juga bimbang kerjaya mereka terjejas.

Pada 2023, hanya 29.3 peratus daripada mereka yang mengalami diskriminasi mendapatkan bantuan, berbanding 35.3 peratus pada 2022.

"Lebih banyak boleh dilakukan untuk mengukuhkan keyakinan pekerja dalam melaporkan diskriminasi di tempat kerja," kata MOM, sambil menyatakan bahawa pekerja akan dilindungi daripada tindakan balas apabila melaporkan amalan kerja yang tidak adil di bawah perundangan keadilan di tempat kerja.

Majikan akan dikehendaki menyediakan proses pengendalian aduan yang betul.

"Dengan mengukuhkan perlindungan terhadap diskriminasi di tempat kerja, majikan akan mendapat manfaat daripada tenaga kerja yang lebih melibatkan diri, mengukuhkan reputasi positif, dan mewujudkan tempat kerja yang harmoni, yang menarik dan mengekalkan bakat - semuanya membawa kepada hasil perniagaan yang lebih baik," kata kementerian itu.
 
Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan