Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah mingguan kes denggi merosot 70%, NEA tutup hampir semua kelompok sejak awal 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah mingguan kes denggi merosot sekitar 70 peratus daripada kemuncaknya pada Mei dan kira-kira 95 peratus kelompok denggi sejak permulaan 2022 sudahpun ditutup. 

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengumumkan perangkaan tersebut pada Isnin (10 Okt), sambil menambah bahawa setakat Jumaat (7 Okt), terdapat lebih 28,500 kes denggi tahun ini. 

Sebanyak 427 kes denggi dilaporkan minggu lalu, turun 46 daripada minggu sebelumnya 

Setakat Jumaat (7 Okt), terdapat 142 kelompok denggi - turun enam berbanding minggu sebelum itu. Dalam tempoh tiga minggu yang lalu, kelompok dengan beratus kes - terletak di Ghim Moh Road, Bedok Reservoir Road dan Clementi Road - sudah ditutup, menurut NEA.

Tambah agensi tersebut, ia sudah menutup 2,563 daripada 2,705 kelompok denggi sejak permulaan 2022. 

Namun, NEA memberi amaran bahawa ia masih menyaksikan kelompok aktif dengan "kadar penularan yang agak pantas", termasuk di Clementi West Street 2, Jurong East Street 21, Jurong West Avenue 5 dan Rivervale Crescent. 

Pada Februari 2022, Singapura mengalami petanda-petanda awal penularan denggi dengan lebih 200 kes dilaporkan setiap minggu. 

Justeru, Kempen Pencegahan Denggi Kebangsaan dilancarkan lebih awal dan sepanduk baru amaran denggi dipasang di kawasan-kawasan yang terus-menerus mencatat jumlah tinggi nyamuk aedes Aegypti, menurut NEA dalam kenyataan medianya. 

Agensi tersebut turut bekerjasama dengan rakan-rakan seperti majlis bandaran untuk melaksanakan sekitar 200,000 pemeriksaan pada separuh pertama 2022, membasmi kira-kira 51,000 tempat pembaiakan nyamuk. Ini selain 409,000 pemeriksaan yang dilakukan NEA di merata negara pada tempoh yang sama. 

Sejak Julai, NEA juga melepaskan lapan nyamuk Wolbachia-Aedes di lagi lapan tapak, menjadikan jumlah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang terlibat dalam Projek Wolbachia kepada 1,400 - dan meningkatkan liputannya kepada sekitar 31 peratus semua blok HDB di Singapura. 

"Walaupun kami sudah mengatasi musim kemuncak denggi tradisional, langkah berjaga-jaga terus kekal penting sedang jumlah mingguan kes denggi dan nyamuk aegypti Aedes kekal tinggi," menurut NEA pada Isnin (10 Okt). 

"Jumlah mingguan kes denggi mungkin kekal tinggi selepas musim kemuncak denggi (antara Jun hingga Oktober) kerana kami masih menyaksikan penularan denggi di banyak kawasan merata negara." 

Ini termasuk kelompok besar di Boon Lay Avenue, Aroozoo Avenue, Hougang Avenue 1, Jelapang Road, Bisahn Street 11 dan Marine Crescent, menurut NEA. 

NEA turut menggesa orang ramai untuk membersihkan rumah dan mengambil langkah untuk membendung penularan denggi - termasuk menggunakan penyembur racun serangga dan melakukan apa yang patut untuk mengawal jumlah nyamuk, seperti menggantikan air di pasu. 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan