Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah nyamuk Aedes meningkat di Singapura, risiko penularan denggi bertambah: NEA

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjangkakan bilangan kes denggi meningkat sedang Singapura memasuki tempoh bulan-bulan akan datang yang lebih panas.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 01 Jun 2021 05:41PM Dikemas Kini : 02 Jun 2021 10:36AM

SINGAPURA: Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjangkakan bilangan kes denggi meningkat sedang Singapura memasuki tempoh bulan-bulan akan datang yang lebih panas.

Ini disebabkan pembiakan lebih cepat nyamuk Aedes aegypti dan tempoh pengeraman lebih singkat bagi virus denggi, menurut agensi tersebut pada Selasa (1 Jun).

Jumlah nyamuk Aedes di seluruh negara juga meningkat dengan ketara, kata NEA.

Lebih daripada 2,700 kes denggi dilaporkan di Singapura sejak permulaan tahun ini dengan terdapat 22 kelompok aktif denggi sekarang.

Meskipun bilangan kes mingguan denggi lebih rendah baru-baru ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, ketika Singapura menyaksikan penularan "bersejarah", bilangannya tetap lebih tinggi berbanding yang dilaporkan pada 2017 dan 2018, tambah NEA.

Jumlah nyamuk Aedes bertambah sekitar 30 peratus pada April berbanding Januari, kata agensi tersebut.

Jumlahnya kekal tinggi di kawasan-kawasan seperti:

- Clementi West Street 1;

- Hougang Avenue 10, 6 dan 8;

- Jurong East Avenue 1 dan Jurong East Street 32; dan

- Mei Chin Road, Mei Ling Street dan Stirling Road.

"Jika tidak dipantau, bilangan nyamuk Aedes aegypti yang tinggi, digandingkan dengan pengedaran serotip virus denggi yang luar biasa dan sebahagian besar penduduk yang tidak keluar dan bekerja dari rumah, akan meningkatkan risiko denggi tahun ini," kata NEA.

DAYA TAHAN RENDAH DAN "PELUANG MENGGIGIT"

NEA menekankan bahawa kes denggi yang disebabkan serotip virus DENV-3 dan DENV-4 yang kurang lazim membentuk lebih daripada separuh serotip yang dikesan sejak Februari.

"DENV-3 tidak ketara sejak tiga dekad yang lalu, dan kemunculan DENV-4 secara konsisten adalah rendah.

"Maka itu, daya ketahanan penduduk terhadap DENV-3 dan DENV-4 adalah rendah, dan lebih ramai orang mudah dijangkiti virus ini," kongsi agensi itu.

DENV-3 dikesan di kelompok denggi di Cashew Terrace/Hazel Park Terrace, manakala DENV-4 dikesan di kelompok-kelompok di Hougang Central dan Pasir Ris Street 21, kata NEA.

Ini memberi nyamuk Aedes lebih banyak "peluang menggigit" dan meningkatkan risiko penyebaran denggi, tambah NEA.

Agensi itu juga menukil sebuah kajian yang mendapati bahawa hampir 50 peratus lebih banyak jangkitan denggi dilaporkan sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 di Singapura tahun lalu, berdasarkan pemodelan secara matematik.

"Kebanyakan daripada jangkitan itu berlaku dalam kalangan golongan dewasa yang bekerja (20 hingga 64 tahun) - individu yang lazimnya akan berada di tempat kerja yang kebanyakannya berhawa dingin, dan bukan di rumah," kata NEA.

Agensi itu menjalankan kajian epidemiologi bersama Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock Universiti Nasional Singapura pada Ogos tahun lalu.

NEA menggesa orang ramai agar kekal berwaspada dan mengambil langkah-langkah untuk mengekang pembiakan nyamuk.

Agensi itu berkata ia masih menjalankan pemeriksaan tertumpu di kawasan-kawasan yang mempunyai bilangan nyamuk yang tinggi dan sudah meningkatkan operasi di kelompok-kelompok denggi.

Sumber : CNA/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan