Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah peguam letak jawatan lonjak 30% pada 2021

Rekod 538 peguam meletak jawatan pada tahun lalu, kebanyakannya daripada kategori junior yang berada dalam bidang itu kurang daripada lima tahun, kata Presiden Persatuan Undang-Undang, Adrian Tan, hari ini (10 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rekod 538 peguam meletak jawatan pada tahun lalu, kebanyakannya daripada kategori junior yang berada dalam bidang itu kurang daripada lima tahun, kata Presiden Persatuan Undang-Undang, Adrian Tan, hari ini (10 Jan).

Dalam kalangan peguam di bawah kategori junior sahaja, Persatuan Undang-Undang menyaksikan rekod tinggi sebanyak 310 peletakan jawatan. Jumlah itu seiring dengan rekod jumlah terendah peguam baru yang menyertai bidang tersebut pada 2021, tambah beliau.

Berucap semasa pembukaan majlis Tahun Undang-Undang 2022, Encik Tan berkata pengunduran itu berlaku di tengah-tengah "peletakan jawatan yang tinggi" yang berlaku di merata dunia. Sesetengah pekerja dikatakan meletakkan jawatan selepas pandemik memaksa mereka untuk menilai semula keutamaan mereka.

Encik Tan pernah membangkitkan perkara itu dalam satu wawancara bersama Mediacorp sebelum ini, di mana beliau menyifatkan "peletakan jawatan yang tinggi" itu sebagai antara cabaran terbesar yang membelenggu kerjaya undang-undang.

Hari ini, beliau menarik perhatian jumlah peletakan jawatan adalah antara 380 dengan 430 peguam setahun dalam tempoh empat tahun lalu. Namun, jumlahnya tahun lalu menunjukkan kenaikan "membimbangkan" dari tahun ke tahun - iaitu lebih 30 peratus.

Peletakan jawatan juga banyak disaksikan dalam kalangan peguam lebih muda.

Encik Lee juga menyentuh tentang satu tinjauan baru-baru ini yang dijalankan oleh portal pekerjaan sejagat, Indeed, pada awal Disember. Ia menunjukkan bahawa para pekerja merancang untuk berhenti kerja pada separuh pertama tahun ini. Beliau berkata Persatuan Undang-Undang akan menjalankan kajian untuk memahami jika "peletakan jawatan yang tinggi" itu akan mengganggu industri di sini, yang meliputi sekitar 6,000 peguam.

FIRMA UNDANG-UNDANG MAYA MUNGKIN HURAIANNYA

Walaupun persoalan yang jelas adalah sama ada pandemik COVID-19 harus dipersalahkan, Encik Tan berkata para peguam muda sudah mengadu tentang keletihan sejak sebelum 2020 lagi.

Meskipun Persatuan Undang-Undang sudah memperkenalkan beberapa skim sokongan, yang termasuk menyediakan khidmat bimbingan dan kaunseling kepada peguam, Encik Tan akui bahawa semua itu adalah huraian sementara yang hanya menangani simptomnya tetapi bukan punca masalah tersebut.

Memandangkan generasi peguam muda sekarang berbeza daripada pendahulunya, Encik Tan memberi cadangan tentang bagaimana kerjaya undang-undang boleh mengamalkan satu pendekatan baru bekerja iaitu membenarkan peguam muda untuk bekerja dari rumah dengan membuka jalan bagi lebih banyak "firma undang-undang maya".

Ini dapat dilakukan sejak pandemik apabila peguam perlu menyesuaikan idea untuk mengadakan persidangan melalui komputer riba atau membuat permohonan mahkamah menerusi kamera web, katanya.

Bagi peguam muda, kerjaya dalam bidang undang-undang juga adalah satu persoalan tentang kemampanan.

“Mesti terdapat satu cara untuk memenuhi permintaan pelanggan abad ke-21, mahkamah abad ke-21 dan masyarakat abad ke-21 sementara menjalani kehidupan keluarga yang bermakna," katanya.

Berhubung bekerja dari rumah, peguam juga mungkin memerlukan gaya kepimpinan yang berbeza di mana budayanya mungkin kurang dari peringkat atasan dan lebih kepada kakitangan bawahan, dengan peguam junior diberi kepercayaan untuk menjalankan tugasan serta mengejar idea tanpa terlalu dikawal selia.

Dengan sokongan daripada Pemerintah, Persatuan Undang-Undang sudahpun memulakan satu program selama empat bulan bagi membantu firma undang-undang bersaiz kecil dan sederhana di Singapura untuk berinovasi serta mengubah perniagaan menjadi lebih celik digital.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan