Jumlah lulusan reka bentuk fesyen di SG berkurangan; sekolah rancang tawar prospek lebih baik kepada pelajar
SINGAPURA: Pengamal industri menyeru diwujudkan masyarakat fesyen yang lebih bersepadu, selain inisiatif pemerintah untuk menonjolkan pereka Singapura.
Tujuannya untuk mengalakkan lebih ramai warga Singapura menceburi bidang itu memandangkan jumlah lulusan reka bentuk fesyen berkurangan.
Menurut Majlis Fesyen Singapura, jumlah lulusan program diploma dan ijazah fesyen tempatan merosot sebanyak 7 peratus dari 2022 hingga 2022.
Jumlah pelajar dewasa yang mengambil kursus diploma di Pusat Latihan Industri Tekstil dan Fesyen (TaF.tc) turut berkurangan. Jumlah lulusan sekolah fesyen itu turun sebanyak 20 peratus.
KURANG EKOSISTEM SOKONGAN
Pereka Singapura Gin Lee berkata, masih terdapat banyak cabaran, khususnya apabila menghasilkan produk di Singapura.
"Singapura adalah negara yang kecil. Jadi kita tidak mempunyai banyak pilihan. Jika saya ingin menghasilkan produk, di mana boleh saya pergi? Jika saya ingin membeli kain, butang dan lain-lain lagi?" kata Cik Lee.
"Oleh itu, kami terpaksa ke luar negara untuk mendapatkan barang. Bagi jenama atau pereka yang baru berjinak-jinak, kadangkala ia menjadi satu masalah kerana ia tidak dalam ekosistem Singapura."
Lazimnya, pereka menghasilkan produk dalam jumlah kecil untuk menguji sambutan terhadap motif dan corak baru.
"Jika ada ekosistem di Singapura, lebih mudah bagi anda hasilkan sampel, lebih mudah untuk menghasilkan produk dalam jumlah kecil, tetapi tiada sistem seumpama itu sekarang," kata Cik Lee, yang percaya cabaran sedemikian mendorong orang ramai menjauhi kerjaya dalam bidang rekaan.
POTENSI FESYEN TEMPATAN
Para pereka berharap industri lain melihat potensi fesyen tempatan.
Majlis Fesyen Singapura sedang berusaha untuk menggunakan wadah digital untuk menghubungkan pereka dengan lebih banyak pengilang dan peruncit di rantau ini.
Ia juga akan memberi pelajar fesyen lebih banyak peluang untuk bekerja dengan jenama-jenama ternama.
Cik Sharon Lim, Naib Presiden Majlis Fesyen Singapura, berkata: "Dengan sekolah, ia memerlukan peta tuju lebih lama. Ia harus bermula dengan pemahaman bahawa lulusan sekolah fesyen boleh menerima tawaran kerja..."
Tambahnya: "Kami sebenarnya sudah mendampingi sekolah-sekolah, syarikat berbilang negara untuk datang ke sini. Justeru, selain syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME), anda juga mempunyai kumpulan lain berkata kami memerlukan lebih banyak pereka berbakat."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.