Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Jumlah memerang cecah 170, usaha NParks bantu penduduk, memerang hidup aman bersama

Langkah-langkah itu termasuk memindahkan memerang dari estet kediaman ke kawasan di mana ia boleh mendapatkan akses kepada sumber makanan semula jadi, menurut Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara Tan Kiat How pada Isnin (17 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Oct 2022 06:14PM Dikemas Kini : 17 Oct 2022 11:17PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa dan relawan hidupan liar melancarkan usaha untuk membantu pemilik rumah hidup secara aman bersama memerang.

Ini selepas berlaku beberapa insiden antara haiwan itu dengan penduduk yang tinggal dekat dengan habitatnya.

Langkah-langkah itu termasuk memindahkan memerang dari estet kediaman ke kawasan di mana ia boleh mendapatkan akses kepada sumber makanan semula jadi, menurut Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara Tan Kiat How pada Isnin (17 Okt).

Langkah untuk memastikan memerang tidak mencerobohi estet perumahan termasuk menutup jurang pada pagar-pagar dan memasang penghadang agar memerang tidak dapat mengakses kolam, tambah Encik Tan dalam satu catatan Facebook.

Beliau berkata meskipun memerang biasanya hidup dalam laluan air Singapura, haiwan itu kadangkala masuk ke kawasan kediaman yang mempunyai kolam kerana "ikan-ikan di sana mudah untuk dijadikan makanannya".

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, memerang menjadi tajuk berita selepas berlaku insiden-insiden antara penduduk dengan haiwan tersebut. Ini termasuk serangan ke atas seorang pelawat di Kebun Bunga Singapura, yang digigit memerang sebanyak 26 kali pada November tahun lalu.

Tahun ini, muncul laporan mengenai mamalia itu berpesta perut dengan memakan ikan-ikan peliharaan yang mahal setelah berjaya memasuki rumah penduduk.

Antaranya laporan pada Mac lalu, yang mana seorang lelaki yang menetap di Seletar Hills kehilangan lapan ekor ikan koi dan 50 ikan emas. Baru-baru ini pula pada Oktober, seorang pemilik rumah di Bukit Timah, yang memelihara ikan, dilaporkan kehilangan lebih 40 ekor koi dan spesies ikan lain dek dimakan memerang.

Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu sidang media mengenai pengurusan memerang pada Isnin, menyatakan ia menerima 208 maklum balas pada 2020 dan 305 pada 2021 — termasuk aduan serta keprihatinan am berhubung mamalia itu.

Beberapa tempat tumpuan haiwan itu termasuk kawasan perumahan seperti Seletar, Bukit Timah dan terusan Alexandra.

Encik Tan berkata NParks dan Otter Working Group (OWG) bekerjasama dengan pemilik rumah serta pengurus estet di kawasan-kawasan terjejas untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut.

OWG adalah sebuah kumpulan relawan yang meliputi pelbagai agensi pemerintah, Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (ACRES) dan Mandai Wildlife Group.

Beberapa kawasan yang mempunyai sumber makanan semula jadi bagi memerang termasuk laluan air Singapura, hutan simpanan, kebun serta taman.

Encik Tan menambah kedua-dua NParks dan OWG juga sedang memantau memerang yang sudah membentuk tempat tinggal di estet perumahan.

Menurut NParks, kumpulan seumpama itu biasanya merangkumi dua hingga tiga memerang dewasa yang terpisah daripada keluarga lebih besar.

Jumlah memerang di Singapura sudah menginjak sedikit sejak tahun lalu.

Mediacorp melaporkan pada Disember bahawa jumlah memerang di Singapura sudah naik hampir seganda kepada sekitar 150 ekor dalam tempoh empat tahun lalu.

NParks menyatakan pada Isnin bahawa kini, terdapat kira-kira 170 ekor memerang daripada sekitar 17 keluarga memerang yang lebih biasa kelihatan di Bishan, Marina dan Zouk .

Memerang tersenarai sebagai haiwan terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Turut tergolong di bawah senarai tersebut adalah memerang kecil, satu lagi spesies memerang yang dijumpai di Singapura. Memerang kecil secara umumnya jarang-jarang dilihat oleh orang awam dan biasanya ditemui di Pulau Ubin dan Tekong.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan